YouVersion Logo
Search Icon

PENGKHUTBAH 3

3
Segala Sesuatu Ada Waktunya
1Segala sesuatu di dunia ini berlaku pada waktu yang ditentukan Allah.
2Dia menentukan waktu untuk melahirkan dan
waktu untuk meninggal,
waktu untuk menanam dan
waktu untuk mencabut,
3waktu untuk membunuh dan
waktu untuk menyembuhkan,
waktu untuk merobohkan dan
waktu untuk membina.
4Dia menentukan waktu untuk menangis dan
waktu untuk tertawa,
waktu untuk berkabung dan
waktu untuk menari,
5waktu untuk berasmara dan
waktu untuk menahan diri,
waktu untuk memeluk dan
waktu untuk mengawal diri.
6Dia menentukan waktu untuk mendapat dan
waktu untuk kehilangan,
waktu untuk menyimpan dan
waktu untuk membuang,
7waktu untuk mengoyakkan dan
waktu untuk menjahit,
waktu untuk berdiam diri dan
waktu untuk bertutur.
8Dia menentukan waktu untuk mengasihi dan
waktu untuk membenci,
waktu untuk berperang dan
waktu untuk berdamai.
9Apakah hasil semua usaha kita? 10Aku tahu bahawa Allah telah memberikan beban yang berat kepada kita. 11Dia telah menentukan waktu yang tepat bagi tiap-tiap perkara. Dia telah memberi kita keinginan untuk mengetahui masa depan, tetapi tidak memberi kita pemahaman tentang segala perbuatan-Nya dari awal sampai akhir. 12Oleh itu, aku insaf bahawa sebaik-baiknya yang dapat kita lakukan adalah bersukacita dan berusaha sedaya upaya semasa kita masih hidup. 13Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Allah.
14Aku tahu bahawa semua yang dilakukan oleh Allah itu kekal. Manusia tidak dapat menambahnya, ataupun menguranginya. Allah bertindak demikian supaya kita menghormati Dia. 15Apa-apa yang telah berlaku atau akan berlaku telah pun berlaku pada masa yang lampau. Allah menentukan supaya yang sudah berlaku, akan terjadi berulang kali.
Ketidakadilan di Dunia
16Selain itu, aku nampak juga bahawa di dunia ini, di tempat yang seharusnya ada keadilan dan kebaikan, di situ terdapat kejahatan. 17Aku berfikir, Allah akan mengadili orang baik dan orang jahat, kerana setiap perkara dan setiap tindakan akan berlaku pada waktunya yang tertentu. 18Inilah pendapatku: Allah menguji kita untuk menunjukkan bahawa nasib kita tidak berbeza dengan nasib binatang. 19Bukankah manusia dan binatang senasib? Kedua-duanya makhluk dan kedua-duanya pun akan mati. Manusia tidak lebih baik daripada binatang, kerana bagi kedua-duanya hidup itu sia-sia. 20Kedua-duanya kembali ke tempat yang sama - ke tanah. Kedua-duanya berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah. 21Siapakah dapat memastikan bahawa roh manusia naik ke atas dan roh binatang turun ke bawah bumi? 22Oleh itu, aku sedar bahawa hal terbaik yang dapat kita lakukan adalah menikmati hasil usaha kita. Selain itu tidak ada apa-apa yang dapat kita lakukan. Kita tidak mungkin mengetahui apa-apa yang akan berlaku setelah kita meninggal.

Currently Selected:

PENGKHUTBAH 3: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy