1 MAKABE 10
10
Yonatan Dijadikan Imam Agung
1Dalam tahun 160#tahun 160: Sama dengan tahun 152 Sebelum Masihi. Aleksander Epifanes putera Raja Antiokhus yang Keempat mara berperang dan merebut kota Ptolemais. Putera Antiokhus yang Keempat itu diterima oleh penduduknya dan menjadi raja mereka. 2Apabila Raja Demetrius mendengar hal itu, baginda mengumpulkan tentera yang besar lalu pergi berperang melawan Aleksander. 3Raja Demetrius juga mengirim surat yang penuh dengan kata-kata pujian dan damai kepada Yonatan, 4oleh sebab baginda berfikir, “Baiklah kita cepat mengadakan perdamaian dengan orang Yahudi sebelum mereka membuat perjanjian dengan Aleksander untuk melawan kita. 5Yonatan tentu masih ingat akan semua kejahatan yang telah kita lakukan terhadap dia, saudara-saudaranya dan seluruh bangsanya.” 6Demikianlah Raja Demetrius menjadikan Yonatan sekutunya dan memberi kuasa kepadanya untuk mengumpulkan pasukan dan memperlengkapinya dengan senjata. Baginda juga berjanji bahawa para tawanan yang ditahan di kubu di Yerusalem akan diserahkan kepada Yonatan. 7Lalu Yonatan pergi ke Yerusalem dan membacakan surat itu di hadapan seluruh rakyat dan tentera pendudukan di kubu itu. 8Tentera pendudukan itu sangat ketakutan ketika mendengar bahawa raja telah memberi kuasa kepada Yonatan untuk mengumpulkan pasukan. 9Mereka menyerahkan semua tawanan kepada Yonatan, dan dia mengembalikan mereka kepada ibu bapa mereka.
10Lalu Yonatan menetap di Yerusalem dan mula membina kota itu semula. 11Dia memerintahkan para pekerja untuk membina tembok-tembok di sekeliling Bukit Sion dengan batu-batu persegi besar, sehingga bukit itu menjadi kubu. Hal itu dilakukan oleh mereka. 12Semua orang asing di kubu-kubu yang dibina oleh Bakhides melarikan diri. 13Masing-masing meninggalkan tempat penjagaannya dan pulang ke negerinya sendiri. 14Tetapi sejumlah orang Yahudi yang telah meninggalkan peraturan-peraturan Taurat Musa, masih menetap di Bet-Zur, tempat mereka melarikan diri.
15Sementara itu Raja Aleksander mendengar janji-janji Raja Demetrius kepada Yonatan, juga tentang Yonatan sendiri, tentang pertempuran-pertempurannya, kepahlawanannya serta kesulitan-kesulitan yang dialaminya bersama dengan saudara-saudaranya. 16Lalu Raja Aleksander bertitah, “Mungkinkah kita menemukan orang seperti dia? Baiklah kita jadikan dia sahabat dan sekutu kita.” 17Maka ditulisnya sepucuk surat kepada Yonatan. Kandungan surat itu sebagai berikut:
18“Raja Aleksander kepada Saudara Yonatan, salam!
19Kami telah mendengar bahawa saudara seorang yang gagah berani dan layak menjadi sahabat raja. 20Oleh itu pada hari ini kami melantik saudara menjadi Imam Agung daripada bangsa saudara dan memberi gelaran ‘Sahabat Raja’ kepada saudara. Kiranya saudara menjadi sekutu kami dan tetap bersahabat dengan kami.” Raja Aleksander juga mengirim sehelai baju labuh kerajaan dan sebuah mahkota emas kepada Yonatan. 21Dalam bulan tujuh tahun 160#tahun 160: Sama dengan tahun 152 Sebelum Masihi. pada Perayaan Pondok Daun, Yonatan memakai pakaian Imam Agung. Dia membentuk sepasukan tentera dan melengkapinya dengan banyak senjata.
Demetrius yang Pertama Menulis Surat kepada Yonatan
22Apabila Raja Demetrius mendengar hal itu, baginda sangat sedih dan bertitah, 23“Bagaimana kita dapat membiarkan Raja Aleksander mendahului kita? Baginda sudah memperkuat kedudukannya dengan menjadikan orang Yahudi sahabatnya. 24Baiklah beta juga menulis surat yang menyenangkan mereka dan menjanjikan kehormatan serta hadiah supaya mereka menyokong beta.”
25Maka ditulisnya sepucuk surat kepada orang Yahudi dengan pesan ini:
“Raja Demetrius kepada bangsa Yahudi, salam! 26Kami sangat gembira mendengar bahawa saudara-saudara sudah menepati semua kewajipan daripada perjanjian kita. Saudara-saudara masih setia kepada kami dan tidak bergabung dengan musuh kami. 27Apabila saudara-saudara tetap setia kepada kami, tindakan saudara-saudara akan kami balas dengan kebaikan. 28Saudara-saudara akan kami beri banyak anugerah dan pengecualian daripada banyak cukai. 29Dengan surat ini seluruh bangsa Yahudi kami bebaskan daripada kewajipan membayar cukai biasa, cukai garam, dan cukai-cukai khas untuk raja. 30Selain itu mulai hari ini saudara-saudara kami bebaskan daripada kewajipan membayar sepertiga daripada hasil gandum dan separuh daripada hasil buah-buahan kepada kami. Mulai hari ini dan untuk selama-lamanya kami tidak akan menuntut pembayaran dari negeri Yudea dan ketiga-tiga buah wilayah yang dahulunya menjadi sebahagian daripada Samaria dan Galilea, yang sekarang bercantum dengan Yudea. #1 Mak 11.34 31Yerusalem dan daerah sekitarnya harus diakui sebagai kota suci dan dikecualikan daripada semua cukai. 32Kami juga melepaskan kuasa kami atas kubu di Yerusalem dan menyerahkannya kepada Imam Agung. Dia boleh menempatkan askar-askar pilihannya di situ untuk menjaganya. 33Semua orang Yahudi yang menjadi tahanan perang di mana sahaja di wilayah kerajaan kami, dibebaskan tanpa wang tebusan. Mereka semua akan dibebaskan daripada cukai, dan juga daripada cukai ternakan. 34Bagi semua orang Yahudi di seluruh kerajaan kami, hari-hari Sabat, Perayaan Bulan Baru dan hari-hari lainnya yang sudah ditetapkan, tiga hari sebelum dan tiga hari sesudah hari-hari perayaan itu, merupakan hari perdagangan bebas dan bebas daripada tagihan hutang. 35Pada hari-hari itu tidak ada orang yang berhak menuntut bayaran atau mengganggu saudara-saudara tentang perkara apa pun.
36Lebih kurang 30,000 orang Yahudi akan didaftarkan dalam tentera kerajaan, dan mereka akan menerima bayaran yang sama seperti yang ditetapkan untuk pasukan raja. 37Sebilangan daripada mereka akan ditempatkan di kubu-kubu besar kerajaan, dan sebilangan lagi diberi kedudukan yang bertanggungjawab dalam pemerintahan. Pemimpin dan panglima mereka akan dilantik daripada kalangan mereka sendiri. Mereka boleh mengikut hukum mereka sendiri seperti yang sudah ditentukan oleh raja bagi negeri Yudea.
38Ketiga-tiga buah daerah dari wilayah Samaria yang digabungkan dengan Yudea tetap tergabung dan dianggap satu dengan Yudea dan akan diletak di bawah kekuasaan Imam Agung sendiri. 39Pendapatan dari kota Ptolemais dan daerah jajahannya kami hadiahkan kepada Rumah Allah di Yerusalem untuk membiayai perbelanjaan ibadat. 40Setiap tahun kami akan menyumbangkan 15,000 keping wang perak daripada pendapatan raja yang diperolehi dari tempat yang layak. 41Semua sisa wang negara yang belum dibayar oleh pegawai negara, mulai sekarang akan diberikan seluruhnya, seperti mana pada tahun-tahun yang lalu untuk pekerjaan di Rumah Allah. 42Selain itu kami menghapuskan cukai tahunan sebanyak 5,000 keping wang perak daripada pendapatan Rumah Allah. Wang itu untuk para imam yang menyelanggarakan ibadat di Rumah Allah. 43Siapa sahaja yang berhutang kepada raja atau yang mempunyai hutang lain, lalu mencari perlindungan di Rumah Allah di Yerusalem atau di mana sahaja di halaman rumah itu akan bebas, dan hartanya yang ada dalam batas-batas kerajaan kami tidak akan disita. 44Semua perbelanjaan untuk membina dan memperbaiki Rumah Allah akan dibayar daripada pendapatan raja. 45Biarlah perbelanjaan membina tembok-tembok Yerusalem semula, kubu-kubu pertahanan di sekelilingnya dan tembok-tembok lain di Yudea juga dibayar daripada pendapatan raja.”
Yonatan Menolak Usul Raja Demetrius
46Apabila Yonatan dan rakyat mendengar usul-usul Raja Demetrius, mereka tidak percaya dan tidak mahu menerimanya. Mereka masih ingat akan kejahatan-kejahatan besar yang dilakukannya terhadap Israel dengan menindas mereka. 47Mereka lebih suka berpihak kepada Raja Aleksander, oleh sebab baginda terlebih dahulu menawarkan perdamaian. Jadi mereka tetap bersekutu dengan Raja Aleksander.
48Sementara itu Raja Aleksander mengumpulkan banyak pasukan lalu berperang melawan Raja Demetrius. 49Kedua-dua orang raja itu bertempur, lalu tentera Raja Demetrius melarikan diri. Raja Aleksander mengejar dan mengalahkan mereka. 50Raja Aleksander berjuang mati-matian sehingga matahari terbenam, dan pada hari itu juga Raja Demetrius gugur.
Perjanjian Raja Aleksander dengan Raja Ptolemeus
51Kemudian Raja Aleksander mengirim utusan kepada Raja Ptolemeus yang Keenam, raja Mesir dengan pesanan ini:
52“Beta sudah kembali ke negeri beta, dan berjaya memukul mundur Demetrius. Beta telah merebut kuasa di wilayah kami dan menduduki takhta nenek moyang beta. 53Demetrius dan tenteranya beta tumpaskan dalam perang dan beta mengambil alih kerajaannya.
54Oleh itu baiklah kita mengadakan perjanjian persahabatan. Izinkanlah beta memperisteri puteri tuanku. Beta akan memberikan hadiah-hadiah yang sesuai bagi tuanku dan puteri tuanku.”
55Raja Ptolemeus menjawab, “Sungguh hari yang berbahagia ketika tuanku kembali ke negeri tuanku dan menduduki takhta nenek moyang tuanku. 56Beta setuju dengan usul tuanku. Tetapi hendaklah tuanku menemui beta di kota Ptolemais supaya kita dapat berkenalan. Sesudah itu tuanku boleh memperisteri puteri beta.”
57Maka dalam tahun 162#tahun 162: Sama dengan tahun 150 Sebelum Masihi. Raja Ptolemeus dan Kleopatra puteri baginda meninggalkan Mesir dan tiba di Ptolemais. 58Mereka disambut oleh Raja Aleksander, lalu Raja Ptolemeus menyerahkan Kleopatra, puteri baginda kepada Raja Aleksander. Pernikahan itu dirayakan di Ptolemais secara besar-besaran seperti kebiasaan di kalangan raja-raja.
Yonatan Menjadi Sahabat dan Sekutu Raja Aleksander
59Sementara itu Raja Aleksander menulis surat kepada Yonatan supaya dia datang menemui baginda. 60Maka Yonatan pergi ke Ptolemais, dan dengan pakaian kebesaran dan semarak dia bertemu dengan kedua-dua orang raja itu. Dia memberi mereka hadiah daripada emas dan perak. Dia juga memberi banyak hadiah kepada sahabat-sahabat raja, dan mereka semua berkenan kepada dia.
61Beberapa orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum dan mahu mencelakakan bangsanya berkomplot melawan Yonatan dan menuduh dia. Tetapi Raja Aleksander tidak menghiraukan mereka. 62Malahan raja memerintahkan supaya Yonatan diberi pakaian kerajaan. 63Dia dipersilakan duduk di sisi raja. Lalu Raja Aleksander memerintahkan para pegawai baginda, “Pergilah bersama dengan Yonatan ke tengah-tengah kota, dan isytiharkanlah bahawa tidak seorang pun boleh menuduh Yonatan tentang perkara apa pun atau menggugatnya dengan alasan apa pun.” 64Ketika orang yang menuduhnya melihat bahawa Yonatan diberi pakaian kerajaan dan kehormatan, serta mendengar pengisytiharan itu, mereka semua melarikan diri. 65Raja memberi kehormatan kepada Yonatan dengan memasukkannya di kalangan utama sahabat raja. Dia juga dilantik menjadi panglima dan gabenor wilayahnya. 66Lalu Yonatan pulang ke Yerusalem dengan gembira dan selamat.
Yonatan Mengalahkan Apolonius
67Dalam tahun 165#tahun 165: Sama dengan tahun 147 Sebelum Masihi. Demetrius yang Kedua putera Raja Demetrius yang Pertama meninggalkan Kreta dan tiba di Siria, negeri nenek moyangnya. 68Apabila mendengar hal itu Raja Aleksander menjadi cemas, lalu kembali ke Antiokhia, ibu kota Siria. 69Sementara itu Raja Demetrius melantik Apolonius kembali menjadi gabenor Siria Besar. Apolonius membentuk tentera yang besar lalu berkhemah dekat dengan Yamnia. Dia mengirim pesan ini kepada Yonatan, Imam Agung:
70“Tuanlah satu-satunya yang memberontak terhadap kami. Oleh sebab tuan pula kami dijadikan bahan tertawaan dan ejekan. Mengapakah tuan menunjukkan kuasa tuan di pergunungan untuk melawan kami? 71Kalau tuan memang percaya kepada tentera tuan, turunlah menghadapi kami di dataran supaya kita dapat mengadu kekuatan. Tuan akan melihat bahawa pasukan semua kota ada di pihak kami. 72Terlebih dahulu, baiklah tuan menyelidiki siapa kami dan siapa sekutu kami. Tuan akan menyedari bahawa tuan tidak boleh bertahan terhadap kami. Nenek moyang tuan terpaksa melarikan diri sampai dua kali di negeri mereka sendiri. 73Jangan harap tuan dapat bertahan terhadap pasukan berkuda dan tentera kami yang sekuat ini di dataran. Di sini tidak ada batu sebesar kerikil pun untuk tempat bersembunyi dan tidak ada tempat untuk lari.”
74Apabila Yonatan menerima pesan Apolonius, dia sangat tersinggung. Dipilihnya 10,000 orang askar, lalu mereka berangkat dari Yerusalem. Simon abangnya juga datang membawa pasukan pembantu. 75Lalu mereka berkhemah dekat kota Yope. Mereka tidak diizinkan masuk oleh penduduk kota, kerana di situ sudah ada tentera pendudukan Apolonius. Tetapi Yonatan menyerang kota itu. 76Kerana ketakutan, penduduk kota membuka pintu gerbangnya sehingga Yonatan dapat menguasai kota itu.
77Apabila mendengar hal itu, Apolonius membawa 3,000 orang pasukan tentera berkuda dan pasukan berjalan kaki yang amat besar. Dia berpura-pura menuju ke kota Asdod. Tetapi sementara itu dia mara ke dataran dengan mengharapkan kekuatan pasukan berkudanya. 78-79Dengan diam-diam ditinggalkannya 1,000 orang pasukan berkudanya untuk menyerang tentera Yonatan dari belakang. Yonatan mengikuti musuh hingga ke Asdod, lalu pertempuran bermula. 80Pada saat itulah Yonatan sedar bahawa mereka terjebak. Tenteranya dikepung dan dari pagi hingga petang mereka dihujani panah musuh. 81Tetapi anak buah Yonatan bertahan seperti yang diperintahkan oleh Yonatan, dan pasukan berkuda musuh menjadi lelah.
82Sesudah pasukan berkuda itu kepenatan, tiba-tiba Simon muncul dengan pasukannya. Dia menyerang dan menggempur pasukan tentera berjalan kaki musuh. Mereka tercerai-cerai lalu melarikan diri. 83Pasukan berkuda bertaburan di dataran, lalu melarikan diri ke Asdod dan mencari perlindungan di kuil Dagon, dewa mereka. 84Tetapi Yonatan membakar kota itu serta kuil Dagon yang ada di situ, dan semua orang yang berlindung di dalamnya mati terbakar. Kampung-kampung di sekitarnya juga dirampas dan dibakar. 85Pada hari itu musuh yang mati kerana pedang atau api berjumlah lebih kurang 8,000 orang.
86Kemudian Yonatan meninggalkan tempat itu dan berkhemah dekat kota Askelon. Dia disambut oleh penduduk kota dengan kehormatan besar. 87Lalu dia dan anak buahnya kembali ke Yerusalem dengan membawa banyak barang jarahan.
88Apabila Raja Aleksander mendengar apa yang telah dilakukan Yonatan, baginda memberi kehormatan yang lebih besar lagi kepadanya. 89Baginda menghadiahkan sebuah kancing emas yang biasanya hanya diberikan kepada kaum kerabat diraja, dan menyerahkan kota Ekron dan daerah sekitarnya kepada Yonatan sebagai milik peribadinya.
Currently Selected:
1 MAKABE 10: BMDC
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Berita Baik © Bible Society of Malaysia, 1996.