YouVersion Logo
Search Icon

1 MAKABE 5

5
Peperangan Melawan Bangsa-Bangsa Jiran
(2 Mak 10.14-33, 12.10-45)
1Bangsa-bangsa jiran marah sekali apabila mendengar bahawa orang Yahudi telah mendirikan mazbah dan menyucikan Rumah Tuhan semula. 2Mereka memutuskan untuk menumpaskan semua orang Yahudi yang tinggal di tengah-tengah mereka. Maka mereka mula membunuh orang Yahudi.
3Yudas memerangi keturunan Esau di Idumea dekat dengan Akrabatena, kerana mereka terus mengepung orang Israel. Dia mengalahkan mereka lalu menaklukkan dan merampasi mereka. 4Yudas juga ingat akan kejahatan kaum Baian yang merupakan ancaman bagi bangsa Israel, kerana mereka sering mengadang orang Israel di jalan-jalan. 5Orang Baian dikurungnya di dalam kubu-kubu mereka. Lalu dia mengepung mereka dan bersumpah akan membinasakan mereka. Kubu-kubu itu dibakarnya berserta semua orang yang ada di dalamnya. 6Kemudian Yudas mara untuk menyerang orang Amon. Di sana dia menghadapi tentera yang besar dan kuat di bawah pimpinan Timotius. 7Berkali-kali Yudas bertempur melawan mereka sehingga mengalahkan mereka. 8Dia merebut kota Yaezer dan kampung-kampung di sekitarnya, lalu kembali ke daerah Yudea.
Persiapan untuk Menyerbu Galilea dan Gilead
9Orang asing yang tinggal di Gilead bersekutu untuk menumpaskan orang Israel yang tinggal di wilayah mereka. Tetapi orang Israel melarikan diri ke kubu Datema, 10-11dan mengirim sepucuk surat berikut kepada Yudas dan saudara-saudaranya, “Orang asing di sekeliling kami bersekutu di bawah pimpinan Timotius. Kami telah melarikan diri ke kubu Datema. Sekarang mereka bersiap-siap hendak merebut kubu ini dan menumpaskan kami. 12Banyak antara kami sudah dibunuh. Datanglah untuk membebaskan kami. 13Semua lelaki Yahudi yang tinggal di wilayah Tob sudah dibunuh. Anak isteri mereka diangkut sebagai tawanan dan milik mereka dibawa pergi. Kira-kira seribu orang kami sudah ditumpaskan di sana.”
14Belum habis lagi surat itu dibaca, tiba-tiba datang utusan-utusan lain membawa laporan dari Galilea. Pakaian mereka koyak rabak menandakan kesedihan. 15Kata mereka, “Pasukan besar orang Ptolemais, Tirus, Sidon, dan semua orang asing yang tinggal di Galilea sudah berkumpul untuk membinasakan kami.”
16Apabila mendengar semua itu, Yudas dan rakyat mengadakan persidangan raksasa untuk memutuskan bagaimana menolong saudara mereka yang ditimpa kesukaran besar kerana serangan musuh. 17Kata Yudas kepada Simon abangnya, “Pilihlah sejumlah orang dan pergilah membebaskan saudara-saudara kita di Galilea. Saya dan Yonatan adik kita akan pergi ke Gilead.” 18Lalu Yudas meninggalkan pasukannya yang lain untuk menjaga daerah Yudea. Azarya dan Yusuf anak Zakarya ditugaskan untuk memimpin rakyat. 19Kata Yudas kepada mereka, “Kamu berdua kujadikan pemimpin rakyat, tetapi jangan pergi berperang melawan orang asing sebelum kami kembali.” 20Lalu tiga ribu orang askar diserahkan kepada Simon untuk pergi ke Galilea, dan lapan ribu orang askar diserahkan kepada Yudas untuk pergi ke Gilead.
Penyerbuan ke Daerah Galilea dan Gilead
21Kemudian Simon berangkat ke Galilea dan mengadakan banyak pertempuran dengan orang asing di sana. Dia mengalahkan 22dan mengejar mereka sehingga ke kota Ptolemais. Lebih kurang 3,000 orang askar musuh dibunuh dan dirompak. 23Lalu orang Yahudi yang tinggal di Galilea dan Arbata, berserta anak isteri dan harta benda mereka, dibawa oleh Simon ke Yudea dengan kegembiraan besar.
24Sementara itu Yudas Makabe dan Yonatan adiknya telah menyeberang Sungai Yordan dan berjalan selama tiga hari melalui padang gurun. 25Mereka berjumpa dengan orang Nabatai yang menerima mereka dengan ramah. Kumpulan orang itu menceritakan segala sesuatu yang telah menimpa orang Yahudi di Gilead. 26Mereka melaporkan bahawa banyak orang Yahudi terkurung di kota-kota Bozra, Beser, Alema, Kafso, Maked, dan Karnain; semuanya kota besar yang berkubu. 27Ada lagi orang yang terkurung di kota-kota lain di Gilead. Mereka melaporkan juga bahawa musuh bermaksud mengadakan serangan terhadap kubu-kubu itu pada hari esoknya, dengan harapan dapat menangkap dan menumpas semua orang Yahudi dalam waktu satu hari sahaja.
28Oleh itu Yudas dan pasukannya segera membelok dan berjalan melalui padang gurun ke Bozra. Kota itu ditawannya dan setiap orang lelaki dibunuh. Sesudah dirampasi, kota itu dibakar sehingga habis. 29Kemudian mereka berangkat dan sepanjang malam berjalan ke kubu Datema. 30Pada waktu fajar menyingsing, Yudas dan anak buahnya melihat pasukan yang amat besar menyerang kubu itu. Mereka sedang memasang tangga-tangga dan kayu-kayu pelantak untuk menyerang orang Yahudi di dalam kubu. 31Apabila mendengar keriuhan, teriakan, dan bunyi trompet dari kota, Yudas sedar bahawa pertempuran sudah bermula. 32Dia berkata kepada anak buahnya, “Hari ini kamu harus bertempur untuk saudara-saudara kita!”
33Lalu Yudas membentuk tiga pasukan dan menyerang musuh dari belakang. Sambil mara, mereka meniup trompet dan menyerukan doa-doa. 34Ketika pasukan yang dipimpin Timotius melihat bahawa itu Yudas Makabe, mereka melarikan diri dan menderita kekalahan besar. Pada hari itu lebih kurang 8,000 orang binasa.
35Kemudian Yudas membelok untuk menyerang kota Maafa. Kota itu ditawannya, dan semua penduduk lelaki dibunuh. Lalu kota itu dijarah dan dibakar sehingga habis. 36Setelah berangkat dari situ, direbutnya kota Kafso, Maked, Beser, dan kota-kota lain di daerah Gilead.
37Selepas itu Timotius mengumpulkan satu pasukan lain dan berkhemah berhadapan dengan kota Rafon di seberang sungai. 38Yudas menyuruh beberapa orang untuk mengintip perkhemahan itu. Setelah kembali, mereka membuat laporan kepadanya, “Semua bangsa asing di sekitar kita sudah bergabung dengan Timotius dan bersama-sama membentuk pasukan yang besar. 39Orang Arab juga diupah untuk memperkuat pasukan. Mereka berkhemah di seberang sungai, siap untuk menyerang kita.” Maka majulah Yudas untuk bertempur melawan mereka.
40Sementara Yudas dan anak buahnya mendekati sungai, Timotius berkata kepada para pegawai tenteranya, “Kalau dia menyeberang lebih dahulu, kita tidak dapat bertahan, oleh sebab kita pasti dikalahkan olehnya. 41Tetapi kalau dia takut dan berkhemah di seberang sana, kita akan menyeberang dan mengalahkan dia.” 42Ketika Yudas tiba di sungai, dia menempatkan pegawai-pegawai khas di tepi sungai dan memerintahkan mereka, “Jangan izinkan seorang pun berhenti. Semua harus mara bertempur!” 43Yudas sendiri yang pertama menyeberang untuk melawan musuh, dan seluruh anak buahnya ikut di belakangnya. Orang asing di situ digempur di hadapannya. Mereka membuang senjata mereka dan melarikan diri ke kuil di Karnain. 44Tetapi Yudas dan anak buahnya menawan kota itu dan membakar kuil dengan semua orang yang ada di dalamnya. Lalu kota itu ditumpaskan sama sekali, dan selanjutnya bangsa-bangsa asing tidak dapat lagi memberi perlawanan terhadap Yudas.
45Kemudian Yudas mengumpulkan semua orang Yahudi yang tinggal di Gilead untuk menghantar mereka ke Yudea. Jumlah mereka besar sekali, orang dewasa dengan anak isteri dan semua milik mereka. 46Mereka tiba di Efron, kota yang besar dan sangat kukuh, yang terletak di sela gunung. Tidak ada jalan di kiri atau kanannya. Satu-satunya jalan adalah melalui kota itu. 47Tetapi penduduknya tidak mahu mengizinkan orang Yahudi lalu. Mereka menutup pintu gerbang dan merintanginya dengan batu. 48Yudas mengirim pesan persahabatan kepada mereka, katanya, “Kami dalam perjalanan pulang ke negeri kami. Izinkanlah kami melalui daerah kamu. Tidak seorang pun akan mengganggu kamu; kami hanya ingin lalu.” Tetapi penduduk kota itu tidak mahu membuka pintu gerbang.
49Maka Yudas menyuruh setiap orang mengambil tempat masing-masing. 50Jadi para askar bersiap-siap. Mereka menyerang kota dan bertempur sehari semalam penuh sehingga kota itu jatuh ke tangan mereka. 51Semua penduduk lelaki dibunuh, lalu kota dijarah dan diratakan dengan tanah. Kemudian Yudas dan rakyat melalui kota itu dengan berjalan di atas mayat-mayat penduduknya. 52Mereka menyeberang Sungai Yordan menuju ke dataran luas yang berhadapan dengan Bet-Sean. 53Sepanjang jalan Yudas mengumpulkan orang yang ketinggalan dan memberi semangat kepada rakyat sehingga mereka tiba di tanah Yudea. 54Dengan rasa syukur dan gembira mereka naik ke Bukit Sion dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan kerana mereka tiba dengan selamat tanpa kehilangan seorang pun.
Yusuf dan Azarya dikalahkan
55Sementara itu Yudas dan Yonatan berada di Gilead dan Simon abang mereka di Galilea dekat dengan kota Ptolemais. 56Azarya dan Yusuf anak Zakarya, dua orang panglima pasukan di Yudea, mendapat khabar tentang kepahlawanan Yudas dan Simon. 57Lalu mereka berkata, “Marilah kita berperang melawan orang asing di sekitar sini supaya kita juga mendapat nama harum.” 58Maka mereka menyuruh anak buah mereka menyerang kota Yamnia. 59Tetapi Gorgias dan anak buahnya keluar dari kota itu hendak bertempur dengan mereka. 60Yusuf dan Azarya dikalahkan dan dikejar sehingga ke perbatasan Yudea. Pada hari itu lebih kurang 2,000 orang Israel binasa. 61Rakyat menderita kekalahan besar kerana pemimpin-pemimpin itu ingin menjadi pahlawan dan tidak mahu taat kepada Yudas dan saudara-saudaranya. 62Selain itu mereka bukan berkerabat dengan orang yang dipilih oleh Tuhan untuk membebaskan Israel.
Kemenangan di Idumea dan Filistea
63Yudas Makabe dan saudara-saudaranya sangat dihormati oleh semua orang Israel dan orang asing. Di mana sahaja nama mereka terdengar, 64orang berkerumun untuk memuji mereka.
65Kemudian Yudas dan saudara-saudaranya pergi untuk memerangi orang Idumea di selatan. Dia menyerang kota Hebron dan kampung-kampung di sekitarnya. Kubu-kubunya dihancurkan dan menara-menara di sekelilingnya dibakar. 66Dari situ dia mara terus ke negeri Filistea melalui kota Marisa. 67Pada hari itu sejumlah imam gugur dalam pertempuran kerana mereka ingin menjadi termasyhur dan dengan bodohnya keluar untuk bertempur. 68Kemudian Yudas belok ke kota Asdod di negeri Filistea. Dia membongkar mazbah-mazbah dan membakar berhala-berhala mereka. Sesudah menjarah kota-kota mereka, dia kembali ke Yudea.

Currently Selected:

1 MAKABE 5: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy