YouVersion Logo
Search Icon

SURAT YEREMIA 6

6
Berhala-Berhala Tidak Berdaya
1Oleh sebab dosa-dosa kamu terhadap Allah, kamu akan diangkut sebagai tawanan ke Babel oleh Raja Nebukadnezar, raja orang Babilonia. 2Kamu akan tinggal di sana bertahun-tahun lamanya sehingga tujuh generasi. Sesudah itu Allah akan menghantar kamu pulang dari Babel dengan selamat.
3Di Babel, kamu akan melihat patung-patung berhala yang dibuat daripada kayu, perak, dan emas yang dipikul di atas bahu dan sangat ditakuti orang yang tidak mengenal Allah. 4Tetapi berhati-hatilah. Jangan sekali-kali tiru orang asing itu dan jangan takut kepada berhala-berhala mereka. 5Sebaliknya, apabila kamu melihat perarakan orang ramai yang menyembah berhala-berhala itu, berkatalah dalam hati, “Hanya Engkau, ya Tuhan, yang patut disembah.” 6Malaikat Allah akan menyertai kamu dan mengawasi kamu.
7Berhala-berhala itu dilapis dengan emas dan perak, dan lidahnya diketam oleh seorang tukang. Tetapi berhala hanya tuhan palsu dan tidak dapat bercakap. 8-9Orang membuat mahkota emas dan menempatkannya di atas kepala berhala-berhala itu seperti untuk seorang gadis yang suka akan perhiasan. Kadang-kadang imam-imam mencuri emas dan perak dari berhala-berhala mereka untuk kepentingan mereka sendiri. 10Bahkan sebahagian daripada emas dan perak itu dihadiahkan mereka kepada pelacur-pelacur di kuil-kuil. Berhala-berhala yang dibuat daripada kayu, perak, dan emas itu didandani dengan pakaian seolah-olah berhala-berhala itu manusia. 11Berhala-berhala itu diselubungi dengan kain ungu tua seperti untuk raja-raja, tetapi tidak mampu membela diri terhadap karat dan rayap. 12Apabila dihamburi debu dalam kuil, muka berhala-berhala harus disapu. 13Berhala-berhala itu memegang tongkat kerajaan seperti penguasa dunia, tetapi tidak dapat membunuh sesiapa pun yang bersalah terhadap berhala-berhala. 14Ada yang diberi keris atau kapak di tangannya, tetapi berhala-berhala tidak dapat membela diri dalam perang atau kalau dirompak. Semua itu membuktikan bahawa berhala-berhala bukan tuhan. Jadi jangan takut kepada berhala.
15-16Berhala-berhala di kuil-kuil mereka seperti mangkuk pecah yang tidak berguna. Mata berhala penuh dengan debu yang mengepul waktu orang masuk. 17Imam-imam melindungi kuil-kuil itu dengan pintu yang diberi palang dan dikunci supaya berhala-berhala itu tidak diambil oleh perompak. Begitulah berhala-berhala itu dikurung seperti tahanan yang dihukum mati kerana bersalah terhadap raja. 18Imam-imam menyalakan lampu lebih banyak untuk berhala-berhala daripada untuk mereka sendiri. Tetapi berhala-berhala itu tidak dapat melihat satu lampu pun. 19Bahagian dalamnya dimakan habis oleh rayap seperti tiang-tiang kayu kuil itu, dan pakaiannya habis dimakan ngengat, tetapi berhala tidak mengetahuinya. 20Muka berhala menjadi hitam kerana asap di kuil. 21Kelawar, burung layang-layang, dan burung-burung lainnya berterbangan di atas berhala. Bahkan kucing duduk di atasnya. 22Semua itu membuktikan bahawa berhala bukan tuhan. Jadi jangan takut kepada berhala.
23Berhala-berhala itu dilapis dengan emas supaya menjadi indah. Tetapi kalau tidak digosok, berhala tidak mengilap. Ketika dituang, berhala tidak merasakan apa-apa. 24Seharga berapa pun berhala dibeli, berhala tetap tidak bernyawa.
25Sesungguhnya berhala tidak berguna bagi manusia kerana tidak dapat berjalan sendiri, melainkan harus diusung. Bahkan orang yang melayani berhala berasa malu 26apabila ada patung berhala yang terjatuh dan harus ditegakkan kembali. Kalau ditaruh di suatu tempat, berhala tidak dapat berpindah. Kalau miring, berhala tidak dapat menegakkan diri dengan sendirinya. Persembahan-persembahan yang diletakkan di hadapan berhala sama dengan persembahan untuk orang mati. 27Apa yang sudah dipersembahkan kepada berhala dijual oleh imam-imamnya dan mereka menggunakan wang tersebut. Begitu juga isteri-isteri mereka mengasingkan sebahagian daripada daging persembahan itu dan tidak membahagikannya kepada orang miskin dan lemah. 28Bahkan wanita-wanita yang sedang datang bulan atau yang baru sahaja melahirkan memegang persembahan itu. Semua itu membuktikan bahawa berhala-berhala itu bukan tuhan. Jadi jangan takut kepada berhala.
29Bagaimanakah berhala disebut tuhan? Para wanita pun diizinkan membawa persembahan kepada berhala-berhala yang dibuat daripada kayu, perak, dan emas itu. 30Para imamnya duduk di dalam kuil dengan pakaian koyak-koyak, kepala, dan janggut dicukur tanpa penutup kepala. 31Mereka melolong dan berteriak di hadapan berhala-berhala mereka seperti dalam perjamuan untuk orang mati. 32Mereka mengambil pakaian berhala-berhala itu dan memberikannya kepada anak isteri mereka. 33Apabila berhala-berhala itu mengalami perlakuan baik atau buruk, berhala tidak dapat membalasnya. Berhala tidak mampu mengangkat seorang menjadi raja atau menurunkan raja dari takhta. 34Kekayaan atau wang tidak dapat diberikan oleh berhala. Kalau orang bernazar kepada berhala tetapi tidak menepatinya, berhala-berhala itu tidak dapat menagihnya. 35Berhala-berhala itu tidak dapat melepaskan seorang pun daripada maut atau membela yang lemah daripada genggaman orang kuat. 36Berhala-berhala itu tidak dapat memberi penglihatan kepada orang buta dan tidak dapat menolong orang dalam kesusahan. 37Berhala-berhala itu tidak dapat mengasihani atau menolong para balu dan yatim piatu. 38Kayu yang berlapis emas dan perak itu seperti batu yang diambil dari pergunungan, dan orang yang mengabdi kepada berhala akan mendapat malu. 39Jadi bagaimanakah orang dapat menganggap atau menyebut berhala-berhala itu tuhan?
Menyembah Berhala ialah Perbuatan yang Bodoh
40Orang Babilonia sendiri menghina berhala-berhala mereka. Kalau ada orang bisu, mereka membawanya kepada patung Bel dan meminta berhala itu supaya memberikannya kebolehan bercakap, seolah-olah Bel dapat mengertinya. 41Mereka itu bodoh dan tidak mengerti sehingga mereka tidak dapat meninggalkan berhala-berhala mereka. #Yes 46.1 42Perempuan-perempuan yang berikat pinggang duduk di pinggir jalan dan membakar sekam sambil menawarkan diri sebagai pelacur. 43Apabila seorang antara mereka diajak oleh seorang lelaki yang lewat untuk berasmara, maka dia mengejek kawannya yang tidak laku dan tidak dibuka ikat pinggangnya. 44Semua yang terjadi pada berhala-berhala itu kepalsuan belaka. Jadi bagaimanakah orang dapat menganggap atau menyebut berhala-berhala itu tuhan?
45Berhala-berhala itu dibuat oleh tukang kayu dan tukang emas, jadi berhala tidak lebih daripada apa yang dimaksudkan oleh tukang-tukang itu. 46Orang yang membuat patung itu sendiri tidak panjang umur. 47Jadi bagaimanakah buatan mereka itu menjadi tuhan? Orang itu hanya mewariskan penipuan dan kehinaan kepada keturunannya. 48Kalau berhala-berhala itu ditimpa perang atau bencana, imam-imam berunding tentang tempat mereka bersembunyi bersama dengan berhala-berhala mereka. 49Mereka tidak dapat mengerti bahawa berhala yang tidak berdaya terhadap perang dan bencana bukanlah tuhan.
50Berhala-berhala itu tidak lain daripada kayu yang dilapisi perak dan emas. Pada suatu ketika nanti akan menjadi jelas bahawa berhala-berhala itu penipuan belaka. Bangsa-bangsa dan raja-raja akan menyedari bahawa berhala-berhala itu hanya buatan manusia dan tidak dapat berkarya seperti Tuhan. 51Setiap orang akan tahu bahawa berhala-berhala itu bukan tuhan.
52Berhala-berhala itu tidak dapat mengangkat seorang pun menjadi raja dan juga tidak mampu menurunkan hujan. 53Berhala-berhala itu tidak dapat mengadili perkara dan tidak dapat membela orang yang diperlakukan dengan tidak adil, kerana berhala-berhala itu sendiri tidak berdaya. 54Berhala tidak berguna seperti burung gagak yang terbang di udara. Kalau sebuah kuil terbakar, imam-imamnya lari untuk menyelamatkan diri, sedangkan berhala-berhala mereka yang daripada kayu dan dilapisi perak serta emas itu terbakar habis seperti sebatang balak. 55Berhala-berhala tidak dapat berperang melawan raja-raja atau musuh. 56Bagaimanakah orang dapat percaya bahawa berhala-berhala itu tuhan?
Berhala-berhala daripada kayu yang dilapisi perak dan emas itu tidak dapat melindungi diri terhadap pencuri dan perompak 57yang mampu mengambil emas, perak, dan pakaian berhala lalu membawanya lari kerana berhala-berhala itu tidak dapat menolong diri sendiri. 58Lebih baik seorang raja yang gagah berani atau sebuah balang yang dapat digunakan, daripada tuhan yang palsu. Sebuah pintu yang melindungi barang-barang di dalam rumah lebih baik daripada tuhan yang palsu. Sebuah tiang kayu di dalam istana pun lebih baik daripada tuhan yang palsu.
59Matahari, bulan, dan bintang-bintang diberi tugas untuk memberi cahaya, dan semuanya taat. 60Begitu juga kilat apabila bersinar, kilat dapat dilihat dari jauh. Angin pun bertiup ke mana-mana. 61Kalau Allah memerintahkan awan-awan untuk melayang-layang ke seluruh dunia, semuanya menjalankan apa yang diperintahkan. 62Api yang dikirim dari atas untuk membakar gunung-gunung dan hutan-hutan, juga melakukan apa yang disuruh. Tetapi berhala-berhala itu tidak dapat dibandingkan dengan semuanya, baik dalam rupa mahupun dalam kekuatannya. 63Jadi jangan anggap atau sebut berhala-berhala itu tuhan, oleh sebab berhala tidak mampu memutuskan perkara atau berbuat baik kepada kita. 64Kamu tahu bahawa berhala-berhala itu bukan tuhan, jadi jangan takut kepada berhala.
65Berhala-berhala itu tidak dapat mengutuk atau memberkati raja-raja. 66Berhala-berhala itu tidak dapat membuat tanda-tanda di langit bagi bangsa-bangsa, dan tidak dapat juga bersinar seperti matahari atau bulan. 67Binatang liar lebih baik daripada berhala-berhala itu, kerana binatang masih dapat melarikan diri daripada bahaya dan mencari perlindungan. 68Jelaslah bagi kita bahawa berhala-berhala itu bukan tuhan, jadi jangan takut kepada berhala.
69Berhala-berhala mereka, yang dibuat daripada kayu berlapis perak dan emas tidak berguna seperti orang-orangan di ladang yang juga tidak memberi perlindungan. 70Berhala seperti semak berduri di kebun yang dihinggapi burung apa sahaja, atau seperti mayat yang dibuang ke dalam kegelapan. 71Daripada pakaian ungu dan kain linen#kain linen: Dalam naskhah Yunani: marmar. berhala yang lapuk, kamu tahu bahawa berhala bukan tuhan. Akhirnya berhala habis dimakan rayap dan menjadi celaan di dalam negeri.
72Jadi lebih baik menjadi orang jujur yang tidak mempunyai berhala-berhala; mereka terlepas daripada penghinaan.

Currently Selected:

SURAT YEREMIA 6: BMDC

Highlight

Copy

Compare

Share

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in