SIRAKH 16
16
Allah Menghukum Orang yang Berdosa
1Jangan inginkan banyak anak yang nakal dan jangan bergembira kerana anak yang derhaka. 2Biarpun anakmu banyak, jangan banggakan jumlahnya kalau mereka tidak takut kepada Tuhan 3Jangan taruh harapanmu pada umur panjang mereka, dan jangan pula harapkan bilangan anak yang banyak. Lebih baik mempunyai seorang anak daripada seribu,#seorang anak daripada seribu: Menurut naskhah Ibrani: seorang anak yang melakukan kehendak Tuhan daripada seribu orang anak yang tidak taat. dan lebih baik mati tanpa anak daripada mempunyai anak yang derhaka.
4Oleh sebab seorang yang arif, penduduk kota dapat bertambah banyak, tetapi bangsa yang derhaka akan habis binasa. 5Hal seperti itu sering saya lihat, bahkan hal yang lebih hebat lagi saya dengar. 6Api akan berkobar-kobar di tengah kumpulan orang yang berdosa dan kemurkaan Tuhan menyala antara bangsa yang tidak taat. 7Pada zaman purba Tuhan tidak mengampuni raksasa-raksasa yang bergantung kepada kekuatan mereka sendiri dan yang memberontak terhadap-Nya. #Kej 6.4; Keb 14.6 8Dia membenci kebongkakan orang yang hidup sekota dengan Lot dan Dia tidak mengasihani mereka. 9Bangsa yang berdosa itu tidak disayangi-Nya, melainkan dimusnahkan-Nya kerana dosa mereka. 10Begitu juga nasib 600,000 orang dalam perjalanan di padang gurun yang dengan degil berkumpul untuk memberontak. 11Bahkan sekiranya ada seorang sahaja yang degil, sungguh suatu keajaiban kalau dia terlepas daripada hukuman. Tuhan penuh belas kasihan, tetapi juga dapat menjadi murka. Dia berkuasa untuk memberi ampun, tetapi juga menimpakan kemurkaan-Nya. 12Belas kasihan Tuhan berlimpah-limpah, tetapi hukuman-Nya pun sangat berat. Dia menghakimi orang sesuai dengan perbuatan mereka. 13Orang yang berdosa dan barang rampasan mereka tidak akan terlepas, sedangkan orang salih yang sabar tidak akan dikecewakan. 14Setiap orang salih akan menerima upahnya#Setiap...upahnya: Diambil daripada naskhah Ibrani; naskhah Yunani kurang jelas. dan masing-masing akan menerima sesuai dengan perbuatannya.#Dalam beberapa buah naskhah ada tambahan ayat 15-16: 15 Tuhan menegarkan hati raja Mesir sehingga baginda tidak mahu mengakui Tuhan, supaya dunia dapat mengetahui perbuatan Tuhan. 16 Tuhan menunjukkan belas kasihan-Nya kepada seluruh ciptaan dan membahagi-bahagikan gelap dan terang kepada manusia.
Pembalasan Pasti Datang
17Jangan berkata, “Aku akan bersembunyi daripada Allah. Di atas sana tidak ada sesiapa yang memikirkan aku. Aku tidak akan dikenali di kalangan sekian banyak orang. Aku tidak bererti di dalam ciptaan yang tidak terhingga ini.” 18Apabila Tuhan datang, segala sesuatu akan goncang: bumi dan samudera yang luas di bawahnya, langit dan angkasa raya di atasnya. 19Gunung-gunung bergoncang dan dasar-dasar bumi gementar apabila dipandang Tuhan. 20Tetapi semua itu tidak terfikir oleh manusia dan tidak ada yang memperhatikan jalan-jalan Tuhan. 21Kebanyakan karya Tuhan tersembunyi seperti angin taufan yang tidak kelihatan oleh manusia. 22“Siapa mahu memberitakan perbuatan-perbuatan Tuhan yang adil dan siapa masih mahu menantikan-Nya? Hal itu demikian kerana lambat sekali Tuhan melaksanakan apa yang dijanjikan-Nya.” 23Begitulah fikiran orang yang cetek pengetahuannya, bodoh, dan tersesat.
Kebijaksanaan Allah dalam Ciptaan-Nya
24Anakku, dengarlah dan perhatikanlah kata-kataku supaya engkau memperoleh pengetahuan. 25Aku akan menyampaikan pengajaran dengan teratur dan pengetahuan dengan teliti.
26Pada permulaan, Allah menciptakan segala-galanya#Pada...segala-galanya: Diperbaiki menurut naskhah Ibrani.
dan Dia menentukan setiap tempatnya.
27Seluruh ciptaan diatur-Nya untuk selama-lamanya,
dan untuk setiap makhluk dan keturunannya ditentukan wilayah kekuasaannya.
Tidak ada yang kelaparan
dan tidak ada yang menjadi lelah atau berhenti bekerja.
28Yang satu tidak mendesak yang lain
dan tidak pernah ada yang melawan perintah Tuhan.
29Sesudah menciptakan semuanya,
Tuhan memandang ke bumi dan mengisinya dengan segala yang baik.
30Dia memenuhi permukaan bumi dengan segala macam makhluk hidup.
Semua makhluk adalah fana dan harus kembali menjadi tanah.
Currently Selected:
SIRAKH 16: BMDC
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.