YouVersion Logo
Search Icon

MAZMUR 18

18
Lagu Kemenangan Daud
(2 Sam 22.1-51)
1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dinyanyikan kepada TUHAN pada waktu TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan daripada semua musuhnya.
2Aku sangat mengasihi Engkau, ya TUHAN!
Engkaulah pembelaku.
3TUHAN ialah pelindungku;
Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku.
Allahku tempat perlindunganku,
aku selamat bersama dengan Dia.
Dia melindungi aku seperti perisai;
Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat.
4Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji,
dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku.
5Bahaya maut mengelilingi aku,
banjir kebinasaan menggenangi aku.
6Bahaya maut mengelilingi aku,
dan kubur memasang perangkap untukku.
7Dalam kesusahan aku berseru kepada TUHAN;
aku berseru kepada Allahku minta pertolongan.
Di dalam Rumah-Nya Dia mendengar suaraku;
Dia memperhatikan seruanku.
8Kemudian bumi bergempa dan bergoncang;
tapak gunung bergoyang dan bergegar,
kerana Allah murka.
9Asap berhembus dari hidung-Nya,
api dan bara keluar dari mulut-Nya.
10Dia membelah langit lalu turun
dengan awan gelap di bawah kaki-Nya.
11Dia terbang laju dengan mengenderai kerub;
Dia melayang di atas sayap angin.
12Dia menutup diri-Nya dengan kegelapan;
awan mendung yang tebal mengelilingi Dia.
13Hujan batu dan api datang dari kilat yang di hadapan-Nya,
menembusi awan yang tebal itu.
14Kemudian TUHAN mengguntur dari angkasa;
dan Yang Maha Tinggi memperdengar suara-Nya.
15Dia melepaskan anak panah-Nya dan mencerai-beraikan musuh-Nya;
Dia memancarkan kilat sehingga menyebabkan mereka lari.
16Dasar lautan tersingkap,
dan asas bumi terdedah,
ketika Engkau menegur musuh-Mu, ya TUHAN,
dan bertempik dengan murka terhadap mereka.
17Dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya,
Dia memegang aku,
lalu menarik aku keluar dari air yang dalam.
18Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang kuat,
dan daripada mereka yang membenci aku,
kerana mereka terlalu kuat bagiku.
19Ketika aku dalam kesusahan, mereka menyerang aku,
tetapi TUHAN melindungi aku.
20Dia melepaskan aku daripada bahaya;
Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan kepadaku.
21TUHAN mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar;
Dia memberkati aku kerana aku tidak bersalah.
22Aku mematuhi Taurat TUHAN;
aku tidak meninggalkan Allahku.
23Aku telah mentaati segala hukum-Nya;
aku tidak pernah mengingkari perintah-Nya.
24Dia tahu bahawa aku tidak bercela,
dan aku menjauhkan diri daripada kesalahan.
25Oleh itu Dia mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar,
kerana Dia tahu bahawa aku tidak bersalah.
26Ya TUHAN, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu,
dan Engkau sangat baik kepada orang yang baik.
27Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci,
tetapi Engkau memusuhi orang yang jahat.
28Engkau menyelamatkan orang yang rendah hati,
tetapi Engkau merendahkan orang yang sombong.
29Engkau memberikan cahaya kepadaku;
TUHAN Allahku menerangi kegelapanku.
30Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku,
dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka.
31Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini,
firman TUHAN dapat dipercayai.
Dia umpama perisai
bagi semua orang yang berlindung kepada-Nya.
32TUHAN satu-satunya Allah;
hanya Allah pembela kita.
33Dialah Allah yang menguatkan aku,
dan menjadikan jalanku aman.
34 Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa;
Dia menjaga keselamatanku di pergunungan.
35Dia melatih aku untuk berperang,
supaya aku dapat melengkungkan busur yang terkuat.
36Ya TUHAN, Engkau melindungi dan menyelamatkan aku;
pertolongan-Mu telah menjadikan aku agung
dan kuasa-Mu memelihara keselamatanku.
37Engkau menjaga aku supaya aku tidak ditawan,
dan aku tidak pernah jatuh.
38Aku mengejar musuhku dan menangkap mereka;
aku tidak berhenti sehingga aku mengalahkan mereka.
39Aku memukul mereka sehingga mereka tidak dapat bangun;
mereka rebah kerana kalah di hadapanku.
40Engkau memberi aku tenaga untuk bertempur,
dan kemenangan atas musuhku.
41Engkau menyebabkan musuhku lari daripadaku;
aku membinasakan orang yang membenci aku.
42Mereka berteriak minta tolong, tetapi tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka;
mereka berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak menjawab.
43Aku menghancurkan mereka sehingga mereka menjadi seperti debu yang ditiup angin;
aku memijak-mijak mereka seperti lumpur di jalan.
44Engkau menyelamatkan aku daripada umat yang memberontak,
dan menjadikan aku pemerintah bangsa-bangsa;
bangsa yang tidak aku kenal menjadi rakyatku.
45Bangsa asing meromok ketakutan di hadapanku,
dan taat apabila mendengar perintahku.
46Mereka hilang keberanian;
mereka gementar dan keluar dari kubu pertahanan.
47TUHAN hidup! Pujilah pembelaku!
Isytiharkanlah keagungan Allah penyelamatku!
48Dia memberi aku kemenangan atas musuhku;
Dia menaklukkan bangsa-bangsa di hadapanku
49dan menyelamatkan aku daripada lawanku.
Ya TUHAN, Engkau memberi aku kemenangan atas musuhku
dan melindungi aku daripada orang ganas.
50 Oleh itu aku memuji Engkau di kalangan bangsa-bangsa;
aku menyanyikan pujian untuk-Mu.
51Allah memberikan kemenangan besar kepada raja pilihan-Nya;
Dia tetap mengasihi orang yang dilantik-Nya,
iaitu Daud dan keturunannya, untuk selama-lamanya.

Currently Selected:

MAZMUR 18: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy