YouVersion Logo
Search Icon

YOEL 3

3
Allah akan Mengadili Bangsa-Bangsa
1TUHAN berfirman,
“Pada masa itu Aku akan memulihkan kemakmuran
Yehuda dan Yerusalem.
2Aku akan mengumpulkan semua bangsa
dan membawa mereka ke Lembah Penghakiman.
Aku akan menghakimi mereka di situ
kerana segala perbuatan mereka terhadap umat-Ku.
Mereka telah membuang umat-Ku ke berbagai negeri,
dan membahagi-bahagikan tanah Israel, negeri milik-Ku.
3Mereka membuang undi untuk menentukan
pemilik orang tawanan.
Mereka menjual budak lelaki
dan perempuan supaya dijadikan abdi.
Mereka menggunakan wang yang diperoleh
untuk membayar pelacur dan membeli wain.
4Apakah yang kamu cuba lakukan kepada-Ku, hai Tirus, Sidon, dan seluruh wilayah Filistea? Adakah kamu cuba membalas dendam terhadap Aku? Jika demikian, Aku akan membalas kamu dengan segera. 5Kamu telah merampas emas dan perak-Ku, serta membawa harta kekayaan-Ku ke dalam rumah berhala kamu. 6Kamu telah membawa penduduk Yehuda dan Yerusalem ke tempat yang jauh, serta menjual mereka kepada orang Yunani. 7Tetapi sekarang Aku membawa mereka keluar dari tempat-tempat kamu menjual mereka. Aku akan membalas kejahatan kamu terhadap mereka. 8 Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan dijual kepada orang Yehuda; orang Yehuda pula akan menjual mereka kepada Syeba, negeri yang sangat jauh. Aku, TUHAN telah berfirman.
9Umumkanlah hal ini kepada bangsa-bangsa,
‘Bersiaplah untuk berperang,
panggillah para pahlawan kamu;
kumpulkanlah semua askar, dan maralah!
10 Leburlah mata bajak untuk dijadikan pedang,
dan juga sabit untuk dijadikan tombak.
Hendaklah orang yang lemah turut berkata: Aku pahlawan.
11Marilah segera,
hai bangsa-bangsa di sekitar,
berkumpullah di lembah.’ ”
Ya TUHAN, kirimlah tentera-Mu untuk menyerang mereka.
12TUHAN berfirman lagi, “Bangsa-bangsa mesti bersiap
dan datang ke Lembah Penghakiman.
Di sana Aku, TUHAN akan duduk dan menghakimi,
semua bangsa di sekitar.
13 Mereka sangat kejam,
potonglah mereka seperti gandum pada musim menuai;
peraslah mereka seperti buah anggur di tempat memeras buah anggur sehingga wain melimpah.”
14Beribu-ribu orang berada di Lembah Penghakiman.
Di sanalah Hari TUHAN akan segera datang.
15Matahari dan bulan menjadi gelap,
dan bintang-bintang tidak lagi bercahaya.
Allah akan Memberkati Umat-Nya
16 Suara TUHAN bergemuruh dari Bukit Sion;
Dia mengguntur dari Yerusalem;
langit dan bumi bergoncang,
tetapi Dia akan melindungi umat-Nya.
17“Oleh itu hai Israel,
barulah kamu tahu,
bahawa Akulah TUHAN,
Allah kamu.
Aku tinggal di Sion,
bukit-Ku yang suci.
Yerusalem akan menjadi kota yang suci;
orang bangsa asing tidak sekali-kali
akan merampasnya lagi.
18Pada masa itu gunung akan diliputi ladang anggur;
ternakan akan terdapat di tiap-tiap bukit;
semua sungai di Yehuda akan penuh air.
Sebatang sungai akan mengalir dari Rumah TUHAN;
sungai itu akan mengairi Lembah Akasia.
19Mesir akan menjadi padang gurun,
dan Edom menjadi timbunan puing,
kerana mereka telah menyerang Yehuda
dan membunuh penduduknya yang tidak bersalah.
20-21Aku akan membalas dendam bagi pihak
mereka yang telah dibunuh;
Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah terlepas.
Tetapi Yehuda dan Yerusalem akan dihuni orang selama-lamanya,
dan Aku, TUHAN akan tinggal di Bukit Sion.”

Currently Selected:

YOEL 3: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy