YouVersion Logo
Search Icon

1 MAKABE 2

2
Keluhan Matatias
1Pada waktu itu seorang imam daripada keluarga Yoarib yang bernama Matatias, anak Yohanes, cucu Simeon, pindah dari Yerusalem dan menetap di kota Modein. 2Matatias mempunyai lima orang anak: Yohanes yang disebut Gadi, 3Simon yang disebut Tasi, 4Yudas yang disebut Makabe, 5Eleazar yang disebut Avaran, dan Yonatan yang disebut Apfus.
6Ketika Matatias melihat semua pencemaran yang dilakukan di Yudea dan di Yerusalem, 7dia berkata,
“Celakalah aku ini! Mengapa aku dilahirkan
untuk melihat keruntuhan bangsaku dan kota suci?
Haruskah aku diam saja
sementara kota itu diserahkan kepada musuh
dan Rumah Tuhan jatuh ke tangan orang asing?
8Rumah Allah seperti orang tanpa kehormatan;
9perlengkapannya yang indah sudah habis dijarah.
Anak-anak kita dibunuh di jalan-jalan,
para pemuda kita binasa oleh pedang lawan.
10Kedaulatan Yerusalem sudah dirampas
dan hartanya dirompak oleh segala bangsa.
11Semua perhiasannya sudah diambil;
dia kehilangan kemerdekaannya dan menjadi hamba.
12Lihatlah tempat suci; segala yang indah dan mulia bagi kita
telah dicemarkan dan dirosakkan oleh orang asing.
13Jadi apa gunanya hidup bagi kita?”
14Lalu Matatias dan anak-anaknya mengoyak pakaian mereka kerana sedih dan memakai kain guni tanda berkabung.
Korban di Modein
15Para pegawai raja yang ditugaskan untuk memaksa orang Yahudi meninggalkan Allah, datang ke Modein untuk mempersembahkan korban kepada dewa-dewa. 16Banyak orang Israel datang bertemu dengan mereka. Matatias dan anak-anaknya ikut berkumpul. 17Para pegawai raja berkata kepada Matatias, “Tuan seorang pemimpin yang besar dan terhormat di kota ini dan disokong oleh anak-anak dan kaum keluarga tuan. 18Baiklah tuan menjadi orang pertama yang melakukan perintah raja. Semua bangsa lain, penduduk Yudea, serta semua orang yang masih tinggal di Yerusalem sudah melakukannya. Kalau tuan menurut, tuan dan anak-anak tuan akan diberi gelaran ‘Sahabat Raja’ dan dihormati dengan pemberian emas, perak, dan banyak hadiah yang lain.”
19Matatias menjawabnya dengan suara kuat, “Biarlah semua bangsa dalam lingkungan kerajaan ini taat kepada raja dan meninggalkan agama nenek moyang mereka. 20Saya, anak-anak saya, dan kaum keluarga saya tetap setia kepada perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang kami. 21Dengan bantuan Allah, kami akan tetap berpegang pada Taurat dan perintah-perintah-Nya. 22Kami tak mahu mentaati perintah raja dan tak mahu menyimpang sedikit pun daripada cara beribadat kami.”
23Selepas sahaja dia selesai bercakap, seorang Yahudi dari Modein tampil ke hadapan orang ramai untuk mempersembahkan korban di atas mazbah, sesuai dengan perintah raja. 24Apabila melihat orang itu, Matatias menjadi marah sekali. Kemarahannya meluap-luap sehingga badannya gementar. Dia maju dan membunuh orang itu dekat mazbah. 25Pegawai raja yang memaksa orang mempersembahkan korban dibunuhnya juga. Lalu dia merobohkan mazbah itu. 26Dengan cara itu Matatias menunjukkan semangatnya yang besar untuk membela Taurat, seperti yang dilakukan Pinehas ketika membunuh Zimri anak Salom.
Matatias Melancarkan Perang Gerila
27Kemudian Matatias mengelilingi kota sambil berseru, “Siapa yang setia kepada perjanjian Allah dan ingin taat kepada Taurat-Nya, ikut aku!” 28Lalu dia dan anak-anaknya meninggalkan segala milik mereka di kota dan melarikan diri ke pergunungan.
29-30Pada waktu itu ada banyak orang Israel lain yang ingin memelihara hubungan baik dengan Allah dan mentaati Taurat-Nya. Mereka membawa anak isteri serta ternakan mereka dan melarikan diri ke padang gurun supaya terhindar daripada penganiayaan yang dahsyat. 31Tidak lama kemudian para pegawai raja dan pasukan di kubu di Yerusalem diberitahu bahawa sejumlah orang yang mengingkari perintah raja telah lari untuk bersembunyi di padang gurun. 32Lalu satu pasukan besar mengejar dan menjumpai mereka. Mereka berkhemah berhadapan dengan semua orang Yahudi itu dan bersiap-siap untuk menyerang mereka pada hari Sabat. 33Mereka berteriak kepada orang Yahudi, “Cukuplah sekarang! Keluar! Taatilah perintah raja supaya kamu selamat!”
34“Tidak!” sahut mereka. “Kami tak mahu keluar untuk mentaati perintah raja. Kami tak mahu melanggar peraturan hari Sabat!”
35Segera para askar mula menyerang mereka, 36tetapi orang Yahudi tidak menentang mereka sedikit pun. Mereka tidak melempar lawan mereka dengan batu atau merintang jalan ke tempat-tempat persembunyian mereka. 37Kata mereka, “Kami semua akan mati dengan hati bersih. Biar langit dan bumi menjadi saksi bahawa kamu membunuh kami dengan tidak adil.” 38Lalu mereka diserang musuh pada hari Sabat. Lebih kurang seribu orang mati, termasuk lelaki, wanita dan anak-anak berserta ternakan mereka.
39Apabila mendengar berita itu, Matatias dan kawan-kawannya berasa sangat sedih 40dan berkata sesama mereka, “Kalau kita semua berbuat seperti saudara-saudara kita dan tak mahu bertempur melawan orang asing untuk mempertahankan nyawa dan agama kita, pasti tak lama lagi kita akan lenyap dari muka bumi.” 41Pada hari itu mereka memutuskan untuk memberi tentangan apabila mereka diserang pada hari Sabat, supaya mereka tidak mati semua seperti saudara-saudara mereka yang habis dibunuh di tempat persembunyian mereka.
42Kemudian Matatias dan anak buahnya disertai oleh sekelompok orang yang berbakti kepada Allah dan disebut kaum Mursyid, orang Israel yang gagah perkasa, dan sesiapa sahaja yang mahu membela Taurat. 43Selain itu setiap orang yang melarikan diri daripada penganiayaan, ikut bergabung dengan mereka untuk memperkuat pasukan mereka. 44Lalu Matatias membentuk sepasukan tentera dan dengan geramnya menyerang orang Yahudi yang berdosa dan melanggar Taurat. Mereka yang terlepas harus melarikan diri kepada bangsa asing supaya selamat. 45Matatias dan kawan-kawannya pergi ke merata tempat dan merobohkan mazbah-mazbah orang asing. 46Setiap anak lelaki yang didapati belum bersunat di wilayah Israel, mereka menyunatnya dengan paksa. 47Mereka juga berjaya mengusir para pegawai asing yang bongkak itu. 48Mereka menyelamatkan Taurat Musa daripada orang asing serta raja-raja mereka, dan mematahkan kekuasaan Raja Antiokhus.
Matatias Meninggal
49Apabila Matatias sudah hampir meninggal, Matatias berkata kepada anak-anaknya, “Zaman ini penuh dengan pergolakan dan keganasan. Orang bongkak memegang kekuasaan dan menjadikan kita bahan tertawaan. 50Tetapi kamu, anak-anakku, harus mentaati hukum dan bersedia mati untuk mempertahankan perjanjian Allah dengan nenek moyang kita. 51Ingatlah apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu. Ikutilah teladan mereka, maka kamu pun akan mendapat kehormatan besar dan nama kamu diingati selama-lamanya. 52Ingatlah bagaimana Abraham ternyata setia apabila diuji, sehingga Tuhan berkenan menerimanya. 53Yusuf pun demikian ketika mengalami kesukaran mentaati perintah Allah dan kemudian menjadi penguasa di Mesir. 54Pinehas, nenek moyang kita berkobar-kobar semangatnya bagi Tuhan, sehingga Tuhan berjanji kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi imam untuk selama-lamanya. 55Yosua dijadikan pemimpin di Israel kerana dia taat kepada perintah Musa. 56Kaleb memberi laporan baik kepada umat, maka dia menerima tanah sebagai milik pusaka. 57Daud tetap setia, kerana itu Allah berjanji kepadanya bahawa keturunannya akan memerintah sebagai raja turun-temurun. 58Elia diangkat ke syurga kerana semangatnya yang besar untuk membela Taurat. 59Anania, Azarya, dan Misael diselamatkan daripada nyala api kerana iman mereka. 60Daniel diselamatkan dari muncung singa kerana dia tulus hati. 61Hendaklah kamu masing-masing mencontohi nenek moyang kita, maka kamu akan melihat bahawa orang yang percaya kepada Tuhan tidak menjadi lemah. 62Jangan takut akan ancaman orang jahat, oleh sebab kekayaan mereka akan berakhir dan mayat mereka yang membusuk menjadi makanan cacing. 63Hari ini mereka mendapat kehormatan besar, tetapi esok mereka lenyap. Badan mereka kembali menjadi tanah dan semua rancangan mereka akan berakhir. 64Anak-anakku, hendaklah kamu kuat dan gagah berani untuk mempertahankan Taurat, kerana hanya melalui Taurat kamu mendapat kehormatan besar.
65Saudaramu ini, Simeon, orang yang berbudi. Dengarkan dia selalu seperti kamu mendengar bapamu. 66Yudas Makabe gagah berani sejak masa muda lagi. Dia akan menjadi panglimamu dan memimpin pertempuran melawan musuh. 67Himpunlah semua orang yang taat kepada Taurat Allah supaya bergabung dengan kamu, dan maralah untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadap bangsa kita. 68Hukumlah bangsa-bangsa asing kerana perbuatan mereka. Hendaklah kamu tetap setia kepada peraturan-peraturan Taurat.”
69Sesudah memberkati anak-anaknya, Matatias meninggal 70dan dikuburkan di kuburan keluarganya di Modein. Seluruh bangsa Israel menangisi dan meratapi kematiannya. Hal itu terjadi dalam tahun 146.

Currently Selected:

1 MAKABE 2: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy