Alkitab: DijelaskanSampel

The Bible: Explained

HARI 5 DARIPADA 7

Bagaimana saya memahami Alkitab?

Kita telah membincangkan banyak tentang apa itu Alkitab, tetapi bagaimana anda memahaminya secara praktikal hari ini? 

Mungkin anda pernah cuba membacanya dan mendapati diri bingung, keliru, atau kurang pasti bagaimana mentafsirkan Firman Tuhan. Mungkin anda tidak tahu bagaimana atau di mana untuk memulakannya. Tidak apa! 

Pertama, ketahuilah bahawa tiada cara yang betul atau salah untuk mula membaca Firman Tuhan. Dia berbicara dengan setiap orang secara berbeza. Kita bebas untuk mencuba kaedah membaca Alkitab; mungkin anda memerlukan masa yang lebih lama untuk mencari cara yang berkesan untuk anda. Yang berikut ialah beberapa petua untuk membantu anda memulakan pembacaan Firman Tuhan. 

  1. Menggabungkan doa. Waktu kita dengan Tuhan bukanlah satu hala. Tuhan ialah Tuhan yang berbicara kepada kita secara peribadi apabila kita mendengar-Nya. Tuahn selalu menggunakan Firman-Nya untuk memberikan arahan, menjawab soalan, atau membantu kita memahami-Nya. Oleh itu, ajaklah Tuhan untuk menyertai saat teduh anda. Ia tidak perlu rumit. Pertimbangkan untuk berdoa sebelum anda memulakan dan meminta pertolongan apabila anda menghadapi kesukaran. Anda boleh berdoa seperti ini, “Tuhan, tunjukkan sesuatu yang baru kepada saya hari ini.” Ataupun “Tuhan, bolehkah Engkau membantu saya memahami bahagian ini?” Bahkan, “Tuhan, bagaimana saya menerapkan apa yang saya pelajari dalam kehidupan saya hari ini?” 
  2. Ketahui tujuannya. Tuhan akan menunjukkan sesuatu kepada kita melalui Roh Kudus, tetapi anda mungkin tidak akan menerima wahyu besar setiap kali anda membaca Alkitab. Tidak apa! Ia tidak bermakna anda sedang melakukannya dengan salah. Tujuan membaca Alkitab bukan untuk menandakan sesuatu tugas dalam senarai, membuat Tuhan mengasihi anda, menjadi seorang Kristian yang baik, ataupun untuk menjawab setiap persoalan dalam hidup anda. Tujuan membaca Alkitab ialah mengenali Tuhan. Oleh itu, jangan meletakkan terlalu banyak jangkaan pada masa anda. Anggaplah masa ini ialah cara untuk lebih mengenali Tuhan hari ini berbanding semalam. 
  3. Mengamalkannya. Tuhan tidak hanya mahu kita membaca Firman-Nya tetapi juga untuk mengamalkannya dalam dunia-Nya. Oleh itu, jangan membaca Alkitab sahaja—perhatikan bagaimana anda boleh menerapkannya dalam hidup anda sedikit demi sedikit setiap hari! Biarkan kebenaran, kasih kurnia, dan kasih yang dinyatakan dalam Firman-Nya mengubah fikiran anda, yang akan mengubah kata-kata, tindakan, dan hubungan anda seterusnya.
  4. Bincang Firman Tuhan dengan orang lain. Tuhan berbicara kepada kita melalui Firman-Nya tetapi juga melalui umat-Nya. Oleh itu, apabila kita bercakap dengan umat-Nya tentang Firman-Nya, kita mungkin menemui sesuatu yang tidak akan ditemui sendiri. Gereja sentiasa mengutamakan pembacaan Alkitab bersama-sama. Justeru, marilah kita ikuti contoh gereja awal dan berbincang tentang Alkitab dengan orang lain. Jika anda mempunyai soalan, tanya! Apakah inti patinya? Jangan merasa anda perlu menyelesaikan segala-galanya seorang diri. 
  5. Membaca menurut konteksnya. Kita akan bincangkan dengan lebih lanjut esok, tetapi sebelum anda mengambil satu ayat dan menjadikannya moto hidup anda—pastikan anda memahaminya dalam konteks yang diceritakan itu. Kadang kala, sesuatu ayat itu merupakan pengajaran—bukan untuk dilaksanakan—anda harus berhati-hati supaya tidak membuat Firman Tuhan mengatakan apa yang anda mahu, sebaliknya mengatakan apa yang betul-betul dimaksudkan.
  6. Jangan menangani semuanya sekaligus. Jangan rasa anda perlu membaca seluruh Alkitab sekaligus. Anda boleh mula dengan kecil-kecilan! Cubalah melakukan lebih banyak Pelan Alkitab seperti ini untuk membawa anda kepada Firman Tuhan. Mulakan dengan satu kitab Alkitab yang lebih pendek, atau satu bab setiap hari. Lebih baik membaca petikan Alkitab yang pendek dan menghayatinya daripada membaca sebahagian besar yang anda lupakan dengan segera atau tidak melakukan apa-apa dengannya.

Itu hanya beberapa idea untuk membantu anda bermula, tetapi campurkan idea dan nikmati prosesnya! Anda boleh cuba menghafalnya, menuliskan jurnal, membuat imej ayat, mendengarnya, dan banyak lagi. Terdapat banyak cara yang baik untuk memahami Firman Tuhan, jadi mohonlah kebijaksanaan daripada Tuhan, minta bantuan orang lain jika perlu, dan bersabarlah dengan prosesnya.  

Doa: Tuhan, terima kasih kerana Engkau memberi kami Firman-Mu untuk membantu kami tahu bagaimana untuk menjalankan hidup. Bantulah saya untuk memahaminya dengan lebih mendalam hari ini. Tunjukkan kepada saya bagaimana membacanya dan bagaimana mengamalkannya. Berbicara kepada saya melalui Firman-Mu hari ini, dan tunjukkan kepada saya bagaimana untuk mengerjakannya supaya saya menjadi lebih menyerupai Engkau. 

Perihal Pelan

The Bible: Explained

Alkitab merupakan salah satu buku yang paling berpengaruh sepanjang masa, tetapi kita boleh merasa bingung untuk memahaminya dan apa yang harus dilakukan dengannya. Kajian Alkitab selama 7 hari ini akan membantu anda menguraikan apa itu Alkitab, mengapa Alkitab itu penting, dan bagaimana anda dapat memahaminya hari ini. Kita juga akan mengetahui bagaimana menerapkan Firman Tuhan dalam dunia-Nya.

More

Pelan ini dicipta dengan kerjasama Life.Church dan illumiNations untuk kempen Share Light. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.life.church dan www.sharelight2033.com.