YouVersion Logo
Search Icon

2 MAKABE 2

2
Yeremia Menyembunyikan Khemah Tuhan
1Dalam piagam, kami menemukan catatan bahawa Nabi Yeremialah yang menyuruh orang yang diangkut ke pembuangan untuk menyembunyikan sedikit api dari mazbah, seperti yang kami tulis di atas. 2Nabi itu juga yang mengajarkan Taurat Tuhan kepada orang buangan dan menasihati mereka supaya jangan melupakan perintah-perintah itu, dan jangan tersesat apabila melihat patung-patung berhala emas dan perak dengan segala perhiasannya. 3Dia berpesan dengan kata-kata yang serupa supaya mereka jangan sekali-kali meninggalkan Taurat.
4Dalam piagam itu dicatatkan juga hal berikut tentang Yeremia: Dengan ilham Tuhan, nabi itu menyuruh supaya Khemah Tuhan dan Tabut Perjanjian dibawa bersama dengan dia ke sebuah gunung. Gunung itulah yang didaki Musa untuk memandang negeri yang dijanjikan Allah kepada bangsa kita. 5Ketika Yeremia mendaki gunung itu, didapatinya sebuah gua yang besar. Di situ disembunyikannya Khemah Tuhan, Tabut Perjanjian, dan mazbah untuk kemenyan. Kemudian tempat masuk ke gua itu ditutupnya rapat-rapat.
6Beberapa orang kawan Yeremia pergi ke sana untuk menandai jalannya, tetapi mereka tidak dapat menemukan gua itu. 7Apabila mendengar hal itu, Yeremia menegur mereka, katanya, ‘Tiada seorang pun boleh tahu tempat itu sehingga Allah mengumpulkan umat-Nya kembali semula dan mengasihani mereka. 8Pada waktu itu Dia akan menunjukkan tempat benda-benda itu disembunyikan. Cahaya hadirat Tuhan akan kelihatan di awan yang turun seperti yang berlaku pada zaman Musa, dan kemudian pada masa Salomo berdoa supaya Rumah Allah ditahbiskan dengan kemuliaan kepada Tuhan.’
Korban daripada Raja Salomo Dimakan Api dari Syurga
9Kami juga diberitahu bagaimana Raja Salomo yang bijaksana mempersembahkan korban ketika Rumah Tuhan selesai dibina dan ditahbiskan kepada Allah. 10Pada waktu raja sedang berdoa, turunlah api dari syurga dan membakar korban-korban, seperti yang terjadi dahulu, ketika Musa sedang berdoa. 11Menurut Musa, korban untuk mengampunkan dosa itu habis dimakan api kerana tidak dimakan oleh manusia. 12Raja Salomo merayakan pesta itu selama lapan hari.
Perpustakaan Nehemia
13Peristiwa-peristiwa itu diceritakan juga dalam piagam rasmi dan dalam kitab riwayat hidup Nehemia, bahawa dia menyusun sebuah perpustakaan dengan mengumpulkan berbagai-bagai kitab tentang para raja dan para nabi, karangan-karangan Raja Daud dan surat para raja tentang korban-korban. 14Demikian juga Yudas telah mengumpulkan semua kitab yang tercerai-cerai kerana peperangan. Semua kitab itu masih ada pada kami. 15Kalau kamu memerlukannya, utuslah orang untuk mengambilnya.
Pelawaan untuk Mengadakan Perayaan
16Oleh sebab kami bermaksud merayakan Perayaan Pentahbisan Semula Rumah Allah, kami menulis surat ini supaya kamu juga merayakan perayaan itu. 17“Allah telah menyelamatkan seluruh bangsa-Nya dan mengembalikan tanah pusaka kita, kerajaan, keimaman dan ibadat di dalam Rumah-Nya kepada kita, 18seperti yang dijanjikan-Nya di dalam Taurat-Nya. Dia telah membebaskan kita daripada banyak malapetaka dan telah menyucikan Rumah-Nya. Kami yakin Allah akan segera menunjukkan belas kasihan-Nya terhadap kita dan membawa kita sekalian dari segala penjuru bumi untuk berkumpul di Rumah-Nya.”
Kata Pendahuluan Daripada Penulis
19Dalam kitab yang terdiri daripada lima jilid, Yason dari Kirene telah mencatat kisah-kisah Yudas Makabe dan saudara-saudaranya, penyucian Rumah Allah yang agung, serta pentahbisan mazbah-Nya, dan 20juga tentang peperangan melawan Antiokhus Epifanes dan Eupator puteranya. 21Dia juga mengisahkan penglihatan-penglihatan dari syurga yang dilihat oleh beberapa orang termasyhur yang berjuang untuk kepentingan umat Yahudi. Tentera kita hanya sedikit jumlahnya, tetapi mereka berhasil merebut kembali seluruh negeri kita dan mengusir pasukan-pasukan asing. 22Mereka merebut kembali Rumah Tuhan yang termasyhur di seluruh dunia dan membebaskan kota Yerusalem. Mereka juga memulihkan hukum-hukum yang hampir terhapus. Semua itu dapat dilakukan mereka kerana Tuhan baik hati dan mengasihani mereka.
23Sekarang saya akan mencuba meringkaskan kitab Yason yang terdiri daripada lima jilid itu menjadi satu jilid. 24Bahan-bahan dan angka-angka yang banyak dan terperinci mungkin menyulitkan orang yang ingin mempelajari kisah-kisah sejarah. 25Tetapi saya sudah berusaha untuk menyajikan hal-hal yang menarik bagi orang yang suka membaca; hal-hal yang mudah bagi orang yang suka menghafal, dan yang berfaedah bagi semua orang yang mungkin membaca buku ini. 26Membuat ringkasan seperti ini merupakan tugas sulit yang menuntut kerja keras dan mengurangkan tidur. 27Pekerjaan ini sama sulitnya dengan menyiapkan suatu perjamuan yang dapat memuaskan tetamu-tetamu. Walaupun begitu, saya rela bersusah payah untuk kemudahan pembaca-pembaca. 28Tentang penelitian terhadap setiap peristiwa, saya serahkan kepada pengarang asal. Saya sendiri berusaha untuk hanya menumpukan butir-butir terpenting sahaja dalam ringkasan saya. 29Saya bukan arkitek yang membuat rumah baru dan harus memperhatikan perincian butir-butir pembinaan. Saya hanya seperti tukang ukir dan tukang lukis yang harus mencari apa yang sesuai untuk memperindah rumah itu. 30Seorang ahli sejarah harus mempelajari dan menyelidiki semua peristiwa, lalu menghuraikannya secara terperinci. 31Tetapi orang yang hanya membuat ringkasan, harus dibenarkan menyajikan bahan yang ringkas tanpa huraian terperinci. 32Maka saya bermula sekarang, tanpa memberi ulasan yang lain. Tidak betul untuk memperpanjang pendahuluan, dan mempersingkat kisahnya sendiri.

Currently Selected:

2 MAKABE 2: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy