YouVersion Logo
Search Icon

YAKOBUS 3:1-12

YAKOBUS 3:1-12 BM

Saudara-saudaraku! Sepatutnya beberapa orang sahaja antara kamu berusaha untuk menjadi guru. Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain. Kita semua sering membuat kesalahan. Jika seseorang tidak pernah membuat kesalahan dengan kata-katanya, dia orang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya. Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menuruti kehendak kita. Dengan kekang kita dapat mengendalikan kuda. Demikian juga halnya dengan kapal, meskipun besar dan digerakkan oleh angin yang sangat kencang, namun kapal dikendalikan oleh kemudi yang sangat kecil. Kapal bergerak ke arah yang dikehendaki jurumudi. Demikian juga dengan lidah kita, meskipun kecil, tetapi dapat menyombongkan perkara-perkara yang besar. Bayangkan betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang sangat kecil! Lidah seperti api. Pada diri kita, lidah seperti dunia yang dikuasai kejahatan, dan menyebarkan kejahatan ke seluruh diri kita. Lidah menghanguskan seluruh hidup kita dengan api yang berasal dari neraka. Manusia dapat menjinakkan dan memang sudah menjinakkan semua makhluk lain - binatang buas, burung, binatang menjalar, dan ikan. Tetapi tidak seorang pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat dan tidak dapat dikuasai, serta penuh dengan racun yang mematikan. Kita menggunakan lidah untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia, yang sudah diciptakan menurut rupa Allah. Ucapan syukur dan kata-kata kutukan keluar dari mulut yang sama. Saudara-saudaraku, perkara ini tidak seharusnya berlaku! Tidak ada mata air yang mengeluarkan air tawar dan air pahit dari sumber yang sama. Saudara-saudaraku, pokok ara tidak dapat menghasilkan buah zaitun, dan pokok anggur tidak dapat menghasilkan buah ara. Mata air yang masin, juga tidak dapat mengeluarkan air tawar.

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy