Galatia 5
5
Kemerdekaan dalam Kristus
1Demi kemerdekaan Kristus telah memerdekakan kita. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh Kristus kepada kita, dan jangan biarkan diri dibelenggu oleh kuk perhambaan semula.
2Dengarlah kata-kataku! Aku, Paulus, bersaksi kepadamu bahawa jika kamu bersunat kelak, tiada berfaedahlah Kristus kepadamu. 3Dan aku bersaksi lagi kepada setiap orang yang bersunat, bahawa dia berhutang dan mesti mengerjakan seluruh hukum Taurat. 4Kamu yang berusaha untuk diperbenar melalui hukum Taurat telah terpisah daripada Kristus. Kamu telah terkeluar daripada kasih kurnia Allah. 5Kita, melalui Roh dan dengan iman, bersungguh-sungguh menantikan harapan mendapat perbenaran.#5:5 Perkataan, ‘perbenaran’ dapat merujuk kepada tindakan Allah untuk memungkinkan orang berbaik semula dengan-Nya. 6Kerana dalam Kristus Yesus, sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya, melainkan iman bekerja melalui kasih.
7Dahulu perjalananmu baik. Siapakah yang telah menghalangmu sehingga kamu tidak lagi menurut yang benar? 8Pujukan ini bukannya daripada Tuhan yang memanggilmu. 9#1Kor 5:6.“Sedikit ragi pun akan meragikan tepung segumpal.” 10Aku yakin padamu, dalam Tuhan, bahawa fikiranmu tidak akan bercabang; tetapi orang yang mengacau fikiranmu itu akan menerima hukumannya, walau siapa pun dia.
11Saudara-saudara, jika aku masih menyebarkan ajaran supaya orang bersunat, mengapakah aku masih dianiaya? Kalau begitu, salib itu tidak lagi menjadi penghalang. 12Ingin kuminta agar orang yang mengacau fikiranmu itu mengasingkan diri mereka sendiri!
13Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih. 14#Im 19:18.Kerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” 15Tetapi jika kamu gigit-menggigit dan makan-memakan sesama sendiri, berhati-hatilah, jangan sampai kamu saling membinasakan.
Hidup menurut Roh
16Aku berkata, melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan keinginan sifat tabii. 17#Rm 7:15-23.Kerana keinginan tabii manusia menentang Roh, dan Roh menentang keinginan tabii manusia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan. 18Tetapi jika kamu dipimpin oleh Roh, kamu tidaklah di bawah hukum Taurat.
19Kelakuan tabii manusia adalah nyata: perbuatan cabul, kecemaran dan kelucahan; 20menyembah berhala dan sihir; kebencian, perbalahan, hasad dengki, letusan kemarahan, cita-cita untuk kebesaran diri, perselisihan, berpuak-puak 21dan iri hati; kemabukan, berpesta keterlaluan, dan sebagainya. Tentang ini aku berkata kepadamu, sebagaimana sudah kukatakan kepadamu dahulu, bahawa orang yang mengamalkan perkara-perkara demikian tidak akan mewarisi kerajaan Allah.
22Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, 23lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini. 24Mereka yang menjadi milik Kristus Yesus telah menyalib tabii manusia berserta hawa nafsu dan keinginannya. 25Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga. 26Janganlah kita menjadi bongkak, saling menyakitkan hati, dan berdengki-dengkian sama sendiri.
Currently Selected:
Galatia 5: AVB
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited
GALATIA 5
5
Pertahankanlah Kebebasan Kamu
1Kita sekarang bebas, kerana Kristus telah membebaskan kita! Oleh itu pertahankanlah kebebasan kamu dan jangan biarkan diri kamu diperhamba lagi.
2Dengarlah! Aku, Paulus, berkata kepada kamu: Jika kamu membenarkan orang menyunat kamu, hal ini bererti bahawa apa yang dilakukan oleh Kristus untuk kamu tidak bermakna apa-apa. 3Sekali lagi aku memberikan peringatan kepada orang yang membiarkan dirinya disunat, bahawa dia wajib mentaati segenap Taurat itu! 4Jika kamu berusaha untuk berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, kamu telah memutuskan hubungan dengan Kristus. Dengan demikian kamu hidup di luar naungan rahmat Allah. 5Tetapi bagi kami, kami berharap bahawa dengan pertolongan Roh Allah dan berdasarkan kepercayaan kami kepada Kristus, Allah memungkinkan kami berbaik semula dengan Dia.#berbaik semula dengan Dia; Harfiah: kebenaran. 6Kerana pada masa kita bersatu dengan Kristus Yesus, bersunat atau tidak bersunat tidaklah menjadi soal. Yang penting hanyalah kepercayaan kepada Kristus, dan hal itu nyata dalam kasih kita kepada orang lain.
7Dahulu kamu berjuang dengan baik. Siapakah yang menyebabkan kamu berhenti mentaati ajaran Tuhan? Siapakah yang sudah memujuk kamu? 8Tentu bukan Allah, yang telah memanggil kamu. 9#1 Kor 5.6 Seperti kata orang, “Ragi yang sedikit boleh menjadikan seluruh adunan naik.” 10Meskipun demikian aku masih yakin bahawa kamu tidak akan mengikut pendirian lain, kerana kita semua sudah bersatu dengan Tuhan. Aku pun yakin bahawa orang yang mengacau fikiran kamu pasti akan dihukum oleh Allah.
11Tetapi tentang aku, saudara-saudaraku, jika aku mengajarkan bahawa orang perlu bersunat, mengapa aku masih dimusuhi? Jika aku masih berbuat demikian, maka perkhabaranku tentang salib Kristus tidak seharusnya menimbulkan persoalan. 12Aku berharap supaya semua orang yang mengacau fikiran kamu memisahkan diri daripada jemaah Kristian.
13Saudara-saudaraku, kamu sudah dipanggil untuk menjadi orang bebas. Tetapi janganlah jadikan kebebasan itu alasan untuk membiarkan diri dikuasai oleh hawa nafsu. Sebaliknya, kamu harus saling mengasihi dan saling menolong, 14#Im 19.18 kerana segenap Taurat tersimpul dalam satu perintah ini: “Kasihilah sesamamu manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” 15Tetapi jika kamu berlaku seperti binatang, saling mencedera dan menyakiti, berwaspadalah. Jika tidak, kamu akan membinasakan satu sama lain.
Keinginan Roh Allah dan Keinginan Manusia
16Inilah maksudku: Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia. 17#Rm 7.15-23 Hal itu demikian, kerana keinginan manusia bertentangan dengan keinginan Roh Allah, dan keinginan Roh Allah bertentangan dengan keinginan manusia. Kedua-duanya saling bermusuhan sehingga kamu tidak dapat melakukan apa yang kamu inginkan. 18Tetapi jika Roh Allah memimpin kamu, kamu tidak dikuasai oleh Taurat.
19Keinginan tabiat manusia nyata dalam semua perbuatan cabul, lucah, dan tidak senonoh; 20dalam penyembahan berhala dan penggunaan ilmu sihir. Orang bermusuhan dan berkelahi; mereka cemburu, lekas marah, dan mementingkan diri sendiri. Mereka berpecah dan berpihak-pihak, 21mereka iri hati, suka mabuk, berpesta liar, dan sebagainya. Aku memperingatkan kamu sekarang sebagaimana aku telah memperingatkan kamu dahulu: Orang yang melakukan perbuatan-perbuatan itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah.#Pemerintahan Allah; Harfiah: Kerajaan Syurga.
22Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, 23rendah hati, dan dapat mengawal diri. Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu. 24Demikianlah, orang yang menjadi milik Kristus Yesus sudah mematikan tabiat manusia dengan segala nafsu dan keinginannya. 25Roh Allah telah memberikan hidup baru kepada kita; oleh itu Dia juga harus menguasai hidup kita. 26Kita tidak boleh menjadi sombong atau saling menyakiti hati, ataupun iri hati terhadap satu sama lain.
Currently Selected:
:
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version with Deuterocanonicals © The Bible Society of Malaysia, 1996.