SIRAKH 26
26
Kebahagiaan Orang yang Mempunyai Isteri yang Baik
1Berbahagialah seorang suami yang mempunyai isteri yang baik. Umurnya akan bertambah dua kali ganda. 2Seorang isteri yang budiman menggembirakan hati suaminya sehingga dia dapat hidup tenteram sehingga akhir hayatnya. 3Isteri yang baik ialah anugerah yang diberikan kepada orang yang takut akan Tuhan. 4Sama ada kaya atau miskin, hati mereka selalu senang dan wajah mereka gembira.
Isteri yang Jahat
5Ada tiga perkara yang menakutkan hatiku, iaitu: fitnah yang disebarkan di kota, orang ramai yang berkumpul, dan tuduhan palsu. Semua itu lebih buruk daripada kematian. Perkara keempat membuat aku ketakutan, iaitu 6kesedihan dan sakit hati yang didatangkan oleh seorang wanita yang iri hati terhadap wanita lain, dan yang membidas setiap orang.
7Seorang isteri yang jahat seperti kok lembu yang goyah; mengendalikan dia sama dengan memegang kala jengking. 8Seorang wanita yang mabuk membuat orang marah sekali kerana dia tidak menyembunyikan tingkah lakunya yang memalukan. 9Seorang isteri yang tidak setia dapat dikenal daripada pandangannya yang merangsang dan merayu.
10Jagalah dengan ketat seorang anak perempuan yang keras kepala. Kalau tidak, dia akan menyalahgunakan setiap kesempatan yang diperolehnya. 11Awasilah pandangannya yang tidak tahu malu, dan jangan hairan kalau dia berdosa terhadap engkau. 12Di mana sahaja, dia akan duduk mengangkang di hadapan setiap lelaki yang mengingini dia, seperti pengembara yang haus minum apa sahaja yang didapatnya.
Pujian bagi Isteri yang Baik
13Kecantikan seorang isteri menyenangkan suaminya, dan kepandaiannya membuat dia sihat. 14Isteri yang pendiam ialah anugerah daripada Tuhan; tidak ada yang lebih berharga daripada isteri yang terdidik. 15Isteri yang bersopan dan murni sangat berharga, dan tidak ada taranya. 16Kecantikan isteri yang baik dalam rumah tangga yang teratur seperti matahari yang bersinar di langit Tuhan. 17Wajah yang cantik dan tubuh yang elok seperti lampu yang bersinar pada kaki lampu di Rumah Tuhan. 18Kaki yang molek dan pergelangan kaki yang kuat#pergelangan kaki yang kuat; atau buah dada yang kuat; atau hati yang mantap. seperti tiang emas yang beralas perak.#Dalam beberapa buah naskhah ada tambahan ayat 19-27: 19 Anakku, jagalah kesihatanmu sementara engkau masih muda dan jangan berikan kekuatanmu kepada orang asing. 20 Di seluruh negeri carilah sebidang ladang yang subur dan tanaminya dengan benihmu sendiri, dengan bergantung kepada keturunan baikmu sendiri. 21 Maka anak-anakmu akan tetap hidup dan berkembang kerana percaya kepada keluarganya yang baik. 22 Seorang pelacur dianggap seperti ludah, sedangkan seorang isteri yang sah seperti kubu yang membawa maut kepada orang yang mahu bergaul dengan dia. 23 Orang yang tidak mengendahkan hukum Tuhan akan mendapat isteri yang jahat, sedangkan orang yang takut kepada Tuhan mendapat isteri yang salih. 24 Seorang wanita yang tidak tahu malu, tindakannya selalu memalukan. Tetapi seorang wanita yang sopan akan tetap berlaku sopan juga terhadap suaminya. 25 Wanita yang keras kepala dianggap seperti anjing, sedangkan wanita yang sopan takut kepada Tuhan. 26 Isteri yang menghormati suami dianggap bijak oleh semua orang, sedangkan isteri yang congkak dan tidak menghormati suami akan dikenal sebagai wanita yang jahat. Berbahagialah suami yang mempunyai isteri yang baik, kerana umur mereka bertambah dua kali ganda. 27 Wanita yang bermulut besar dan suka berbual kosong, seperti trompet yang dibunyikan pada waktu perang. Orang yang mempunyai isteri seperti itu harus hidup dalam suasana perang seumur hidupnya.
Pengamatan yang Menyedihkan
28Dua perkara membuat aku sedih dan yang ketiga membuat aku marah, iaitu:
seorang askar yang jatuh miskin,
seorang cerdas yang tidak dihormati,
dan seorang baik yang menjadi jahat.
Orang seperti itu akan dihukum oleh Tuhan dengan kematian. 29Susah sekali bagi seorang pedagang untuk tidak membuat kesalahan. Tidak ada pedagang yang terlepas daripada dosa.
Currently Selected:
SIRAKH 26: BMDC
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.