KELUARAN 3
3
Allah Memanggil Musa
1Pada masa itu Musa menggembala kawanan domba dan kambing Yitro mentuanya, imam di negeri Midian. Ketika Musa sedang menggiring ternakan itu ke seberang padang gurun, dia tiba di Gunung Sinai, gunung yang suci. 2Di sana malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak. Musa nampak semak itu menyala, tetapi tidak terbakar. 3“Aneh!” fikirnya. “Mengapa semak itu tidak terbakar? Baiklah aku melihat dari dekat.”
4Apabila TUHAN nampak Musa menghampiri-Nya, TUHAN memanggil dia dari tengah semak itu, “Musa, Musa!”
Musa menjawab, “Ya, aku di sini.”
5Allah berfirman, “Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci. 6Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.” Oleh itu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Allah.
7Kemudian TUHAN berfirman, “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir; Aku telah mendengar seruan mereka mohon dibebaskan daripada pengerah-pengerah abdi. Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka. 8Oleh itu Aku turun untuk membebaskan mereka daripada orang Mesir, dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke suatu negeri yang luas, kaya, dan subur. Pada masa ini, negeri itu didiami oleh orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi. 9Sesungguhnya Aku telah mendengar seruan umat-Ku dan melihat bagaimana orang Mesir menindas mereka. 10 Sekarang Aku mengutus engkau untuk menghadap raja Mesir supaya engkau dapat memimpin umat-Ku keluar dari negeri raja itu.”
11Tetapi Musa berkata kepada Allah, “Siapakah aku ini? Aku tidak sanggup menghadap raja dan membawa orang Israel keluar dari Mesir.”
12Allah berfirman, “Aku akan menyertai engkau. Apabila engkau telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada-Ku di gunung ini. Itulah buktinya bahawa Aku telah mengutus engkau.”
13 Tetapi Musa berkata, “Jika aku menemui orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Allah nenek moyang kamu telah mengutus saya kepada kamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah namanya?’ Apakah yang harus aku katakan kepada mereka?”
14 Allah berfirman kepada Musa, “Aku adalah AKU. Inilah yang mesti engkau katakan kepada mereka, ‘Dia yang menyebut diri-Nya AKU sudah mengutus saya kepada kamu.’ 15Beritahulah umat Israel, bahawa AKU, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah mengutus engkau kepada mereka. Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya; itulah nama panggilan-Ku yang harus digunakan oleh semua keturunan yang akan datang. 16Pergilah dan himpunkanlah para pemimpin Israel dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu. Beritahulah mereka bahawa Aku telah datang kepada mereka dan telah melihat apa yang dilakukan orang Mesir terhadap mereka. 17Aku telah mengambil keputusan untuk membawa mereka keluar dari Mesir, tempat mereka ditindas, dan membawa mereka ke suatu tanah yang kaya dan subur, iaitu negeri orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi.
18Umat-Ku akan mendengarkan segala katamu. Kemudian engkau mesti menghadap raja Mesir bersama dengan para pemimpin Israel dan berkata kepadanya, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, telah menampakkan diri kepada kami. Sekarang benarkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang gurun untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami.’ ” 19Allah berfirman lagi, “Aku tahu bahawa raja Mesir tidak akan membenarkan kamu pergi, kecuali dia dipaksa berbuat demikian. 20Tetapi Aku akan menggunakan kuasa-Ku dan menghukum Mesir dengan melakukan hal-hal yang menakutkan di sana. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi.
21Aku akan menyebabkan orang Mesir menghormati kamu supaya apabila kamu, umat-Ku meninggalkan tempat itu, kamu tidak akan pergi dengan tangan kosong. 22 Setiap wanita Israel akan minta pakaian, serta barang perhiasan emas dan perak daripada jirannya orang Mesir dan daripada wanita Mesir yang tinggal di rumah jirannya itu. Kamu akan memakaikannya pada anak-anak kamu. Dengan cara itu kamu akan merampas harta orang Mesir.”
Currently Selected:
KELUARAN 3: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.