KISAH RASUL-RASUL 23:1-11

KISAH RASUL-RASUL 23:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Paulus menatap anggota-anggota Majlis Agama lalu berkata, “Saudara-saudara! Sehingga hari ini, hati nurani saya tidak menyalahkan saya tentang kehidupan saya di sisi Allah.” Imam Agung Ananias menyuruh orang yang berdiri dekat Paulus menampar mulut Paulus. Paulus berkata kepadanya, “Allah pasti akan menampar tuan, yang seperti tembok berkapur putih. Tuan duduk di situ menghakimi saya menurut Taurat, tetapi tuan sendiri melanggar Taurat apabila menyuruh orang menampar saya!” Beberapa orang yang di sebelah Paulus berkata kepadanya, “Kamu menghina Imam Agung Allah!” Paulus menjawab, “Saudara-saudara, saya tidak tahu bahawa dia Imam Agung. Memang di dalam Alkitab ada tertulis, ‘Janganlah hina pemimpin bangsa kamu.’ ” Paulus melihat bahawa sebahagian daripada Majlis Agama itu terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara, saya orang Farisi, bapa saya pun orang Farisi. Saya diadili di sini kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.” Sebaik sahaja Paulus berkata demikian, orang Farisi dan orang Saduki mula bertengkar, lalu perhimpunan itu berpecah menjadi dua kelompok. ( Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan kebangkitan orang mati, dan tidak percaya akan adanya malaikat atau roh. Tetapi orang Farisi percaya akan ketiga-tiganya.) Lalu berlakulah pertengkaran yang sengit. Beberapa orang Farisi yang menjadi guru Taurat berdiri dan membantah dengan keras, “Orang ini tidak bersalah sedikit pun! Barangkali memang ada roh atau malaikat yang berkata-kata kepadanya!” Pertengkaran itu menjadi begitu sengit sehingga komandan itu takut kalau-kalau Paulus akan diserbu oleh mereka. Dia menyuruh askar-askarnya mengambil Paulus dari tengah-tengah mereka dan membawa dia ke kubu. Pada malam itu, Tuhan berdiri di sisi Paulus dan berkata, “Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang Aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.”

KISAH RASUL-RASUL 23:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka Paulus pun mŭngamat amatilah akan mŭjlis bichara itu sŭrta bŭrkata, Hie tuan tuan dan saudaraku skalian, dŭngan sŭbaik baik pŭrasaan hatiku aku tŭlah bŭrlaku dihadapan Allah sampielah pada masa ini. Akan tŭtapi Ananias imam yang bŭsar itu mŭnyurohkan orang yang bŭrdiri disisi Paulus itu mŭnampar mulotnya. Maka tŭtkala itu bŭrkatalah Paulus padanya, Ditampar Allah akan dikau, hie dinding yang bŭrlabor puteh; adakah angkau ini dudok supaya mŭnghukumkan aku dŭngan mŭnurot hukum tauret, tŭtapi angkau mŭnyurohkan orang mŭnampar aku mŭlawan hukum itu? Maka orang yang bŭrdiri dŭkat itu pun bŭrkatalah, Angkau makikah imam Allah yang bŭsar itu? Maka jawab Paulus, Tiada kukŭtahui hie saudaraku, bahwa iya ini imam yang bŭsar adanya, kŭrna ada tŭrsŭbut dalam kitab, Bahwa janganlah bŭrkata jahat akan pŭmŭrentah kaum bangsamu. Adapun apabila dikŭtahui ulih Paulus akan orang orang itu sŭtŭngahnya orang Sadukia, dan sŭtŭngahnya orang Farisia adanya, maka bŭrsrulah iya dalam mŭjlis itu, katanya, Hie tuan tuan skalian saudaraku, bahwa aku inilah sa’orang Farisia, anak sa’orang Farisia; adapun aku ini dida’wa deri sŭbab harap akan orang mati dibangkitkan. Maka sŭtlah sudah iya bŭrkata dŭmkian, jadilah suatu pŭrbantahan antara orang Farisia dan Sadukia, maka sagala marika itu pun tŭrbahgilah dua. Kŭrna sagala orang Sadukia mŭnidakkan akan hari kiamat, dan mŭliekat, dan Roh, akan tŭtapi orang Farisia mŭngaku kaduanya. Maka riohlah bŭsar swara, lalu bŭrdirilah khatib khatib yang disŭblah orang Farisia, sambil bŭrbantah bantah, katanya, Suatu pun tiada kami mŭndapat salahnya orang itu; maka jikalau kiranya Roh, atau mŭliekat sudah bŭrkata kata kapadanya, maka janganlah kita mŭlawan Allah. Adapun apabila jadilah pŭrbantahan bŭsar itu, maka pŭnghulu orang sa’ribu itu pun takotlah akan Paulus itu kalau kalau dikoyak koyak ulih marika itu akan dia; maka disurohlah lashkar turon mŭrŭbut akan dia deri tŭngah marika itu dibawanya kŭdalam kota. Maka pada malam yang datang adalah Tuhan halir kapadanya, sŭrta bŭrkata, Hie Paulus, pŭrtŭtapkanlah hatimu, bahwa spŭrti angkau tŭlah bŭrsaksi derihalku diJerusalem, dŭmkianlah juga handaknya angkau bŭrsaksi dinŭgri Rom pun.

KISAH RASUL-RASUL 23:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Paulus merenung perhimpunan itu lalu berkata, “Saudara-saudara, dengan hati nurani yang bersih aku telah melakukan segalanya di mata Allah sampai hari ini.” Ananias, imam besar, menyuruh orang yang berdiri di sisi Paulus menampar mulutnya. Paulus berkata kepadanya, “Allah akan menampar mulutmu nanti. Kamu seperti tembok yang dicat putih! Kamu sekarang duduk untuk mengadiliku menurut hukum tetapi kamu sendiri melanggar hukum itu dengan menyuruh orang menamparku!” Orang yang berdiri di sisi Paulus berkata, “Beranikah kamu mencela imam besar Allah?” Paulus menjawab, “Saudara-saudara, aku tidak tahu dia itu imam besar. Memang tersurat dalam Kitab Suci, ‘Jangan hinakan pemimpin bangsamu.’ ” Paulus mengetahui bahawa dalam perhimpunan itu separuhnya orang Saduki dan separuhnya orang Farisi. Dia pun berkata, “Saudara-saudara, aku ini orang Farisi dan anak orang Farisi. Aku didakwa kerana berharap kepada kebangkitan daripada kematian.” Dengan demikian orang Farisi dan orang Saduki mula berbahas. Seluruh perhimpunan berpecah kepada dua pihak. Orang Saduki mengatakan bahawa tiada kebangkitan daripada kematian, tiada malaikat dan tiada roh; tetapi orang Farisi percaya akan semuanya. Pertengkaran besar tercetus. Beberapa orang ahli Taurat daripada pihak orang Farisi bangkit dan menegaskan dengan penuh kesungguhan, “Kami dapati orang ini tidak bersalah langsung. Mungkin sekali roh atau malaikat telah bercakap dengannya.” Perkelahian menjadi begitu sengit sehingga ketua pasukan tentera itu takut kalau-kalau Paulus diserang. Dia menyuruh askar-askar segera mengambil Paulus dengan paksaan dari tengah-tengah orang itu dan membawanya ke dalam kubu. Pada malam berikut itu Tuhan berdiri di sisinya dan berkata, “Tabahkanlah hatimu; kerana sebagaimana kamu telah bersaksi tentang-Ku dengan sungguh-sungguh di Yerusalem ini, begitulah kamu akan bersaksi di Roma pula.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami