2 Korintus 5
5
Tempat tinggal di syurga
1 # Keb 9:15. Kami tahu bahawa apabila khemah tempat kami tinggal di bumi ini roboh, Allah telah menyediakan tempat kediaman bagi kami di syurga, yang tidak diperbuat oleh tangan manusia, dan yang bersifat kekal. 2Dalam khemah yang kita diami kini, kita merintih dan merindui tempat tinggal kita di syurga, yang akan kita terima. 3Setelah kita menerimanya, kita tidaklah akan tinggal terdedah. 4Selagi kita masih mendiami khemah yang sekarang, kita merintih kerana terbeban, kerana kita tidak mahu terdedah; kita ingin dilindungi oleh yang kekal, ingin agar yang fana digantikan dengan yang hidup. 5Inilah yang telah disediakan Allah untuk kita; dan Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita sebagai jaminan.
6Oleh itu, kami sentiasa yakin. Kami tahu bahawa selagi kami mendiami tubuh ini, kami masih jauh daripada Tuhan; 7Sebabnya kami hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan. 8Kami sentiasa yakin. Sebenarnya kami lebih suka jika dipisahkan dari tubuh ini dan tinggal bersama Tuhan. 9Dengan demikian, baik ketika masih mendiami tubuh ini mahupun ketika dipisahkan darinya, kami berusaha supaya tetap diredai-Nya. 10#Rm 14:10.Kita semua akan dihadapkan ke pengadilan Kristus, dan setiap orang akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan dalam hidupnya, baik ataupun jahat.
Mengusahakan pendamaian
11Kami tahu apa yang dimaksudkan dengan takut kepada Tuhan. Oleh itu, kami berusaha meyakinkan orang. Allah mengenal kami dengan jelas, dan aku berharap dalam hati nuranimu kamu juga mengenal kami dengan jelas. 12Kami bukanlah cuba memuji diri lagi di hadapanmu, tetapi kami memberimu alasan untuk berbangga dengan kami, supaya kamu dapat memberikan jawapan kepada mereka yang membanggakan hal-hal lahiriah dan bukan hal-hal batiniah. 13Sekiranya kami kelihatan seperti orang yang kehilangan akal, itu adalah demi kepentingan Allah. Jika kami kelihatan seperti orang yang berakal, itu adalah demi kepentinganmu. 14Kasih Kristus menguasai hidup kami, dan kami yakin bahawa apabila seseorang telah mati bagi semua orang, maka semua orang itu pun telah mati. 15Dia telah mati bagi semua orang, supaya mereka yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi untuk Dia yang telah mati dan telah dibangkitkan bagi mereka.
16Oleh itu, dari saat itu kami tidak memandang orang berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Memang kami pernah memandang Kristus secara lahiriah tetapi kini tidak lagi. 17Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru. 18Semuanya datang daripada Allah, yang telah mendamaikan kita dengan diri-Nya melalui Kristus, dan mengamanahkan kepada kami tugas mulia untuk mengusahakan pelayanan pendamaian itu. 19Dalam Kristus, Allah telah mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka. Berita pendamaian itu telah diamanahkan-Nya kepada kami.
20Kami ialah para duta Kristus. Melalui kami, Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, demi Kristus, kami meminta kepadamu: Berdamailah semula dengan Allah! 21Allah menjadikan Dia yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita diperbenar oleh Allah.
Currently Selected:
2 Korintus 5: AVB
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited
2 KORINTUS 5
5
1Kami berkata demikian kerana kami tahu bahawa apabila khemah - iaitu tubuh yang kita diami di dunia ini - dirobohkan, Allah akan menyediakan tempat tinggal di syurga bagi kita. Tempat tinggal itu dibuat oleh Allah sendiri, dan tahan selama-lamanya. 2Dalam keadaan yang sekarang ini, kita mengeluh kerana sangat rindu untuk tinggal di khemah yang baru, yang dari syurga. 3Kita ingin dipakaikan tubuh yang baru itu, supaya kita tidak telanjang. 4Selama kita tinggal di dalam khemah di dunia ini, kita mengeluh kerana beban kita berat. Bukannya kita ingin meninggalkan tubuh kita yang di dunia ini, tetapi kita ingin dipakaikan tubuh yang dari syurga. Dengan demikian tubuh kita yang fana akan diubah oleh tubuh yang abadi. 5Allah sudah mempersiapkan kita untuk perubahan itu, dan Dia mengurniai kita Roh-Nya sebagai jaminan bagi segala sesuatu yang disediakan-Nya untuk kita.
6Oleh itu kami sentiasa tabah hati. Kami tahu bahawa selama kami tinggal di dalam tubuh ini, kami jauh dari tempat tinggal yang akan kami diami bersama-sama Tuhan. 7Hidup kami berdasarkan kepercayaan kepada Kristus, dan bukan berdasarkan apa yang dapat dilihat. 8Itulah sebabnya kami tabah hati. Kami lebih suka meninggalkan tubuh ini, supaya dapat tinggal bersama-sama Tuhan. 9Oleh itu kami ingin menyenangkan hati Tuhan, baik selama kami di tubuh ini di sini, ataupun di sana. 10#Rm 14.10 Hal itu demikian kerana kita semua harus menghadap Kristus, yang akan menghakimi kita semua. Setiap orang akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya di dunia ini - perbuatan baik ataupun jahat.
Persahabatan dengan Allah melalui Kristus
11Kami mengetahui apa ertinya takut akan Tuhan; itulah sebabnya kami berusaha meyakinkan orang lain. Allah mengenal kami dengan sepenuhnya, dan aku juga berharap kamu mengenal kami dengan baik. 12Kami tidak mahu membanggakan diri di hadapan kamu. Sebaliknya kami hanya mahu memberikan alasan yang baik, supaya kamu boleh bangga dengan kami. Dengan demikian kamu dapat menjawab orang yang mementingkan rupa orang dan bukan sifat mereka. 13Jika kami nampaknya gila, hal itu untuk kepentingan Allah. Jika kami nampaknya waras, hal itu untuk kepentingan kamu. 14Kami dikuasai oleh kasih Kristus; kami sedar bahawa satu orang, iaitu Yesus Kristus sudah mati untuk semua orang. Hal ini bererti bahawa semua orang juga sudah mati secara rohani. 15Kristus mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, melainkan untuk Dia yang sudah mati dan dibangkitkan untuk kebaikan mereka.
16Oleh itu, kami tidak lagi menilai seseorang menurut penilaian manusia. Dahulu kami memang pernah menilai Kristus menurut penilaian manusia, tetapi sekarang tidak lagi. 17Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula. 18Semua itu dilakukan oleh Allah. Melalui Kristus, Allah sudah mengubah kita daripada musuh menjadi sahabat-Nya. Dia juga menugaskan kita supaya menjadikan orang lain sahabat-Nya juga. 19Inilah yang kami isytiharkan: Melalui Kristus, Allah menjadikan semua orang sahabat-Nya.#Melalui Kristus, Allah menjadikan semua orang sahabat-Nya; atau Allah di dalam Kristus menjadikan semua orang sahabat-Nya. Dengan rela hati Allah mengampunkan dosa mereka. Dia sudah menugaskan kami untuk memberitakan hal itu.
20Demikianlah kami berkata-kata bagi pihak Kristus, seolah-olah Allah sendiri memohon kepada kamu melalui kami. Kami menggesa kamu bagi pihak Kristus, supaya kamu membolehkan Allah mengubah kamu daripada musuh menjadi sahabat-Nya. 21Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah,#kita berbaik semula dengan Allah; Harfiah: dibenarkan oleh Allah. apabila kita bersatu dengan Kristus.
Currently Selected:
:
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version with Deuterocanonicals © The Bible Society of Malaysia, 1996.