YouVersion Logo
Search Icon

1 MAKABE 3

3
Pujian untuk Yudas
(2 Mak 8.1-7)
1Yudas yang disebut Makabe menggantikan Matatias, bapanya. 2Dia mendapat sokongan saudara maranya dan semua pengikut bapanya. Dengan bersemangat mereka melanjutkan perjuangan Israel.
3Yudas menambah kejayaan bangsanya;
dia memakai baju zirah laksana raksasa.
Dia mengenakan perlengkapan perangnya
dan melindungi perkhemahan dengan pedang.
4Dia bertindak seperti singa
yang mengaum-aum mencari mangsa.
5Pelanggar hukum dikejar-kejarnya,
dibakarnya semua yang menindas bangsanya.
6Semua orang jahat kebingungan dan bersembunyi
kerana takut kepadanya.
Demikianlah dia berjaya
membebaskan bangsanya.
7Dia menyebabkan banyak raja sakit hati,
tetapi bangsa Israel dijadikannya gembira.
Patutlah dia diingati dan dipuji selamanya
kerana apa yang telah dilakukannya.
8Dia menjelajah semua kota Yudea
dan membinasakan semua orang jahat
serta membebaskan Israel daripada penderitaan yang berat.
9Namanya termasyhur hingga ke hujung bumi,
kerana dia mengumpulkan orang yang hampir binasa.
Apolonius dan Seron Dikalahkan
10Kemudian Apolonius membentuk sepasukan tentera gabungan orang asing dengan pasukan besar dari Samaria untuk menyerang bangsa Israel. 11Apabila mendengar hal itu, Yudas mara ke medan perang, lalu mengalahkan dan membunuh Apolonius. Banyak musuh binasa dan yang lainnya melarikan diri. 12Barang-barang mereka dirampas. Pedang Apolonius diambil oleh Yudas dan digunakan seumur hidupnya.
13Seron, panglima angkatan perang Siria, mendengar bahawa Yudas telah mengumpulkan satu pasukan besar, termasuk sekelompok orang setia yang siap bertempur di bawah pimpinannya. 14Seron berkata, “Namaku akan termasyhur di seluruh kerajaan kalau aku memerangi Yudas dan anak buahnya yang meremehkan perintah raja.” 15Lalu maralah Seron dibantu oleh sepasukan besar orang jahat yang ingin membalas dendam terhadap Israel. 16Ketika dia sampai di genting Bet-Horon, Yudas dan sekelompok kecil orangnya mara menghadapinya. 17Apabila melihat pasukan Seron datang, mereka berkata kepada Yudas, “Bagaimanakah kelompok kita yang sekecil ini dapat memerangi pasukan sebesar dan sekuat itu! Lagipun kita lelah dan belum makan sepanjang hari!”
18Jawab Yudas, “Mudah saja kelompok yang kecil mengalahkan pasukan yang besar. Bagi Tuhan tiada bezanya menyelamatkan dengan banyak orang atau dengan sedikit saja. 19Dalam pertempuran, kemenangan tidak tergantung kepada pasukan yang besar. Kuasa Tuhanlah yang menentukan hasilnya. 20Kumpulan orang yang datang melawan kita itu sangat bongkak dan jahat. Mereka mahu merampas segala milik kita dan membunuh kita dan anak isteri kita. 21Tetapi kita berjuang untuk nyawa dan agama kita. 22Tuhan sendiri akan membinasakan musuh di depan kita. Jadi jangan takut kepada mereka!”
23Sesudah berkata begitu, Yudas dan anak buahnya menyergap Seron serta pasukannya dan membinasakan mereka. 24Mereka mengejar musuh di jalan yang menurun dari Bet-Horon hingga ke dataran dan membinasakan lebih kurang 800 orang, sedangkan yang lainnya melarikan diri ke Filistea. 25Sejak itu Yudas dan saudara maranya sangat ditakuti dan disegani oleh bangsa-bangsa di sekeliling. 26Semua bangsa mempercakapkan pertempuran-pertempuran yang dilakukan Yudas, dan hal itu terdengar juga oleh Raja Antiokhus.
Lisias Dilantik Menjadi Gabenor
27Ketika Raja Antiokhus mendengar kejadian itu, baginda sangat murka. Baginda memberi perintah supaya seluruh angkatan perang kerajaannya bergabung menjadi bala tentera yang sangat kuat. 28Para askar diberi satu tahun gaji daripada perbendaharaan kerajaan, dan mereka disuruh siap siaga menghadapi apa sahaja. 29Tetapi kemudian diketahuinya bahawa tidak cukup wang di dalam perbendaharaan. Pendapatan wang cukai dari wilayah-wilayah telah berkurangan, kerana kekacauan dan keresahan gara-gara raja sendiri ketika baginda menghapuskan undang-undang yang wujud sejak zaman dahulu. 30Raja Antiokhus biasa memberi hadiah-hadiah dengan murah hati, melebihi raja-raja sebelumnya. Tetapi sekarang baginda khuatir wang tidak cukup untuk hadiah. Bahkan untuk membiayai perbelanjaan yang biasa pun tidak cukup. Hal itu pernah terjadi satu atau dua kali dahulu. 31Raja amat susah hati dan memutuskan untuk pergi ke Persia dan memungut cukai dari semua wilayah di sana dan mengumpulkan wang yang banyak.
32Lisias, seorang terkemuka keturunan raja, dilantik menjadi gabenor untuk mengurus kerajaan dari Sungai Efrat sehingga ke perbatasan Mesir. 33Lisias juga dijadikan wali puteranya Antiokhus yang Kelima, sehingga raja kembali. 34Selain itu Lisias diserahi semua gajah dan separuh daripada tentera kerajaan. Lalu dia diberi petunjuk tentang semua rancangan raja, terutama sekali tentang penduduk Yudea dan Yerusalem. 35Lisias diperintahkan untuk mengirim sepasukan tentera bagi menentang orang Yahudi, khususnya yang masih tertinggal di Yerusalem, untuk menggempur dan mematahkan kekuatan mereka, dan menumpas mereka sama sekali sehingga mereka tidak diingati lagi. 36Dia disuruh mengambil tanah mereka dan memberi tanah tersebut kepada orang asing yang akan dipindahkan ke seluruh wilayah itu. 37Lalu dalam tahun 147 raja bersama dengan pasukan tentera selebihnya berangkat dari Antiokhia, ibu kota baginda. Baginda menyeberang Sungai Efrat dan menjelajah dataran tinggi Persia.
Ancaman Gorgias dan Nikanor
(2 Mak 8.8-29,34-36)
38Kemudian Lisias memilih tiga orang tokoh terkemuka daripada kalangan sahabat raja untuk menjadi pemimpin pasukan tentera. Mereka ialah Nikanor, Gorgias, dan Ptolemeus anak Dorimenus. 39Mereka dikirim bersama dengan 40,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 7,000 orang pasukan berkuda untuk menyerbu dan membinasakan negeri Yudea seperti yang diperintahkan oleh raja. 40Maka berangkatlah mereka dengan seluruh pasukan. Apabila sampai di dataran dekat dengan Emaus, mereka berkhemah di sana. 41Pasukan tentera dari Siria dan Filistea bergabung dengan mereka. Para pedagang dari wilayah itu, setelah mendengar kekuatan tentera, datang ke perkhemahan. Mereka membawa banyak wang dan rantai dengan harapan untuk membeli orang Israel sebagai hamba.
42Yudas dan saudara-saudaranya menyedari bahaya yang bertambah besar, kerana pasukan-pasukan tentera asing itu berkhemah di wilayah mereka. Mereka juga mendengar bahawa raja telah memberi perintah untuk menumpas seluruh bangsa mereka sehingga habis. 43Tetapi mereka berkata satu sama lain, “Mari kita bangkitkan semula bangsa kita daripada kebinasaan dan berjuang untuk tanah air dan Rumah Allah!” 44Lalu seluruh bangsa berkumpul untuk menyiapkan diri bagi pertempuran dan berdoa memohon belas kasihan Allah.
45Yerusalem tanpa penghuni seperti padang gurun;
tak ada penduduk yang keluar masuk kota.
Rumah Tuhan diinjak-injak,
kubu kota diduduki orang asing
dan dijadikan tempat penginapan orang luar.
Kegembiraan sudah lenyap dari Israel;
bunyi muzik tak terdengar lagi.
Yudas Menyiapkan Pasukan
46Kemudian Yudas dan anak buahnya berkumpul dan pergi ke kota Mizpa yang berhadapan dengan Yerusalem, oleh sebab dahulu orang Israel pernah mempunyai tempat ibadat di Mizpa. 47Sepanjang hari itu mereka berpuasa, memakai kain guni tanda berkabung, menaburi kepala mereka dengan abu, dan mengoyak pakaian mereka kerana sedih. 48Dalam keadaan seperti itu, bangsa-bangsa lain akan minta petunjuk kepada berhala-berhala mereka, tetapi orang Israel membuka kitab Taurat untuk mendapat bimbingan Allah. 49Mereka membawa pakaian imam, persembahan hasil tanah yang pertama, dan persembahan persepuluhan. Mereka juga membawa orang Nazir yang sudah menunaikan nazar mereka. 50Seluruh umat dengan suara nyaring berdoa begini, “Ya Tuhan, apakah yang harus kami lakukan dengan semuanya ini? Ke manakah harus kami membawanya? 51Rumah-Mu yang suci sudah diinjak-injak dan dicemarkan. Imam-imam-Mu berkabung dan merendahkan diri. 52Orang asing telah bersekutu untuk menyerang dan membinasakan kami. Tuhan tahu akan rancangan mereka untuk menentang kami. 53Jika Engkau tidak menolong kami, bagaimana kami dapat bertahan terhadap mereka?” 54Lalu mereka meniup trompet dan berteriak dengan nyaring.
55Sesudah itu, Yudas melantik pemimpin-pemimpin untuk mengetuai kelompok-kelompok askar yang berjumlah seribu, seratus, lima puluh, dan sepuluh orang. 56Tetapi sesuai dengan Taurat, Yudas menyuruh pulang semua orang yang sedang membina rumah, atau menanami ladang anggur, atau baru sahaja berkahwin, serta setiap orang yang ketakutan. 57Akhirnya pasukannya bergerak dan mengambil tempat di sebelah selatan kota Emaus. 58Kata Yudas kepada mereka, “Bersiaplah, dan hendaklah kamu gagah berani! Esok pagi kamu harus siap bertempur menentang orang asing yang telah bersekutu untuk menyerang serta membinasakan kita dan Rumah Allah. 59Lebih baik mati dalam pertempuran daripada menyaksikan kebinasaan bangsa kita dan kemusnahan Rumah Allah. 60Tetapi semoga terjadi apa yang dikehendaki Tuhan.”

Currently Selected:

1 MAKABE 3: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy