YouVersion Logo
Search Icon

YAKOBUS 3

3
Lidah Manusia
1Saudara-saudaraku! Sepatutnya beberapa orang sahaja antara kamu berusaha untuk menjadi guru. Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain. 2Kita semua sering membuat kesalahan. Jika seseorang tidak pernah membuat kesalahan dengan kata-katanya, dia orang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya. 3Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menuruti kehendak kita. Dengan kekang kita dapat mengendalikan kuda. 4Demikian juga halnya dengan kapal, meskipun besar dan digerakkan oleh angin yang sangat kencang, namun kapal dikendalikan oleh kemudi yang sangat kecil. Kapal bergerak ke arah yang dikehendaki jurumudi. 5Demikian juga dengan lidah kita, meskipun kecil, tetapi dapat menyombongkan perkara-perkara yang besar.
Bayangkan betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang sangat kecil! 6Lidah seperti api. Pada diri kita, lidah seperti dunia yang dikuasai kejahatan, dan menyebarkan kejahatan ke seluruh diri kita. Lidah menghanguskan seluruh hidup kita dengan api yang berasal dari neraka. 7Manusia dapat menjinakkan dan memang sudah menjinakkan semua makhluk lain - binatang buas, burung, binatang menjalar, dan ikan. 8Tetapi tidak seorang pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat dan tidak dapat dikuasai, serta penuh dengan racun yang mematikan. 9 Kita menggunakan lidah untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia, yang sudah diciptakan menurut rupa Allah. 10Ucapan syukur dan kata-kata kutukan keluar dari mulut yang sama. Saudara-saudaraku, perkara ini tidak seharusnya berlaku! 11Tidak ada mata air yang mengeluarkan air tawar dan air pahit dari sumber yang sama. 12Saudara-saudaraku, pokok ara tidak dapat menghasilkan buah zaitun, dan pokok anggur tidak dapat menghasilkan buah ara. Mata air yang masin, juga tidak dapat mengeluarkan air tawar.
Kebijaksanaan yang Datang dari Syurga
13Adakah antara kamu seorang yang bijak dan pandai? Dia harus membuktikannya dengan kelakuannya yang baik, dan melalui kebajikan yang diamalkannya dengan kerendahan hati dan kebijaksanaan. 14Tetapi jika kamu sangat iri hati dan mementingkan diri sendiri, janganlah berdosa terhadap berita benar daripada Allah, dengan bercakap besar tentang kebijaksanaan kamu. 15Kebijaksanaan semacam itu tidak datang dari syurga, tetapi berasal dari dunia, daripada tabiat manusia yang berdosa dan daripada roh jahat! 16Apabila orang iri hati dan mementingkan diri sendiri, maka akan berlakulah kekacauan dan segala macam kejahatan. 17Tetapi orang yang mempunyai kebijaksanaan yang datang dari syurga, pertama sekali murni, suka akan kedamaian, lemah lembut, dan ramah tamah. Mereka berbelas kasihan dan mengamalkan segala macam perbuatan baik. Mereka tidak berat sebelah ataupun munafik. 18Kebaikan adalah hasil daripada benih kedamaian yang ditanam oleh orang yang suka akan kedamaian.

Currently Selected:

YAKOBUS 3: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy