Amsal 27:17-27
Amsal 27:17-27 AVB
Besi menajamkan besi, demikian juga orang menajamkan sesamanya. Sesiapa memelihara pokok ara, akan memakan buahnya, dan orang yang melindungi tuannya akan dihormati. Seperti air mencerminkan wajah, demikianlah hati manusia mencerminkan diri manusia itu. Alam kubur dan tempat kebinasaan tidak pernah puas, demikian jugalah mata manusia tidak pernah puas. Mangkuk pijar untuk perak dan relau untuk emas, tetapi manusia diuji menurut pujian yang diterimanya. Sekalipun orang bodoh kautumbuk dalam lesung dengan alu bersama-sama gandum, tidak akan hilang kebodohannya daripadanya. Ketahuilah dengan baik keadaan haiwanmu dan perhatikanlah kawanan ternakmu, kerana harta benda tidaklah kekal, begitu juga mahkota tidak tetap turun-temurun. Ketika rumput lama menghilang, rumput muda terlihat, dan tumbuh-tumbuhan gunung dikumpulkan, maka domba-domba akan menyediakan pakaian bagimu dan kambing-kambing jantan akan menyediakan wang pembeli ladang. Akan cukup susu kambing untuk rezekimu, rezeki keluargamu, dan penghidupan para pelayan perempuanmu.