YouVersion Logo
Search Icon

1 MAKABE 4

4
Kemenangan Dekat Emaus
1Gorgias dengan 5,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 1,000 orang pasukan berkuda yang paling berpengalaman meninggalkan perkhemahan pada waktu malam, 2untuk melakukan serangan tiba-tiba terhadap perkhemahan Yahudi. Mereka dihantar oleh beberapa orang penunjuk jalan dari kubu di Yerusalem. 3Tetapi Yudas mendengar hal itu, maka dia dan pasukannya berangkat untuk menyerang pasukan raja di Emaus, 4sementara Gorgias dan pasukannya masih terpencar di luar perkhemahan. 5Malam itu Gorgias dan pasukannya sampai di perkhemahan Yudas, tetapi mereka tidak mendapati seorang pun di sana. Mereka menyangka Yudas dan anak buahnya sudah melarikan diri. Maka pergilah pasukan Gorgias mencari mereka di pergunungan.
6Ketika fajar menyingsing, Yudas bersama 3,000 orang muncul di dataran. Senjata mereka tidak selengkap seperti yang diinginkan oleh mereka. 7Mereka melihat perkhemahan orang asing yang kuat dan kubu-kubu mereka dikelilingi pasukan berkuda, semuanya orang yang terlatih dalam perang. 8Tetapi Yudas berkata kepada anak buahnya, “Jangan cemas melihat pasukan mereka yang besar, dan jangan takut kalau mereka menyerang kita. 9Ingatlah bagaimana nenek moyang kita diselamatkan di Laut Gelagah ketika mereka dikejar oleh raja Mesir dan pasukannya. 10Marilah kita sekarang berseru kepada Tuhan supaya Dia mengasihani kita. Semoga Dia ingat akan perjanjian-Nya dengan nenek moyang kita dan membinasakan pasukan yang kita hadapi hari ini. 11Maka semua bangsa asing akan tahu bahawa Israel mempunyai Allah yang membebaskan dan menyelamatkan umat-Nya.”
12Apabila semua orang asing itu melihat Yudas dan anak buahnya datang berperang, 13mereka keluar dari perkhemahan mereka untuk bertempur. Yudas dan anak buahnya meniup trompet dan 14mulai berperang. Pasukan asing itu digempur sehingga melarikan diri ke dataran, 15tetapi mereka yang berjalan di belakang dibinasakan. Orang Israel mengejar musuh hingga sejauh Gezer, dataran Idumea, dan kota-kota Asdod, serta Yamnia. Daripada pihak musuh ada sekitar 3,000 orang yang terbunuh.
16Apabila Yudas dan pasukannya kembali daripada pengejaran, 17-18dia berkata kepada anak buahnya, “Jangan serakah mengambil barang jarahan. Gorgias dan pasukannya masih ada dekat pergunungan ini. Kita masih menghadapi pertempuran lain. Kita harus tetap tabah dan berjuang. Sesudah itu kamu dapat mengambil barang jarahan dengan leluasa.” 19Sesudah Yudas selesai bercakap, sebahagian pasukan musuh muncul dari pergunungan. 20Pasukan musuh itu melihat bahawa tentera mereka sudah lari. Daripada asap yang mengepul mereka tahu bahawa perkhemahan mereka terbakar. 21Apabila melihat semua itu, mereka gempar. Ketika mereka melihat pasukan Yudas pula di dataran dalam keadaan siap untuk bertempur, 22mereka semua lari ke Filistea. 23Lalu Yudas kembali untuk menjarah perkhemahan musuh. Mereka mengambil sejumlah besar emas dan perak, kain biru dan merah ungu serta banyak harta yang lain. 24Kemudian orang Yahudi kembali ke perkhemahan mereka dan menyanyikan lagu pujian ini, “Pujilah Tuhan kerana Dia baik. Belas kasihan-Nya kekal abadi.” 25Pada hari itu bangsa Israel mendapat kemenangan besar.
Kemenangan terhadap Lisias
(2 Mak 11.1-12)
26Semua orang asing yang dapat menyelamatkan diri melaporkan segala kejadian itu kepada Lisias. 27Apabila mendengar laporan itu Lisias terperanjat dan putus asa, kerana apa yang dirancangkannya terhadap Israel tidak terjadi, dan apa yang diperintahkan raja kepadanya tidak terlaksana.
28Dalam tahun berikutnya Lisias mengerahkan 60,000 orang pasukan tentera berjalan kaki yang dipilih khas, dan 5,000 orang pasukan berkuda untuk memerangi orang Yahudi. 29Mereka masuk ke daerah Idumea dan berkhemah dekat dengan kota Bet-Zur. Yudas mendatangi mereka dengan 10,000 orang. 30Apabila Yudas melihat tentera musuh yang kuat itu, dia berdoa, “Terpujilah Engkau, Penyelamat Israel. Dengan tangan hamba-Mu Daud, Kaugagalkan serangan seorang yang gagah perkasa. Seluruh pasukan Filistin Kauserahkan ke tangan Yonatan anak Saul dan pembawa senjatanya. 31Semoga dengan cara itu juga Kauserahkan pasukan tentera ini kepada tangan umat-Mu Israel. Biarlah mereka menjadi malu kerana mengharapkan tentera dan pasukan berkuda mereka. 32Buatlah mereka ketakutan dan luluhkanlah kekuatan mereka. Biarlah mereka kalah dan gementar. 33Hendaklah Kautumpas mereka dengan pedang orang yang mengasihi Engkau. Semoga Engkau dipuji oleh semua orang yang mengakui Engkau.”
34Lalu mereka mula berperang, dan dalam pertempuran seorang lawan seorang, kira-kira 5,000 orang daripada pasukan Lisias binasa. 35Lisias melihat pasukannya melarikan diri, sedangkan Yudas dan anak buahnya mara dengan keberanian yang berkobar-kobar dan bersedia mati sebagai kesateria. Maka Lisias berundur dan pergi ke Antiokhia. Di sana dia mengupah orang asing supaya dapat kembali ke Yudea dengan pasukan tentera yang lebih besar.
Rumah Allah Disucikan Kembali
(2 Mak 10.1-8)
36Yudas dan saudara-saudaranya berkata, “Musuh kita sudah ditumpaskan. Mari kita ke Yerusalem untuk membersihkan Rumah Allah dan mentahbiskannya semula.” 37Lalu seluruh tentera pergi bersama-sama ke Bukit Sion. 38Mereka mendapati Rumah Allah ditinggalkan kosong, mazbah tercemar, dan pintu gerbang terbakar. Halaman sudah ditumbuhi semak belukar seperti di hutan atau di gunung. Bilik-bilik para imam sudah roboh. 39Lalu mereka mengoyak pakaian mereka kerana sedih, menangis dengan nyaring, dan menaburkan abu di atas kepala. 40Mereka meniarap di tanah, dan ketika terdengar semboyan trompet, setiap orang berseru kepada Tuhan.
41Kemudian Yudas menyuruh askarnya menyerang orang yang ada di dalam kubu, sementara dia membersihkan Rumah Allah. 42Dia memilih imam-imam yang layak dan yang setia kepada Taurat. 43Mereka membersihkan Rumah Allah, mengambil batu-batu yang dicemarkan dan meletaknya di tempat yang najis. 44Mereka berunding tentang apa yang harus dilakukan terhadap mazbah yang sudah dicemarkan. Mazbah itu tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan. 45Lalu mereka mendapat ilham baik untuk membongkarnya supaya mereka tidak dihina kerananya, oleh sebab mazbah itu sudah dicemarkan oleh orang asing. Maka mazbah itu dibongkar oleh mereka, 46dan batu-batunya diletakkan di tempat yang sesuai di bukit Rumah Allah. Sementara itu mereka menunggu seorang nabi yang akan memberi keputusan tentang batu-batu itu. 47Lalu sesuai dengan Taurat Musa, mereka mengambil batu-batu yang tidak dipahat dan mendirikan sebuah mazbah baru seperti yang lama. 48Sesudah itu Rumah Allah diperbaiki, dan bahagian dalam serta halamannya ditahbiskan semula. 49Mereka membuat perkakas baru untuk ibadat. Kaki pelita, mazbah untuk kemenyan, dan meja untuk roti sajian dibawa masuk ke dalam Rumah Allah. 50Kemudian kemenyan dibakar di atas mazbah, dan pelita-pelita di atas kaki pelita itu dinyalakan sehingga Rumah Allah menjadi terang. 51Roti sajian diletakkan di atas meja dan tirai dipasang. Maka selesailah semua pekerjaan itu.
52-54Tarikh dua puluh lima bulan Kislew, iaitu bulan kesembilan, tahun 148 adalah hari ulang tahun mazbah dicemarkan oleh orang asing. Pada hari itu juga, di atas mazbah yang baru, korban yang sesuai dengan Taurat Musa dipersembahkan. Mereka mentahbiskan mazbah yang baru sambil menyanyikan lagu-lagu dengan iringan gambus, kecapi, dan canang. 55Seluruh rakyat sujud menyembah serta memuji Tuhan yang telah memberi mereka kemenangan.
56Selama lapan hari mereka merayakan pentahbisan mazbah. Dengan gembira mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan, korban untuk memohon berkat Tuhan, dan korban untuk mengucap syukur kepada Tuhan. 57Bahagian hadapan Rumah Tuhan dihias dengan hiasan emas dan perisai-perisai. Pintu-pintu gerbang dibina semula, bilik-bilik para imam diperbaharui dan pintu-pintunya dipasang. 58Seluruh rakyat sangat bersukacita kerana penghinaan yang didatangkan oleh orang asing sudah dihapuskan. 59Lalu Yudas, saudara-saudaranya, dan seluruh rakyat menetapkan bahawa pentahbisan mazbah itu harus dirayakan setiap tahun dengan penuh kegembiraan selama lapan hari, mulai tarikh dua puluh lima bulan Kislew.
60Kemudian mereka membina tembok-tembok yang tinggi dan menara-menara yang kuat di sekeliling Bukit Sion supaya orang asing tidak dapat masuk dan mencemarkannya lagi. 61Yudas menempatkan sepasukan askar di situ untuk menjaganya. Dia juga memperkuat kota Bet-Zur supaya orang Israel mempunyai kubu yang menghadap ke Idumea.

Currently Selected:

1 MAKABE 4: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy