Mukjizat YesusSampel

The Miracles of Jesus

HARI 3 DARIPADA 5

Peneduhan Ribut

Setakat ini dalam Matius 8, Yesus telah menyembuhkan banyak orang dan berfirman tentang kos mengikut-Nya. Dalam ayat 23, kita membaca bahawa Yesus menaiki sebuah perahu dengan murid-murid-Nya lalu menyeberangi tasik itu. Tiba-tiba, ribut membadai dan ombak mengganas sehingga memenuhi perahu. 

Ribut yang berlaku secara tiba-tiba merupakan perkara yang biasa di Laut Galilea, maka agak menghairankan bahawa murid-murid-Nya menjadi takut kerana kebanyakan daripada mereka ialah nelayan yang berpengalaman. Namun, Yesus tetap tenang sahaja ketika mereka panik. Di tengah-tengah keadaan yang hura-hara, Yesus sedang tidur. Maka, murid-murid-Nya membangunkan Dia, memohon agar Dia menyelamatkan mereka daripada kematian. Respons Yesus terhadap mereka membuat kita percaya bahawa Dia hairan tentang reaksi mereka. Inilah yang tercatat dalam Matius 8:26 AVB:

Yesus menjawab, “Mengapakah kamu takut? Begitu tipis kepercayaanmu kepada-Ku!” Dia pun bangun menegur angin dan ombak itu. Serta-merta semuanya tenang sekali.

Murid-murid-Nya betul-betul kagum akan hal ini. Mereka tidak percaya apa yang telah disaksikan itu. Lelaki yang diikuti oleh mereka telah menengking angin dan ombak. 

Pokoknya: Yesus Menyertai Kita
Kita dibanjiri kerana ribut diri kita setiap hari. Ada yang serius—seperti pandemik dan peperangan—sementara yang lain pula lebih peribadi dan mempengaruhi kerjaya, kesihatan, dan hubungan kita. Memanglah biasa untuk berharap agar ribut itu dihapuskan daripada hidup kita. Walau bagaimanapun, kadang-kadang itu tidak berlaku. Ada kalanya, kita perlu mempercayai Tuhan untuk menenangkan kita di tengah-tengah ribut yang mengganas di sekeliling kita. 

Sesungguhnya senang untuk mengatakan ini daripada melaksanakannya: Sebenarnya, kita tidak perlu takut, kerana Yesus sentiasa menyertai kita. Dikatakan bahawa ketika kita rasa takut, kita memang berjalan dengan beriman tetapi dalam arah yang salah. Usaha diperlukan untuk mengerjakan iman kita secara aktif dalam arah yang betul. Berita baiknya ialah kita hanya memerlukan iman yang kecil untuk menggunakan kuasa Tuhan yang besar. 

Dalam hidup, kita menghadapi pelbagai perkara berbeza yang menakutkan kita. Meskipun waktu kita tidak merasa kehadiran-Nya, Dia tetap menyertai kita. Walaupun kita tidak melihat tangan-Nya, Dia masih membimbing kita. Meskipun kita tidak memahami rancangan-Nya, Dia masih memiliki rancangan. Maka, marilah kita berharap pada kebenaran bahawa Yesus sentiasa menyertai kita.

Perihal Pelan

The Miracles of Jesus

Ketika Yesus berada di bumi, Dia melakukan lebih banyak mukzijat daripada yang diketahui kita. Dia menyembuhkan orang yang sakit, membangkitkan orang yang telah mati dan melakukan perkara luar biasa yang mengagumkan pemerhatinya. Dalam Pelan ini, kita akan meneliti lima mukzijat yang telah dilakukan oleh Yesus dan kebenaran yang dikutip daripadanya, yang dapat diterapkan dalam hidup kita.

More

Pelan Alkitab original ini dihasilkan dan disediakan oleh YouVersion.