Alkitab: DijelaskanSampel

The Bible: Explained

HARI 3 DARIPADA 7

Bagaimana Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru berkaitan antara satu sama lain? 

Anda mungkin masih mempunyai banyak soalan mengenai Alkitab, dan itu tidak apa! Mungkin anda telah mencuba membaca Alkitab dari awal hingga akhir, tetapi berhenti sebelum Imamat kerana ia mula menjadi pelik. Atau anda mendengar banyak orang berdebat di Facebook menggunakan ayat-ayat dalam Alkitab yang membuat anda bingung dan tidak pasti sama ada Alkitab itu kukuh dan boleh dipercayai. 

Alkitab merupakan satu cerita tentang Tuhan yang menghala kepada Yesus. Fikirkan tentang cerita-Nya seperti menonton sebuah filem. Jika anda tidak tahu bagaimana cerita itu berakhir dan seseorang hanya bercakap tentang satu adegan di tengah, anda mungkin rasa bingung atau tidak tenteram. Begitu juga, itulah yang boleh berlaku apabila kita hanya mengambil sebahagian daripada Alkitab dan cuba memahami keseluruhan plot Alkitab. 

Banyak orang mempunyai persepsi bahawa Tuhan pemarah dan kejam dalam Perjanjian Lama, dan mengalami perubahan yang mendadak dalam Perjanjian Baru. Bukan begitu. Sifat Tuhan tidak pernah berubah. Kita akan bincangkan hal ini.

Pada dasarnya, perjanjian ialah persetujuan sah—seperti perkahwinan. Apa kaitannya dengan kita? 

Jika kita kembali kepada permulaannya, kita melihat Allah mencipta dunia dan lelaki dan perempuan yang pertama. Dia mencipta mereka untuk menjadi rakan-Nya dalam pemerintahan dunia, tetapi Adam dan Hawa membuat kesalahan dan melakukan dosa yang pertama. 

Allah itu kudus, jadi Dia tidak boleh dikaitkan dengan dosa. Namun, Dia sentiasa ingin menyelamatkan kita dan mendekati kita. Dalam bahagian Perjanjian Lama yang kemudian, kita melihat Tuhan berjanji kepada seorang lelaki bernama Abraham bahawa dia akan mempunyai keturunan yang banyak—salah seorang daripadanya akan menjadi Penyelamat dunia (Yesus). 

Abraham dan keturunannya masih terperangkap dalam dosa, dan mereka ialah sebahagian daripada umat pilihan Tuhan—Israel. Orang Israel sepatutnya kudus—terasing—untuk berkongsi kemuliaan Tuhan dengan seluruh dunia. Walau bagaimanapun, mereka terus berdosa dan menjadi seperti dunia di sekeliling mereka—tidak jauh berbeza dengan godaan yang kita alami sekarang ini. 

Oleh itu, Tuhan membuat perjanjian dengan Israel. Perjanjian tersebut mengatakan jika mereka mematuhi Taurat, yang terdiri daripada lebih daripada 600 hukum, Dia akan setia melindungi mereka, memelihara mereka, dan menyelamatkan dunia melalui mereka. Sudah tentu mereka tidak dapat mematuhi semua hukum tersebut. Namun, Tuhan itu berbelas kasihan dan selalu membuka jalan bagi kita untuk mendekati-Nya. 

Apabila umat melakukan kesalahan, Imam Besar akan mengorbankan binatang bagi pihak mereka, dan darah binatang itu akan menjadikan mereka benar di hadapan Tuhan. Ini memang aneh, tetapi ingatlah, Alkitab ditulis dalam konteks yang berbeza daripada konteks kita. Hukum ini membawa pembaharuan pada zaman mereka dan masih mempengaruhi banyak hukum yang kita miliki hari ini. 

Pada zaman Perjanjian Baru, Tuhan memenuhi perjanjian-Nya dengan Israel dengan mengutus Yesus untuk mati bagi kita di kayu salib. Itu bukanlah kesudahan cerita. Tiga hari kemudian, Tuhan membangkitkan Yesus daripada kematian supaya sesiapa sahaja boleh memilih untuk berhubungan dengan Tuhan. Yesus menjadi Imam Besar kita yang baru, memenuhi perjanjian Perjanjian Lama, dan mewujudkan perjanjian baru untuk saling mengasihi seperti mana Dia mengasihi kita. 

Ini tidak bermaksud hukum lebih mudah untuk diikuti; ia hanya kurang rumit. Tuhan sentiasa penyayang, dan dari mula-mula lagi Dia telah merancang untuk membawa kita untuk berhubung dengan-Nya. Kita akan terus menerokai konsep ini untuk beberapa hari yang akan datang, tetapi ketahuilah bahawa Yesus adalah sama semalam, hari ini, dan selama-lamanya—janji itu seharusnya membuat kita menyembah-Nya.  

Perihal Pelan

The Bible: Explained

Alkitab merupakan salah satu buku yang paling berpengaruh sepanjang masa, tetapi kita boleh merasa bingung untuk memahaminya dan apa yang harus dilakukan dengannya. Kajian Alkitab selama 7 hari ini akan membantu anda menguraikan apa itu Alkitab, mengapa Alkitab itu penting, dan bagaimana anda dapat memahaminya hari ini. Kita juga akan mengetahui bagaimana menerapkan Firman Tuhan dalam dunia-Nya.

More

Pelan ini dicipta dengan kerjasama Life.Church dan illumiNations untuk kempen Share Light. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.life.church dan www.sharelight2033.com.