2 Korintus 8
8
Kemurahan hati
1 # Rm 15:26. Kami ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, tentang kasih kurnia Allah kepada jemaah-jemaah di Makedonia. 2Sungguhpun mereka banyak diuji dengan kesusahan, namun kegembiraan mereka melimpah. Walaupun mereka sangat miskin, mereka kaya dalam kemurahan hati. 3Aku dapat memberikan kesaksian bahawa dengan rela hati mereka telah memberi setakat termampu, malah lebih daripada itu. 4Mereka telah meminta bersungguh-sungguh kepada kami agar mereka diberi anugerah untuk menyumbang kepada keperluan orang salih. 5Hal ini benar-benar di luar jangkaan kami. Mereka mempersembahkan diri pertama-tama kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga dengan kehendak Allah. 6Oleh itu, kami meminta bersungguh-sungguh kepada Titus, yang telah memulakan usaha itu, supaya melanjutkan pekerjaan yang mulia#8:6 Atau: Melanjutkan pekerjaan kasih kurnia ini. itu dalam kalanganmu. 7Jadi, sebagaimana kamu kaya dalam segala hal dalam iman, kata-kata, pengetahuan, kesungguhan dan dalam kasihmu kepada kami hendaklah kamu kaya juga dalam pekerjaan yang mulia#8:7 Atau: Dalam pekerjaan kasih kurnia. itu.
8Ini bukanlah satu perintah, tetapi aku menguji keikhlasan kasihmu berbanding kesungguhan orang lain. 9Kamu tahu tentang kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus. Dia kaya, tetapi kerana kamu Dia telah menjadikan diri-Nya miskin supaya melalui kemiskinan-Nya kamu menjadi kaya.
10Dalam hal ini, aku menasihatimu: Sudah sewajarnya kamu meneruskan apa yang kamu mulakan setahun lalu. Pada masa itu, kamulah yang mula-mula berhasrat memberi, dan kamulah yang mula-mula bertindak. 11Sekarang, hendaklah kamu menyempurnakannya. Dahulu kamu telah membuat keputusan memberi, maka sekarang buktikanlah bahawa kamu bersedia melaksanakannya menurut kemampuanmu. 12Jika seseorang sanggup memberi, Allah reda menerima pemberiannya menurut apa yang dia ada, bukan apa yang dia tidak ada.
13Maksudku bukanlah supaya orang lain dimudahkan manakala kamu disusahkan, tetapi agar terdapat persamaan. 14Kini, kelebihanmu dapat menampung kekurangan mereka. Satu hari nanti, kelebihan mereka dapat menampung kekuranganmu pula, maka terdapatlah persamaan, 15#Kel 16:18.seperti yang telah tersurat,
“Orang yang memungut banyak tidak berlebihan,
dan orang yang memungut sedikit tidak kekurangan.”
Titus diutus ke Korintus
16Segala puji dan syukur kepada Allah kerana telah meletakkan ke dalam hati Titus keprihatinan yang sama terhadapmu. 17Titus menerima permintaan kami, malah dengan kehendaknya sendiri pergi mengunjungimu. 18Kami mengutus seorang lagi saudara kita bagi menyertai Titus: Seorang yang terpuji dalam kalangan semua jemaah kerana pelayanannya dalam hal-hal Injil. 19Malah dia juga telah dipilih oleh semua jemaah untuk menemani kami dalam perjalanan kami, yang bertujuan menyampaikan pemberian itu, agar Tuhan dimuliakan dan kesediaanmu menolong menjadi nyata.
20Kami juga ingin mengelakkan daripada dicela berkaitan tindakan kami membawa pemberian yang begitu besar. 21#Ams 3:4.Kami berusaha melakukan apa yang benar bukan sahaja di mata Tuhan tetapi juga di mata manusia.
22Oleh yang demikian, bersama Titus dan saudara kita itu, kami mengutus seorang lagi saudara kita. Kami telah mengujinya beberapa kali dan mendapatinya amat bersungguh-sungguh. Malah sekarang dia lebih bersungguh-sungguh lagi disebabkan kepercayaan yang sangat besar kepadamu. 23Titus ialah temanku dan rakan sekerjaku untuk kepentinganmu. Saudara-saudara kita yang lain itu adalah utusan jemaah-jemaah, dan kemuliaan Kristus. 24Oleh itu, tunjukkanlah kepada mereka dan di hadapan semua jemaah bukti kasihmu serta kebanggaan kami terhadapmu.
Currently Selected:
2 Korintus 8: AVB
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited
2 KORINTUS 8
8
Derma daripada Orang Kristian
1Saudara-saudaraku, kami hendak kamu tahu bahawa Allah sangat baik kepada jemaah di Makedonia. 2Mereka sudah diuji dengan kesusahan yang berat, tetapi mereka sentiasa bersukacita. Mereka sangat miskin, tetapi mereka sangat murah hati. 3Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka memberi menurut kemampuan mereka, bahkan lebih daripadanya. Dengan kehendak mereka sendiri, 4#Rm 15.26 mereka meminta dan merayu kepada kami supaya dibenarkan membantu umat Allah di Yudea. 5Pemberian mereka itu melebihi apa yang kami harapkan! Mula-mula mereka menyerahkan diri kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga, sesuai dengan kehendak Allah. 6Oleh itu kami menggesa Titus yang memulakan usaha mengumpulkan wang derma di kalangan kamu, supaya dia meneruskan usaha itu dan menyelesaikannya. 7Kamu unggul dalam semuanya: dalam kepercayaan kamu kepada Kristus, usaha kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik, pengetahuan kamu tentang yang benar, usaha kamu untuk menolong, dan kasih kamu kepada kami.#kasih kamu kepada kami; Beberapa buah naskhah kuno:kasih kami kepada kamu. Oleh itu, kami juga ingin kamu unggul dalam usaha kamu yang baik ini.
8Apa yang aku katakan itu bukanlah suatu perintah. Tetapi dengan menunjukkan betapa giatnya jemaah di Makedonia menolong orang lain, aku berharap kasih kamu yang sejati pun akan nyata. 9Kamu tahu bahawa kita sangat dikasihi oleh Yesus Kristus Tuhan kita. Meskipun Dia kaya, Dia menjadikan diri-Nya miskin untuk kebaikan kamu, supaya dengan kemiskinan-Nya itu, kamu menjadi kaya.
10Menurut pendapatku, lebih baik kamu selesaikan apa yang kamu mulakan pada tahun lalu. Kamulah yang pertama kali merancangkan dan memulakan usaha itu. 11Teruskanlah dan selesaikanlah usaha itu. Semoga kamu sangat berminat menyelesaikannya sebagaimana kamu sangat berminat mencadangkannya dahulu. Berilah derma menurut kemampuan kamu. 12Jika kamu sangat berminat memberi derma, Allah akan menerima pemberian kamu berdasarkan apa yang kamu miliki, bukan apa yang tidak kamu miliki.
13-14Aku tidak berniat meringankan beban orang lain dengan memberatkan beban kamu. Pada masa ini kamu berkecukupan, maka sepatutnya kamu membantu mereka yang berkekurangan. Begitu juga apabila kamu berkekurangan dan mereka berkecukupan, mereka akan membantu kamu. Dengan demikian kedua-dua belah pihak mendapat layanan yang sama. 15#Kel 16.18 Di dalam Alkitab tertulis,
“Orang yang mengumpulkan banyak makanan,
tidak berkelebihan,
dan orang yang mengumpulkan sedikit makanan,
tidak berkekurangan.”
Titus dan Sahabat-sahabatnya
16Kami bersyukur kepada Allah yang sudah menyebabkan Titus sangat ingin menolong kamu, seperti kami juga! 17Bukan sahaja dia rela memenuhi permintaan kami, tetapi dia juga sangat ingin menolong kamu sehingga dengan kemahuannya sendiri dia membuat keputusan untuk pergi kepada kamu. 18Bersama dengan dia kami mengutus seorang saudara seiman yang sangat dihormati oleh jemaah di pelbagai tempat kerana pekerjaannya mengkhabarkan Berita Baik. 19Lagi pula dia sudah dipilih dan dilantik oleh jemaah di wilayah Makedonia untuk menyertai kami dalam perjalanan kami. Dia akan menolong kami mengurus wang derma yang kami kumpulkan untuk memuliakan Tuhan, dan untuk menunjukkan bahawa kami ingin menolong.
20Kami sangat berhati-hati mengurus wang derma yang besar jumlahnya itu, supaya tidak sesiapa pun dapat mencela kami. 21#Ams 3.4 Kami bertujuan melakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Tuhan, tetapi juga di hadapan manusia.
22Bersama dengan Titus dan saudara itu, kami juga mengutus seorang saudara seiman yang lain. Kami sudah menguji dia berkali-kali dan ternyata dia sentiasa ingin menolong. Sekarang dia lebih lagi ingin menolong kamu, kerana dia mempunyai keyakinan terhadap kamu. 23Titus itu rakanku dan bekerja bersama-sama aku untuk menolong kamu. Kedua-dua orang saudara yang pergi bersama-sama dia mewakili jemaah di sini, dan kerja mereka mendatangkan kemuliaan bagi Kristus. 24Tunjukkanlah kasih kamu kepada mereka, supaya jemaah yang mengutus mereka akan mengetahui hal itu. Dengan demikian terbuktilah bahawa apa yang kami banggakan tentang kamu itu benar.
Currently Selected:
:
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version with Deuterocanonicals © The Bible Society of Malaysia, 1996.