Menyiapkan Hati Kita untuk Paskah: Renungan Pra-PaskahSampel

Preparing Our Hearts for Easter: A Lenten Devotional

HARI 34 DARIPADA 40

"Hari 34: Ramalan"

Yohanes menumpukan sebahagian besar Injilnya kepada enam hari terakhir kehidupan Yesus. Dalam Yohanes 12, Yesus meramalkan "cara Dia akan mati" — cara yang akan melonggarkan pegangan Iblis pada dunia, membangkitkan Yesus dalam kemenangan daripada kedahsyatan penyaliban dan kubur, dan menarik orang daripada seluruh dunia kepada-Nya (ay. 32). Namun, di sini, Dia juga mengulang templat serius-Nya kepada semua orang yang akan mengikuti-Nya dan dikenali sebagai murid-murid-Nya.

Sejak awal pelayanan-Nya dalam Yohanes, Yesus secara tidak langsung menyentuh "masa-Nya" — masa yang telah ditetapkan di mana Dia akan menderita dan mati demi dosa dunia. Walau bagaimanapun, melalui penghinaan ini, Yesus juga, hairannya, memancarkan "kemuliaan" Allah kepada manusia. Allah bukan sahaja "memuliakan nama-Nya" melalui pelayanan Kristus di bumi malah melalui kematian-Nya juga. Yohanes membayangkan kenyataan ini pada awalnya dengan kesimpulan "kita telah melihat kemuliaan-Nya … penuh kasih karunia dan kebenaran" (1:14).

Juga menarik adalah Yesus yang kita temui di sini, berterus-terang mengakui "Hati-Ku gelisah" (ay. 27) apabila Dia merasa penderitaan yang bakal dialami-Nya. Ia adalah gambaran yang menakjubkan tentang seseorang yang berserah sepenuhnya kepada Allah semasa berhadapan dengan kesakitan yang tidak terkatakan, mengetahui bahawa akhirnya kemuliaan Allah adalah satu-satunya hal yang penting. Ini menjadi suatu pengajaran kepada murid-murid-Nya juga.

Benih adalah benda hidup yang mesti mati untuk tumbuh; ia mengandungi janji hidup masa depan. Pada zahirnya, kematian Kristus kelihatan seperti satu kecelakaan kepada dunia ini, tetapi akibat "ditanam di tanah" (ay. 24), Dia berupaya membangunkan pengikut dan membawa "banyak orang ikut menikmati kemuliaan" (Ibrani 2:10). Akan tetapi, mengikuti Kristus menuntut sesuatu: ramai murid asal mengalami kematian yang tidak tertanggung, menyebabkan Tertullian untuk menyimpulkan bahawa "darah syahid adalah benih gereja." Murid-murid Kristus mestilah sentiasa "mati" terhadap diri demi menemui "harapan yang kukuh" (1 Petrus 1:3-5) dalam Kristus. Pemerhatian Dietrich Bonhoeffer tentang pemuridan adalah benar: "ketika Kristus memanggil seseorang, Dia menyuruhnya untuk datang dan mati."

Doa

Tuhan yang telah bangkit, Engkau amat mengasihi kami sehingga Engkau mati demi menyelamatkan kami daripada dosa. Kami berdoa supaya kenyataan ini memberikan kami kerendahan hati, membawa kami untuk sentiasa memuji-Mu, dan memberikan kami keberanian untuk berserah sepenuhnya kepada kehendak penyayang-Mu. Dalam belas kasihan-Mu capailah semua ini, kerana kami mendoakannya dalam nama-Mu. Amin.

Hak cipta (c) 2012 oleh Redeemer Presbyterian Church.

Perihal Pelan

Preparing Our Hearts for Easter: A Lenten Devotional

Apakah itu pra-Paskah? Ia adalah masa di mana kita menjangkakan kemenangan terang dan hidup Kristus ke atas kegelapan dosa dan kematian. Semasa kita beralih daripada Rabu Abu ke Paskah, kita diingatkan oleh realiti kelemahan kita dan kasih karunia penebusan Allah.

More

Renungan ini direka bentuk oleh kakitangan Redeemer Presbyterian Church dan disiarkan pada asalnya dalam www.redeemer.com pada tahun 2012. Digunakan dengan kebenaran.