YouVersion Logo
Search Icon

SIRAKH 27

27
1Banyak orang berbuat dosa kerana wang, dan orang yang ingin menjadi kaya pura-pura buta. 2Seperti pasak tertancap di antara dua batu yang rapat, begitu juga ketidakjujuran bersarang antara jual dan beli. 3Seorang yang tidak bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan, keluarganya akan segera hancur.
Isi Hati Orang Diketahui Daripada Tutur Kata
4Kalau ayakan digoyangkan, tinggallah sampahnya. Begitu juga yang kotor tinggal paling lama dalam fikiran manusia. 5Seperti barang tembikar diuji dalam perapian, begitu juga watak manusia diuji dalam percakapannya. 6Daripada buahnya diketahui pemeliharaan pokoknya. Begitu juga daripada tutur kata seseorang diketahui pemikiran hatinya. #Mat 7.17, 12.33; Luk 6.44 7Jangan puji seseorang sebelum mendengar jalan fikirannya, kerana itulah batu ujiannya.
Kejujuran
8Jika engkau mengejar keadilan, engkau pasti berhasil. Keadilan seperti pakaian kebesaran yang membuat engkau lebih tampan. 9Burung berkawan dengan burung sejenis. Begitu juga orang yang bertabiat jujur akan berlaku jujur. 10Seperti singa mengincar mangsa, dosa mengincar orang yang melakukan kejahatan.
Percakapan yang Bodoh
11Apabila orang salih bercakap, kata-kata mereka selalu bijaksana, sedangkan perkataan orang bodoh berubah-ubah seperti bulan. 12Jika engkau di kalangan orang bodoh, carilah kesempatan untuk pergi, tetapi jika engkau di kalangan kaum cerdik cendekia, tinggallah selama mungkin.
13Kata-kata orang bodoh menyakitkan hati; mereka tertawa di tengah keriangan dosa. 14Sumpah serapah mereka membuat bulu roma orang menegak. Kalau mereka mula bertengkar, lebih baik menyumbat telinga. 15Caci maki mereka membuat orang tersinggung, dan pertikaian mereka yang angkuh mengakibatkan pertumpahan darah.
Membocorkan Rahsia
16Orang yang suka membocorkan rahsia kehilangan kepercayaan orang dan tidak akan mendapat kawan karib. 17Cintailah sahabatmu dan setialah kepadanya. Tetapi jika engkau sudah membocorkan rahsianya, jauhkan diri daripadanya, 18oleh sebab engkau sudah merosak persahabatan itu seperti orang membinasakan musuh mereka. 19Seperti seekor burung yang kaulepaskan tidak akan kembali ke tanganmu lagi, begitu juga engkau telah kehilangan sahabatmu, dan dia tidak akan kembali kepadamu lagi. 20Jangan kejar dia, oleh sebab dia sudah jauh. Dia telah lari seperti seekor rusa dari perangkap. 21Luka dapat dibalut dan penghinaan dapat dimaafkan. Tetapi tidak ada harapan bagi orang yang telah membocorkan rahsia. #Ams 20.19, 25.9
Sikap Munafik
22Seorang yang mengedipkan mata kepadamu pasti merancang yang jahat, dan tidak seorang pun dapat menghalangi dia. 23Apabila dia bersama-samamu, kata-katanya manis. Segala ucapanmu dipuji olehnya. Tetapi di belakangmu kata-katanya lain; dia menggunakan ucapanmu untuk menjatuhkan engkau. 24Tidak ada yang lebih kubenci di dunia daripada orang seperti itu, dan Tuhan pun membenci dia.
25Seorang yang melemparkan batu ke atas, melemparkannya ke atas kepalanya sendiri. Seorang yang melukai, dia sendiri kena cedera. 26Seorang yang menggali lubang akan jatuh ke dalamnya, dan seorang yang memasang perangkap akan terjerat olehnya. 27Seorang yang melakukan kejahatan akan ditimpa kejahatannya sendiri, dan dia tidak tahu dari mana datangnya.
28Orang bongkak suka mengejek dan mencaci maki, tetapi hukuman mengadang mereka seperti seekor singa. 29Orang yang suka melihat kebinasaan orang salih akan jatuh ke dalam perangkap, dan akan sengsara sebelum mati.
Membalas Dendam
30Kemarahan dan dendam adalah sifat keji yang menguasai orang berdosa.

Currently Selected:

SIRAKH 27: BMDC

Highlight

Copy

Compare

Share

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in