Galatia 6
6
Saling membantu
1Saudara-saudara, jika seseorang didapati melakukan sesuatu kesalahan, kamu yang bersifat rohani pimpinlah dia ke jalan baik dengan lemah lembut, sambil menjaga dirimu, jangan sampai kamu turut tergoda. 2Tanggung-menanggunglah beban satu sama lain, dan dengan demikian laksanakan hukum Kristus. 3Jika seseorang menyangka dirinya mempunyai kelebihan sedangkan dia sebenarnya tidak mempunyainya, maka dia menipu dirinya sendiri. 4Setiap orang harus menguji kerjanya sendiri, supaya dia dapat bermegah atas apa yang ada pada dirinya sahaja, bukan berbanding dengan apa yang ada pada orang lain. 5Sebabnya setiap orang akan menanggung bebannya sendiri.
6Orang yang diajari firman hendaklah berkongsi segala yang baik dengan pengajarnya.
7Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya.
8Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal. 9Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. 10Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman.
Bukan persunatan tetapi satu ciptaan baru
11Lihatlah betapa besarnya huruf-huruf yang kutulis kepadamu dengan tanganku sendiri! 12Mereka yang ingin menunjukkan diri baik secara lahiriah, merekalah yang ingin memaksa kamu bersunat, semata-mata untuk mengelakkan diri mereka dianiaya kerana salib Kristus. 13Orang yang bersunat itu pun tidak memegang hukum Taurat, tetapi mereka mahu kamu disunatkan supaya mereka dapat bermegah dengan keadaan lahiriahmu. 14Tetapi aku sekali-kali tidak mahu bermegah dengan apa pun kecuali salib Tuhan kita Yesus Kristus yang melalui-Nya dunia telah disalib kepadaku dan aku juga kepada dunia. 15Sebabnya sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya; menjadi satu ciptaan baru, itulah yang penting. 16Bagi mereka yang hidup menurut hukum ini, sejahtera dan belas kasihan atas mereka, dan atas Israel Allah.
17Akhir kata, janganlah sesiapa menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada parut-parut Yesus.
18Saudara-saudara, semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai rohmu. Amin.
Currently Selected:
Galatia 6: AVB
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited
GALATIA 6
6
Saling Memikul Beban
1Saudara-saudaraku, jika seseorang didapati melakukan sesuatu yang salah, hendaklah kamu yang hidup menurut pimpinan Roh Allah, membimbing orang itu kembali kepada jalan benar. Tetapi kamu harus melakukannya dengan lemah lembut. Berwaspadalah, supaya kamu sendiri tidak tergoda untuk berbuat hal yang sama. 2Hendaklah kamu saling menolong memikul beban. Dengan cara demikian kamu akan mentaati#akan mentaati; Beberapa buah naskhah kuno:mentaati. perintah Kristus. 3Jika seseorang menyangka dirinya penting, padahal tidak, orang itu menipu dirinya sendiri. 4Tiap-tiap orang harus memeriksa kelakuannya sendiri, sama ada baik atau tidak. Jika baik, dia boleh berbangga dengan hal itu. Tetapi dia tidak perlu membandingkan apa yang dilakukannya dengan apa yang dilakukan orang lain, 5kerana tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.
6Orang yang sedang menerima ajaran Kristus, harus memberi gurunya bahagian sepatutnya daripada semua yang baik yang dimilikinya.
7Janganlah tipu diri sendiri. Tidak seorang pun dapat memperbodohkan Allah. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.
8Jika seorang menanam menurut tabiat manusianya, dia akan menuai kematian. Tetapi jika dia menanam menurut pimpinan Roh Allah, dia akan menuai hidup sejati dan kekal daripada Roh Allah. 9Oleh itu, janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya. 10Oleh itu, selama kita berpeluang, kita patut berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman.
Amaran dan Salam
11Perhatikanlah bahagian ini yang aku tulis sendiri dengan huruf yang besar-besar! 12Mereka yang berusaha untuk memaksa kamu bersunat adalah orang yang mahu membanggakan diri tentang hal-hal zahir. Tetapi mereka berbuat demikian supaya mereka tidak dianiaya oleh orang Yahudi oleh sebab salib Kristus. 13Tetapi mereka yang membiarkan diri disunat, juga tidak mentaati Taurat. Mereka mahu kamu disunat supaya mereka boleh membanggakan diri bahawa kamu mentaati upacara penyunatan itu. 14Tetapi aku hanya mahu membanggakan Tuhan kita Yesus Kristus yang sudah mati pada kayu salib. Oleh sebab Kristus sudah mati pada kayu salib, dunia ini tidak bererti apa-apa lagi bagiku. Aku seolah-olah sudah mati terhadap dunia ini. 15Sama ada orang bersunat atau tidak, hal ini tidak menjadi soal. Yang penting adalah menjadi manusia baru. 16Bagi mereka yang hidup dengan pendirian itu, dan juga bagi semua umat Allah, aku berdoa agar Allah mengurniai mereka kesejahteraan dan rahmat-Nya.
17Akhirnya, janganlah seorang pun susahkan aku lagi, kerana bekas-bekas luka pada tubuhku membuktikan bahawa aku hamba Yesus.
18Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua. Amin.
Currently Selected:
:
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version with Deuterocanonicals © The Bible Society of Malaysia, 1996.