YouVersion Logo
Search Icon

DANBEL 14

14
Daniel dan Para Imam Dewa Bel
1Sesudah Raja Astiages mangkat, kerajaan baginda diambil alih oleh Kores, orang Persia. 2Daniel, penasihat raja yang tinggal di istana raja, paling dihormati antara kawan-kawannya.
3Orang Babilonia mempunyai berhala yang disebut Bel, dan setiap hari, mereka mempersembahkan 400 liter tepung halus, 40 ekor domba, dan 200 liter wain kepadanya. 4Raja Kores percaya bahawa Bel itu dewa, dan setiap hari baginda pergi menyembahnya. Tetapi Daniel tetap menyembah Allahnya sendiri.
5Pada suatu hari raja bertanya kepada Daniel, “Mengapa engkau tak menyembah Bel?”
Jawab Daniel, “Kerana hamba tidak menyembah berhala buatan tangan manusia, melainkan Allah yang hidup, yang menciptakan langit dan bumi, dan berkuasa terhadap semua makhluk hidup.”
6“Jadi engkau tak percaya bahawa Bel adalah tuhan yang hidup?” tanya raja. “Tidakkah kaulihat berapa banyak makanan dan minuman yang dihabiskannya setiap hari?”
7Tetapi Daniel tertawa dan berkata, “Jangan ditipu, tuanku. Yang disebut Dewa Bel itu hanyalah patung tanah liat yang dilapisi gangsa di bahagian luarnya. Bel tidak pernah makan atau minum apa pun.”
8-9Apabila mendengar hal itu, raja murka sekali. Lalu dipanggilnya imam-imam Dewa Bel. Jumlah mereka tujuh puluh orang, belum termasuk anak isteri mereka. Raja bertitah kepada imam-imam itu, “Buktikanlah kepada beta bahawa semua sajian dimakan oleh Dewa Bel. Kalau kamu tak dapat membuktikannya, kamu akan dihukum mati. Tapi kalau benar, Daniel akan dihukum mati kerana telah mengutuk Dewa Bel.”
Daniel bersetuju dengan usul raja.
10Lalu raja pergi dengan Daniel ke kuil Bel. 11Di sana imam-imam berkata kepada raja, “Baiklah hamba semua keluar supaya tuanku sendiri dapat menyajikan makanan di atas meja korban dan menyiapkan wainnya. Sesudah itu tuanku boleh menutup pintu dan memeteraikannya dengan cap mohor kerajaan. 12Apabila tuanku kembali esok pagi dan melihat bahawa Bel tidak menghabiskan semuanya, hamba sekalian boleh dihukum mati. Tapi kalau Bel menghabiskan semuanya, Daniel harus mati kerana dia membuat tuduhan palsu tentang hamba semua.”
13Imam-imam itu tidak khuatir kerana mereka telah membuat pintu rahsia di bawah meja korban. Setiap malam mereka masuk kuil melalui pintu itu dan menghabiskan semua sajian.
14Apabila imam-imam itu sudah keluar, raja menyajikan makanan kepada Bel. Lalu Daniel menyuruh pembantu-pembantunya membawa abu dan menaburi seluruh lantai kuil. Hanya raja yang melihat mereka berbuat begitu. Selepas itu mereka semua keluar. Pintu ditutup dan dimeterai dengan cap mohor kerajaan, lalu mereka pergi.
15Malam itu, seperti biasa imam-imam bersama dengan anak isteri mereka masuk ke dalam kuil melalui pintu rahsia dan menghabiskan semua makanan dan wain.
16Pada esoknya, pagi-pagi sekali raja datang bersama-sama Daniel. 17Raja bertanya, “Masih utuhkah cap mohor itu?”
“Masih utuh, tuanku,” jawab Daniel.
18Segera sesudah pintu dibuka, raja menengok ke meja korban yang sudah kosong dan berseru, “Sungguh besarlah engkau, hai Bel! Tak ada penipuan apa pun padamu!”
19Tetapi Daniel tertawa dan mencegah raja masuk. Katanya, “Periksalah lantai. Tahukah tuanku jejak-jejak siapa itu?”
20“Itu jejak orang lelaki, perempuan, dan anak-anak,” jawab raja. 21Baginda menjadi murka sekali dan memerintahkan supaya imam-imam dan anak isteri mereka ditangkap. Lalu kepada baginda, ditunjukkan pintu rahsia yang dilalui oleh mereka setiap malam untuk makan sajian yang diletakkan di atas meja korban. 22Kemudian raja memerintahkan supaya imam-imam itu dibunuh. Baginda menyerahkan Bel kepada Daniel yang menghancurkan berhala itu berserta kuilnya.
Daniel Membunuh Naga
23Ada seekor naga besar yang disembah oleh orang Babilonia. 24Pada suatu hari raja bertitah kepada Daniel, “Engkau tak dapat menyangkal bahawa naga itu tuhan yang hidup. Jadi sembahlah naga itu!”
25“Hamba hanya menyembah Tuhan, Allah hamba,” jawab Daniel. “Hanya Dialah Allah Yang Hidup. 26Kalau tuanku mengizinkan, naga itu hamba bunuh tanpa pedang atau belantan.”
“Baiklah, beta izinkan,” titah raja.
27Lalu Daniel mengambil tar, lemak, dan rambut. Semua itu direbusnya bersama-sama, lalu dijadikannya kuih-kuih yang bulat dan disuapkannya ke muncung naga. Semuanya dimakan habis oleh naga sehingga naga itu pecah. Lalu Daniel berkata, “Lihat, itulah pujaan orang Babilonia!”
28Apabila mendengar hal itu, orang Babilonia marah sekali dan memberontak terhadap raja. Mereka berteriak, “Raja sudah menjadi orang Yahudi! Baginda sudah memusnahkan imam-imam dan menghancurkan Bel. Sekarang baginda membunuh naga itu!” 29Mereka pergi menghadap raja dan berkata, “Serahkanlah Daniel kepada hamba semua! Kalau tidak, tuanku sekeluarga akan hamba sekalian bunuh!”
30Raja berasa terdesak sehingga baginda terpaksa menyerahkan Daniel kepada mereka. 31Lalu Daniel dibuang ke dalam liang singa dan ditinggalkan di situ enam hari lamanya. 32Di dalam liang itu ada tujuh ekor singa, dan setiap hari, singa-singa itu diberi makan dua mayat dan dua ekor domba. Tetapi selama enam hari itu binatang-binatang itu tidak diberi makan apa-apa pun supaya singa-singa itu menerkam Daniel.
Daniel Diselamatkan dari Liang Singa
33Pada waktu itu ada seorang nabi di negeri Yudea yang bernama Habakuk. Dia baru sahaja memasak bubur dan memasukkan potongan-potongan roti ke dalam mangkuk. Lalu dia pergi hendak menghantarkan bubur itu kepada orang yang sedang menuai gandum di ladang. 34Tetapi di tengah jalan malaikat Tuhan berkata kepadanya, “Bawalah makanan itu ke Babel dan berikannya kepada Daniel di liang singa.”
35Habakuk menjawab, “Tuan, saya belum pernah ke Babel dan tak tahu di mana liang singa itu.”
36Lalu malaikat memegangnya pada rambutnya dan membawanya ke Babel dengan kecepatan angin. Kemudian diturunkannya Habakuk dekat liang singa. 37Habakuk berseru, “Daniel, Daniel! Ini makanan yang dikirim Tuhan untukmu. Ambillah!”
38Apabila mendengar suara itu Daniel berdoa, “Ya Allah, Engkau ingat padaku. Engkau tak pernah meninggalkan orang yang mencintai Engkau.” 39Lalu dia bangkit dan makan makanan itu. Pada saat itu juga Habakuk dibawa malaikat Allah kembali ke tempatnya.
40Pada hari yang ketujuh, raja datang untuk meratapi Daniel. Ketika baginda tiba di liang dan menengok ke dalam, dilihatnya Daniel duduk di situ. 41Lalu raja berseru, “Ya Tuhan, Allah Daniel, sungguh besarlah Engkau! Hanya Engkaulah Allah!” 42Maka baginda memerintahkan supaya Daniel dikeluarkan dari liang, dan orang yang mahu membunuh Daniel, dilemparkan ke dalamnya. Saat itu juga di hadapan mata raja, mereka diterkam oleh singa-singa itu.

Currently Selected:

DANBEL 14: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy