YouVersion Logo
Search Icon

2 MAKABE 1

1
Surat kepada Orang Yahudi di Mesir
1“Daripada orang Yahudi di Yerusalem dan Yudea kepada saudara-saudara mereka di Mesir, salam!
2Semoga Allah bermurah hati kepada kamu dan memenuhi perjanjian yang dibuat-Nya dengan Abraham, Ishak dan Yakub, hamba-hamba-Nya yang setia. 3Semoga kamu diberi hasrat untuk menyembah Dia dan melakukan kehendak-Nya dengan segenap hati. 4Semoga Dia menerangi budi kamu untuk memahami Taurat dan perintah-perintah-Nya. Semoga Dia memberi damai dan kesejahteraan kepada kamu, 5mengabulkan doa-doa kamu, mengampunkan dosa-dosa kamu dan tidak meninggalkan kamu pada waktu kesusahan. 6Kami di sini sedang mendoakan kamu.
7Dalam tahun 169, ketika Raja Demetrius yang Kedua memerintah di Siria, kami menulis kepada kamu tentang penganiayaan dan kesukaran-kesukaran yang menimpa kami selama tahun-tahun yang lampau itu. Waktu itu Yason dan pengikut-pengikutnya mengkhianati dan memberontak terhadap pemerintahan di Tanah Suci. 8Pintu-pintu Rumah Tuhan dibakar dan orang yang tidak bersalah dibunuh. Lalu kami berdoa kepada Tuhan dan Dia menjawab doa-doa kami. Kami mempersembahkan korban binatang dan korban untuk mengucap syukur kepada Tuhan, menyalakan lampu-lampu di Rumah Tuhan dan menyajikan roti sajian. 9Oleh sebab itu hendaklah kamu merayakan suatu perayaan yang sama dengan Perayaan Pondok Daun dalam bulan Kislew.” Ditulis dalam tahun 188.
Surat kepada Aristobulus
10“Daripada orang Yahudi di Yerusalem dan Yudea, Majlis Tua-Tua serta Yudas, kepada semua orang Yahudi di Mesir, terutamanya kepada Aristobulus keturunan para imam yang diurapi dan guru kepada Raja Ptolemeus, salam!
11Kami sangat bersyukur kepada Allah, kerana Dia telah menyelamatkan kami daripada bahaya yang besar dengan menolong kami melawan raja. 12Allah telah mengusir musuh dari kota Yerusalem. 13Ketika Raja Antiokhus tiba di Persia, tentera baginda nampaknya sukar dikalahkan. Tetapi mereka dihancurkan di dalam kuil Dewi Nanaia kerana muslihat para imam yang menyembah dewi itu. 14Raja Antiokhus datang ke situ dengan beberapa orang sahabat. Baginda berpura-pura mahu mengahwini dewi itu supaya dapat mengambil banyak harta kuil sebagai mas kahwin. 15Para imam mempamerkan semua harta itu. Setelah raja dan sahabat-sahabat raja masuk ke dalam kuil itu, imam-imam menutup pintunya. 16Lalu dari pintu rahsia di loteng, mereka melempari raja dan sahabat-sahabat raja dengan batu sehingga mati. Mayat mereka dicincang dan kepala mereka dilemparkan kepada orang di luar.”
17Terpujilah Allah kita kerana Dia telah menghukum semua orang jahat itu. Terpujilah Dia kerana segala-galanya.
Api Membakar Habis Korban Nehemia
18Pada tarikh dua puluh lima bulan Kislew, kami akan merayakan Perayaan Pentahbisan Semula Rumah Tuhan. Kami berasa perlu untuk mengingatkan kamu akan hal itu, supaya kamu pun merayakannya seperti kamu merayakan Hari Raya Pondok Daun dan Pesta Api. Pesta Api itu mengingatkan peristiwa ketika Nehemia mempersembahkan korban sesudah Rumah Tuhan dan mazbah dibina semula. 19Tentang api itu, ada cerita sebagai berikut: Pada waktu nenek moyang kita diangkut ke negeri Persia, beberapa orang imam yang salih diam-diam mengambil sedikit api dari mazbah, lalu menyembunyikannya di dasar sebuah perigi yang kering. Api itu disembunyikan begitu baik, sehingga tempatnya tidak diketahui sesiapa pun. 20Bertahun-tahun kemudian, ketika Tuhan berkenan, raja Persia mengirim Nehemia kembali ke Yerusalem. Lalu Nehemia menyuruh keturunan imam-imam yang dahulu menyembunyikan api itu untuk mencarinya. 21Mereka memberitahu kami bahawa mereka tidak menemukan api, melainkan hanya sedikit cairan berminyak. Nehemia menyuruh mereka mengambil dan membawa cairan itu kepadanya. Selepas seluruh korban diletakkan di atas mazbah, dia menyuruh imam-imam memercikkan cairan itu ke atas kayu dan korban. 22Sesudah hal itu dilakukan, dan beberapa saat kemudian matahari muncul dari balik awan, tiba-tiba api yang besar menyala sehingga semua orang kehairanan. 23Lalu, sementara korban itu dimakan api, Imam Agung Yonatan menyampaikan doa, diikuti oleh Nehemia dan para imam serta semua orang lain di situ.
Doa Nehemia
24Nehemia berdoa begini, ‘Ya Tuhan Allah, Pencipta segala sesuatu, Engkau mengagumkan dan kuat, adil dan berbelas kasihan. Hanya Engkau Raja, hanya Engkau baik, 25hanya Engkau yang adil dan murah hati. Engkau Maha Kuasa dan Kekal, yang menyelamatkan Israel daripada segala kesukaran. Engkau yang mengkhususkan nenek moyang kami menjadi orang pilihan-Mu. 26Terimalah korban ini yang kami persembahkan untuk seluruh Israel. Lindungilah umat pilihan-Mu dan sucikanlah kami. 27Bebaskanlah bangsa kami yang menjadi hamba di negeri-negeri asing dan kumpulkanlah semula orang sebangsa kami yang tercerai-cerai. Kasihanilah bangsa kami yang dihina dan diperlakukan dengan kejam. Maka bangsa-bangsa lain akan tahu bahawa Engkau Allah kami. 28Hukumlah bangsa-bangsa yang sombong dan ganas yang telah menindas kami. 29Buatlah umat-Mu menetap di negeri-Mu yang suci sebagaimana yang dikatakan Musa.’
30Kemudian imam-imam menyanyikan lagu-lagu pujian. 31Sesudah korban habis terbakar, Nehemia menyuruh supaya sisa cairan itu dituangkan ke atas beberapa buah batu besar. 32Seketika itu juga api berkobar, tetapi api itu padam apabila nyala api memantul dari mazbah.
Raja Persia Mendengar tentang Api itu
33Berita itu tersiar ke merata-rata tempat, dan raja Persia diberitahu bahawa suatu cairan telah ditemui di tempat imam-imam menyembunyikan api mazbah sebelum mereka diangkut ke tempat pembuangan, dan bahawa Nehemia serta kawan-kawannya telah menggunakan cairan itu untuk membakar korban di mazbah. 34Setelah peristiwa itu diselidiki, raja memerintahkan supaya tempat itu dipagar dan diisytiharkan suci. 35Tempat itu dipercayakan kepada beberapa orang oleh raja, dan baginda memberikan mereka sebahagian daripada keuntungan besar yang diperolehi dari tempat itu. 36Nehemia dan kawan-kawannya menamakan air itu ‘naftar’, yang bererti penyucian, tetapi kebanyakan orang menyebutnya ‘naftai’.

Currently Selected:

2 MAKABE 1: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy