YouVersion Logo
Search Icon

KISAH RASUL-RASUL 23:1-11

KISAH RASUL-RASUL 23:1-11 BM

Paulus menatap anggota-anggota Majlis Agama lalu berkata, “Saudara-saudara! Sehingga hari ini, hati nurani saya tidak menyalahkan saya tentang kehidupan saya di sisi Allah.” Imam Agung Ananias menyuruh orang yang berdiri dekat Paulus menampar mulut Paulus. Paulus berkata kepadanya, “Allah pasti akan menampar tuan, yang seperti tembok berkapur putih. Tuan duduk di situ menghakimi saya menurut Taurat, tetapi tuan sendiri melanggar Taurat apabila menyuruh orang menampar saya!” Beberapa orang yang di sebelah Paulus berkata kepadanya, “Kamu menghina Imam Agung Allah!” Paulus menjawab, “Saudara-saudara, saya tidak tahu bahawa dia Imam Agung. Memang di dalam Alkitab ada tertulis, ‘Janganlah hina pemimpin bangsa kamu.’ ” Paulus melihat bahawa sebahagian daripada Majlis Agama itu terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara, saya orang Farisi, bapa saya pun orang Farisi. Saya diadili di sini kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.” Sebaik sahaja Paulus berkata demikian, orang Farisi dan orang Saduki mula bertengkar, lalu perhimpunan itu berpecah menjadi dua kelompok. ( Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan kebangkitan orang mati, dan tidak percaya akan adanya malaikat atau roh. Tetapi orang Farisi percaya akan ketiga-tiganya.) Lalu berlakulah pertengkaran yang sengit. Beberapa orang Farisi yang menjadi guru Taurat berdiri dan membantah dengan keras, “Orang ini tidak bersalah sedikit pun! Barangkali memang ada roh atau malaikat yang berkata-kata kepadanya!” Pertengkaran itu menjadi begitu sengit sehingga komandan itu takut kalau-kalau Paulus akan diserbu oleh mereka. Dia menyuruh askar-askarnya mengambil Paulus dari tengah-tengah mereka dan membawa dia ke kubu. Pada malam itu, Tuhan berdiri di sisi Paulus dan berkata, “Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang Aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.”

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy