Pengkhutbah 5:13-20
Pengkhutbah 5:13-20 AVB
Ada keburukan yang menyedihkan yang kulihat di bawah matahari: pemilik kekayaan mendapat kehancuran daripada harta kekayaan sendiri. Dan melalui pengelolaan yang buruk, kekayaan itu lenyap hinggakan tiada suatu pun yang ada lagi untuk anaknya. Dengan telanjang seorang keluar daripada kandungan ibunya, dan dengan telanjang juga dia akan pergi. Tiada satu apa-apa pun hasil jerih payah usahanya yang dapat dibawa dalam tangannya. Ini juga keburukan yang menyedihkan. Sebagaimana dia datang, demikian jugalah pemergiannya. Maka keuntungan apakah yang diperoleh setelah berpenat lelah menjaring angin? Malah sepanjang usianya dia makan dalam kegelapan dan penuh dukacita serta mengalami pelbagai kesusahan, kesakitan dan kekesalan. Lihatlah, apa yang kuanggap baik dan tepat ialah dalam segala jerih payah seseorang di bawah matahari itu, dia perlu menikmati makan minum dan kesenangan yang diberikan Allah selama tempoh kehidupannya yang singkat itu. Setiap orang yang dirahmati Allah kekayaan, harta benda dan kuasa untuk menikmatinya, untuk menerima bahagiannya, dan untuk bersukacita dalam jerih payahnya — itu juga kurnia Allah. Dia tidak sering memikirkan hari-hari hidupnya kerana Allah membiarkan dia sibuk dengan kesukaan hatinya.