Alkitab: DijelaskanSampel

The Bible: Explained

HARI 6 DARIPADA 7

Apakah Tujuan Alkitab?

Marilah kita berterus terang tentang sesuatu. Memanglah mudah untuk membuat Alkitab mengatakan apa yang kita mahu dengar berbanding apa yang sebenarnya dikatakan. Itulah sebabnya terdapat banyak perdebatan hangat di media sosial yang menggabungkan ayat-ayat yang tidak semestinya membantu orang lain atau memuliakan Tuhan. 

Begini: Alkitab bukan untuk digunakan sebagai senjata atau untuk memenangi pertengkaran. Ia bertujuan mendorong, membetul, dan mengubah kita, dan membantu kita menjadi lebih menyerupai Tuhan. 

Sesungguhnya penting untuk menggunakan Alkitab dengan betul. Kita harus menggunakan ayat-ayat dalam konteks yang betul. Kita mesti memastikan kita menggunakan kebenaran Alkitab dengan penuh kasih kurnia. 

Jangan memilih ayat tertentu untuk membuat hujah atau membuli orang lain atau untuk mewajarkan keinginan anda. Sebenarnya, mengambil ayat-ayat di luar konteks merupakan satu cara kita melihat Iblis cuba menggoda Yesus. 

Sebelum permulaan pelayanan Yesus, kita melihat Dia berpuasa selama 40 hari di padang gurun. Dalam tempoh ini, Yesus sedang membuat persiapan dalaman sebelum Dia mengajar orang lain. Dia mengisi dirinya dengan Firman Tuhan dan menyiapkan diri untuk menghadapi tentangan melalui doa. 

Selepas tempoh 40 hari ini, Iblis mencubai Yesus tiga kali. Pada satu masa, dia memberitahu Yesus untuk mencampakkan diri-Nya dari tebing kerana malaikat akan menyelamatkan-Nya. Dia sebenarnya memetik Mazmur 91. Inilah respons Yesus:

Yesus menjawab, “Tetapi di dalam Alkitab tertulis juga, 'Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’” Matius 4:7 BM

Mengambil ayat Alkitab di luar konteks adalah taktik tidak sihat yang tidak patut diulang. Oleh itu, jangan gunakan Firman Tuhan sebagai cara untuk memperdaya orang lain demi memperoleh apa yang anda ingini. 

Kebijaksanaan dari segi ini terbina dengan latihan dan doa, maka jangan panik. Yesus dapat melihat di balik rancangan Iblis kerana Dia mengenal Firman Tuhan dan Dia mengenal Bapa-Nya. Kebijaksanaan memerlukan kesabaran. Ia memakan masa. Walau bagaimanapun, apabila anda meluangkan masa secara konsisten dengan Tuhan dengan membaca Firman-Nya dan bercakap dengan-Nya melalui doa, Roh Kudus akan setia membantu anda menyedari bahawa sesuatu itu tidak memuliakan Tuhan. 

Ingatlah—jangan menggunakan Firman Tuhan sebagai senjata terhadap orang lain. Gunakanlah Firman Tuhan sebagai cara untuk berperang dalam pertempuran rohani kita dengan musuh kita. Tuhan akan membantu anda mengetahui perbezaannya apabila anda terus mencari-Nya. 

Doa: Tuhan, ujilah motif saya. Dedahkan apa-apa dalam diri saya yang bukan daripada Engkau. Bantulah saya mentafsirkan Firman Tuhan dengan cara dan niat yang betul. Hapuskan agenda saya dan gantikannya dengan kebaikan-Mu. Berikan saya kebijaksanaan untuk mengetahui perkara yang datang daripada-Mu dan perkara yang datang daripada musuh. Bantulah saya untuk menggunakan Firman Tuhan sebagai senjata melawan musuh rohani saya tetapi bukan senjata terhadap orang lain. Terima kasih atas kuasa Firman-Mu dan kehadiran Roh Kudus.  

Perihal Pelan

The Bible: Explained

Alkitab merupakan salah satu buku yang paling berpengaruh sepanjang masa, tetapi kita boleh merasa bingung untuk memahaminya dan apa yang harus dilakukan dengannya. Kajian Alkitab selama 7 hari ini akan membantu anda menguraikan apa itu Alkitab, mengapa Alkitab itu penting, dan bagaimana anda dapat memahaminya hari ini. Kita juga akan mengetahui bagaimana menerapkan Firman Tuhan dalam dunia-Nya.

More

Pelan ini dicipta dengan kerjasama Life.Church dan illumiNations untuk kempen Share Light. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.life.church dan www.sharelight2033.com.