YouVersion Logo
Search Icon

2 Timotius 1:6-14

2 Timotius 1:6-14 AVB

Oleh itu, aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu. Allah tidak memberi kita roh ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib. Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Tuhan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi ikut serta menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah. Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Kristus Yesus sebelum permulaan zaman. Sekarang segala ini telah dinyatakan dengan kedatangan Penyelamat kita Kristus Yesus, yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil. Aku telah ditugaskan menjadi seorang daripada pemberita Injil, rasul, dan guru. Oleh itu, aku menanggung segala penderitaan ini. Namun demikian, aku tidak berasa malu, kerana aku tahu akan Tuhan yang kupercayai dan aku yakin Dia dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya hingga pada Hari itu. Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus. Peliharalah perkara baik yang diamanahkan kepadamu dengan Roh Kudus yang berada dalam diri kita.

Video for 2 Timotius 1:6-14