Mukjizat YesusSampel

Memberikan Makanan kepada Lima Ribu Orang
Ini merupakan salah satu mukjizat Yesus yang paling terkenal. Sehinggakan cerita ini dicatatkan dalam keempat-empat injil—Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Sebelum menelitinya, kita harus memahami perkara yang baru berlaku, yang menghancurkan hati Yesus.
Yohanes Pembaptis, sepupu Yesus dan orang yang “menyediakan jalan” bagi Dia, baru dibunuh. Sebaik sahaja Yesus mendengar berita yang sedih ini, Dia menyendiri. Namun, seperti biasa, orang ramai mendengar bahawa Dia berada di tempat yang berdekatan lalu mengikut Dia. Mesikpun di tengah-tengah kesedihan-Nya, Yesus berbelas kasihan terhadap orang yang datang menemui-Nya dan menyembuhkan orang dalam kalangan mereka.
Matius memberitahu kita bahawa orang ramai itu kekal di sana sehingga petang. Maka, murid-murid Yesus datang dan mencadangkan agar Dia “...suruhlah semua orang ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan” (Matius 14:15 BM). Sebaliknya, Dia mengarahkan murid-murid-Nya untuk memberikan mereka makanan, tetapi mereka mendakwa bahawa kuantiti makanan yang dimiliki adalah sangat sedikit—cuma lima ketul roti dan dua ekor ikan.
Orang ramai dibawa kepada Yesus, kemudian Dia memberkati persembahan makanan yang kecil itu. Dia memberikan 12 orang murid itu makanan untuk diedarkan. Kita membaca bahawa semua orang makan sehingga kenyang—mereka makan sebanyak yang diingini. Perkara yang paling besar ialah masih ada baki makanan. Kuantiti makanan yang kecil pada mulanya akhirnya menghasilkan baki makanan bagi murid-murid itu.
Berdasarkan Matius 14:21, 5,000 orang lelaki diberi makan. Namun, para sarjana mengatakan bahawa jumlah ini berkemungkinan besar tidak termasuk perempuan dan kanak-kanak. Oleh itu, berkemungkinan seramai 15,000 hingga 20,000 orang hadir pada ketika itu—mungkin lebih banyak orang lagi.
Pokoknya: Jadilah Pemberi
Dalam cerita ini, murid-murid itu jelasnya tidak dapat menghitung jumlah makanan dan bilangan orang—nyatanya tidak selaras. Salah satu fikiran yang paling mendalam antara sarjana ialah mukjizat penggandaan tidaklah berlaku sehingga murid-murid itu mula mengedarkan makanan. Mereka mungkin lebih selesa jika hidangan bufet diaturkan seupaya keraguan mereka dapat dihapuskan. Walau bagaimanapun, itu bukanlah rancangan Yesus. Dia mahu iman mereka untuk bertambah.
Sering kali inilah respons kita terhadap pemberian kita. Kita melihat status kewangan kita dan berfikir, “Saya tidak mampu memberi.” Jadi, kita menunggu sehingga kita memiliki cukup banyak, dan tidak lama kemudian, kita mendapati kita tidak memberi atau tidak mendatangkan perbezaan dalam gereja kita, komuniti kita, ataupun dalam kehidupan orang lain.
Kita semua memiliki sesuatu untuk menghasilkan perbezaan. Anak lelaki kecil yang hanya memiliki lima ketul roti dan dua ekor ikan itu memberikan apa yang dimilikinya dan lihatlah apa yang dilakukan oleh Yesus dengan persembahannya. Moga-moga kita membawa apa yang kita miliki kepada Yesus, dan mempercayai-Nya untuk menggandakannya demi tujuan-Nya. Janganlah menunggu sehingga kita rasa kita memiliki cukup banyak.
Kitab
Perihal Pelan

Ketika Yesus berada di bumi, Dia melakukan lebih banyak mukzijat daripada yang diketahui kita. Dia menyembuhkan orang yang sakit, membangkitkan orang yang telah mati dan melakukan perkara luar biasa yang mengagumkan pemerhatinya. Dalam Pelan ini, kita akan meneliti lima mukzijat yang telah dilakukan oleh Yesus dan kebenaran yang dikutip daripadanya, yang dapat diterapkan dalam hidup kita.
More