YouVersion Logo
Search Icon

Habakuk 2

2
Orang benar akan hidup dengan imannya
1Aku akan berdiri di tempat kawalanku
dan mengambil tempat di atas kubu.
Aku mahu meninjau untuk melihat apa yang akan difirmankan-Nya kepadaku
dan apa yang harus kujawab apabila Dia menghujah pengaduanku.
2Lalu TUHAN menjawab aku demikian,
“Tulislah penglihatan itu dengan jelas pada papan-papan loh,
supaya orang yang berlari pun dapat membacanya.
3 # Ibr 10:37. Memang penglihatan itu masih menanti waktu pernyataannya,
tetapi akan segera menuju kesudahannya tanpa berdusta.
Kalaupun tampak seperti lambat, tetap nantikannya,
kerana pasti akan ternyatanya juga dan tidak akan berlengah.
4 # Rm 1:17; Gal 3:11; Ibr 10:38. Sesungguhnya, orang yang meninggikan diri tidak lurus hatinya,
tetapi orang benar akan hidup dengan imannya.
5Apatah lagi khianat memang sifat air anggur,
si sombong yang tidak pernah tenang.
Besar sungguh nafsu serakahnya bak alam kubur,
bak maut yang tidak kenyang-kenyang,
yang terus mengumpulkan
dan menghimpunkan segala bangsa dan suku bangsa.”
Sengsara menimpa umat Kasdim
6Bukankah kesemua itu akan mengejeknya dengan ibarat
dan teka-teki cemuhan terhadapnya yang berbunyi,
‘Malangnya orang yang memperkaya diri dengan apa-apa yang bukan miliknya
dan yang membebankan diri dengan barang gadaian!
Berapa lama lagikah sedemikian?’
7Bukankah dalam sekejap mata akan bangkit para pemiutang yang menggigit engkau
dan akan terjaga kalangan yang membuat engkau gementar?
Engkau akan menjadi jarahan bagi mereka!
8Atas engkau yang telah menjarah banyak bangsa,
segala suku bangsa yang tersisa akan menjarah engkau,
atas sebab darah manusia yang tertumpah itu
dan lantaran keganasan terhadap negeri, kota, dan seluruh penduduknya itu.
9Malangnya dia yang mengejar laba haram bagi isi rumahnya!
Orang itu bermaksud meninggikan kedudukan sarangnya
agar terlepas daripada jangkauan malapetaka.
10Engkau telah menetapkan keaiban atas isi rumahmu dengan memangkas banyak suku bangsa.
Engkau telah berdosa terhadap dirimu sendiri.
11Batu daripada tembok akan berseru-seru
dan alang daripada rangka rumah akan menyahut jawapannya.
12Malangnya orang yang mendirikan kota dengan penumpahan darah
dan yang mengasaskan kota berdasarkan kezaliman!
13 # Sir 14:19. Sesungguhnya, bukankah atas penentuan TUHAN alam semesta,
bahawa bangsa-bangsa melelahkan diri untuk sesuatu yang akan dimakan api sahaja
dan suku-suku bangsa meletihkan diri untuk sesuatu yang sia-sia sahaja?
14 # Yes 11:9. Sememangnya bumi akan dipenuhi dengan pengetahuan tentang kemuliaan TUHAN seperti air meliputi lautan.
15Malangnya orang yang memberikan sesamanya minuman bercampur bisa amarah
demi memabukkan dia agar dapat melihat auratnya!
16Engkau akan kenyang dengan keaiban yang menggantikan kehormatan.
Minumlah juga engkau dan jadilah seperti orang yang tidak bersunat!
Cawan di tangan kanan TUHAN akan beralih kepadamu
dan aib besar akan menimpa kehormatanmu.
17Keganasan yang dilakukan terhadap Lebanon akan meliputi engkau
dan pemusnahan binatang-binatang akan mengejutkan engkau,
kerana darah manusia yang tertumpah itu
dan kerana keganasan terhadap bumi, kota, dan seluruh penduduknya itu.
18Apa faedahnya berhala walhal si pembentuknya yang mengukirnya
atau patung tuangan yang mengajarkan dusta itu?
Pembentuknya percaya kepada barang yang dibentuknya sendiri,
padahal yang dibuatnya hanyalah berhala-berhala yang bisu.
19Malangnya orang yang berkata kepada kayu, “Bangkitlah!”
atau kepada batu bisu, “Bertindaklah!”
Itukah pengajaranmu?
Lihat, benda itu hanya bersalut emas dan perak.
Tidak ada roh sama sekali di dalamnya!
20Tetapi TUHAN hadir di dalam Bait-Nya yang suci.
Biarlah seluruh bumi berdiam diri di hadirat-Nya!

Currently Selected:

Habakuk 2: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy