Mukjizat YesusSampel

The Miracles of Jesus

HARI 2 DARIPADA 5

Hasil Tangkapan Ikan Yang Banyak

Yesus menghabiskan banyak masa untuk mengajar dan berkhutbah. Pada suatu hari, Dia berkhutbah di tepi Tasik Galilea. Seperti biasa, terdapat ramai orang yang mendengar-Nya. Mungkin disebabkan keadaan terlalu sesak, ataupun satu cara baru untuk menarik perhatian pendengar-Nya, Yesus membuat keputusan untuk menaiki sebuah perahu yang kosong untuk meneruskan khutbah-Nya. 

Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon agar mendayung perahu ke tempat yang dalam. Dia menyuruh Simon, “...tebarkanlah jala untuk menangkap ikan” (Lukas 5:4). Simon berasa ragu-ragu kerana mereka telah berusaha sepanjang malam tanpa menangkap apa-apa pun. Dia mengetahui bahawa sekiranya tidak ada tangkapan ikan pada waktu malam, berkemungkinan besar juga tidak dapat menangkap apa-apa pada waktu siang. Walau bagaimanapun, dengan perasaan enggan Simon akhirnya bersetuju dan menebarkan jala sekali lagi. 

Dalam masa yang singkat, jala mereka dipenuhi dengan ikan sehinggakan jala itu hampir koyak! Mereka meminta bantuan rakan mereka daripada perahu yang lain. Sekejap sahaja, kedua-dua buah perahu itu dipenuhi dengan tangkapan ikan yang berat dan perahu mula tenggelam.

Mukjizat ini menyebabkan Simon Petrus berlutut di hadapan Yesus. Dia memohon ampun kerana dosanya sambil berasa kagum dengan jumlah tangkapan ikan mereka. Memang patut pun! Dia merupakan nelayan dan dia tidak pernah melihat kejadian seperti ini. Yesus berkata kepada Simon Petrus dan rakan-rakannya, Yakobus dan Yohanes, bahawa zaman penjalaan mereka akan berubah—mereka akan menjala orang! Pada waktu itu, mereka meninggalkan segala sesuatu lalu mengikut Yesus.

Pokoknya: Keraguan Tidak Mendefinisikan Kita
Keraguan bukanlah sesuatu yang kita cipta dalam hidup kita. Contoh yang baik—murid-murid Yesus. Kita tahu bahawa mereka ragu-ragu. Petrus dan Tomas pastinya ragu-ragu. Namun, Tuhan tidak berdendam terhadap mereka dan terus menggunakan mereka untuk mengubah dunia. 

Sesungguhnya mencabar untuk mempercayai Tuhan apabila kita tidak dapat melihat-Nya secara fizikal. Kita melihat kerja-Nya dalam hidup orang lain dan membaca tentang mukjizat yang dilakukan oleh Dia, tetapi kita bergelut untuk mengumpulkan iman yang mencukupi untuk mempercayai dan mengatasi emosi kita. Oleh itu, kita ragu-ragu, dan apabila kita berasa ragu-ragu, kita rasa bersalah kerana kita ragu-ragu dan tertanya-tanya jika Tuhan hampa kerana kekurangan iman kita itu. 

Inilah berita baik tentang keraguan kita—keraguan tidak mendefinisikan hidup kita. Maksudnya, kita boleh meragui Tuhan berkali-kali, kemudian mula menjalankan hidup dengan mempercayai-Nya sepenuhnya. Meskipun kita pernah ragu-ragu pada masa lalu tidak bermakna kita akan selalu berasa ragu-ragu pada masa akan datang. Kita mungkin bergelut dengan kegagalan kita, tetapi yakinlah, Tuhan tidak bergelut. DIa amat mengasihi kita dan terus memanggil kita untuk mempercayai-Nya.

Perihal Pelan

The Miracles of Jesus

Ketika Yesus berada di bumi, Dia melakukan lebih banyak mukzijat daripada yang diketahui kita. Dia menyembuhkan orang yang sakit, membangkitkan orang yang telah mati dan melakukan perkara luar biasa yang mengagumkan pemerhatinya. Dalam Pelan ini, kita akan meneliti lima mukzijat yang telah dilakukan oleh Yesus dan kebenaran yang dikutip daripadanya, yang dapat diterapkan dalam hidup kita.

More

Pelan Alkitab original ini dihasilkan dan disediakan oleh YouVersion.