2 Korintus 11
11
Paulus menentang rasul palsu
1Aku harap kamu akan bersabar dengan satu kebodohan kecilku. Sememangnya kamu bersabar denganku. 2Aku cemburu terhadapmu dengan cemburu ilahi; kerana aku telah menunangkan kamu dengan Kristus dan ingin menyerahkanmu kepada-Nya sebagai anak dara yang suci. 3#Kej 3:1-5,13.Tetapi aku takut kalau-kalau fikiranmu akan dicemari sebagaimana Hawa telah diperdaya oleh ular dengan kepintarannya, sehingga kamu berpaling daripada kesetiaanmu yang murni kepada Kristus. 4Jika seseorang datang menyebarkan perkhabaran tentang Yesus yang lain daripada yang kami ajarkan; atau kamu memperoleh roh yang lain daripada yang telah kamu peroleh, atau Injil yang lain daripada yang telah kamu terima; mungkin sekali kamu bersabar sahaja terhadapnya.
5Aku rasa aku tidaklah kurang berbanding rasul-rasul yang unggul itu. 6Sungguhpun aku tidak terlatih dalam bertutur kata, namun aku tidaklah kekurangan dalam pengetahuan. Kami telah ternyata sepenuhnya kepadamu dalam segala hal.
7Berdosakah aku merendahkan diriku supaya kamu ditinggikan, kerana aku menyampaikan Injil Allah kepadamu tanpa mengenakan bayaran? 8Aku telah “merompak” jemaah-jemaah lain dengan menerima ganjaran daripada mereka untuk melayanimu. 9#Flp 4:15-18.Apabila aku berada dalam kalanganmu, dalam keadaanku yang serba kurang, aku tidak membebani sesiapa pun di antaramu; kerana segala keperluanku dipenuhi oleh saudara-saudara kita dari Makedonia. Dalam segala hal aku memastikan bahawa aku tidak menjadi beban kepadamu; dan demikianlah akan terus kulakukan. 10Sebagaimana kebenaran Kristus tetap ada dalam diriku, tiada siapa pun akan menghalangku daripada berbangga dalam hal ini di wilayah Akhaya. 11Mengapa? Kerana aku tidak mengasihimu? Allah yang tahu!
12Tetapi aku akan terus melakukan apa yang kulakukan sekarang, untuk menutup peluang bagi mereka yang mencari peluang supaya dianggap sama dengan kami dalam hal-hal yang dibanggakan mereka. 13Mereka ialah rasul palsu. Mereka berusaha dengan tipu daya dan menyamar sebagai rasul Kristus. 14Ini tidaklah menghairankan, kerana Iblis sendiri menyamar sebagai malaikat cahaya. 15Oleh itu, bukanlah suatu hal yang menakjubkan jika pelayan-pelayannya menyamar sebagai pelayan-pelayan yang benar. Akhirnya mereka akan menerima balasan setimpal dengan apa yang dikerjakan mereka.
Paulus berbangga dengan penderitaannya
16Sekali lagi aku berkata, janganlah sesiapa menyangka aku bodoh. Tetapi sekiranya aku disangka begitu, terimalah aku sebagai orang bodoh, agar aku dapat berbangga sedikit. 17Apa yang kukatakan ini bukanlah menurut Tuhan tetapi selaku orang bodoh dalam keyakinan berbangga. 18Memandangkan ramai orang yang berbangga secara duniawi, maka aku akan berbangga juga; 19kerana kamu begitu senang hati bersabar dengan orang bodoh, sedangkan kamu bijak. 20Kamu bersabar dengan orang yang memperhamba kamu, yang menelanmu, yang memerangkapmu dengan tipu helah, yang meninggikan dirinya, yang menampar mukamu. 21Dalam hal demikian, dengan rasa malu aku mengaku, kami memang lemah.
Tetapi jika orang lain berani berbangga tentang sesuatu sebagai orang bodoh aku berkata, aku juga berani. 22Adakah mereka berbangga kerana mereka orang Ibrani? Aku juga begitu. Kerana mereka bangsa Israel? Aku juga begitu. Kerana mereka keturunan Abraham? Aku juga begitu. 23#Kis 16:23.Kerana mereka para pelayan Kristus? Aku berkata sebagai orang bodoh: Aku lebih lagi! Aku lebih banyak bertungkus-lumus, lebih kerap disebat, lebih sering dipenjarakan, selalu sahaja diancam maut. 24#Ul 25:3.Lima kali, sebanyak empat puluh kurang satu sebatan setiap kalinya, aku disebat oleh orang Yahudi. 25#Kis 16:22. Kis 14:19.Tiga kali aku dipukul dengan tongkat, sekali direjam, tiga kali ditimpa kejadian kapal karam, dan sehari semalam terkatung-katung di laut. 26#Kis 9:23. Kis 14:5.Dalam perjalanan, sering kali aku menghadapi bahaya; bahaya dari sungai, bahaya daripada penyamun, bahaya daripada bangsaku sendiri orang Yahudi, bahaya daripada bangsa-bangsa lain, bahaya di kota, bahaya di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura sebagai saudara seiman. 27Aku sering keletihan bekerja keras, kurang tidur, kelaparan dan kehausan. Kerap kali aku terpaksa mengikat perut, menanggung kesejukan, kekurangan pakaian. 28Di samping itu, setiap hari aku dibebani rasa runsing dan prihatin terhadap semua jemaah. 29Jika seseorang lemah, tidakkah aku turut merasakan kelemahannya? Jika seseorang tersandung, masakan hatiku tidak sengsara kerananya!
30Sekiranya aku hendak berbangga, aku akan berbangga tentang kelemahan-kelemahanku. 31Allah, Bapa Tuhan Yesus yang terpuji selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta. 32#Kis 9:23-25.Gabenor kota Damsyik, di bawah pemerintahan Raja Aretas, menyuruh agar kota itu dijaga oleh tentera, untuk menangkapku. 33Tetapi aku diturunkan di dalam sebuah bakul melalui sebuah jendela di tembok kota itu, lalu aku terlepas daripada tangannya.
Currently Selected:
2 Korintus 11: AVB
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited
2 KORINTUS 11
11
Paulus dan Rasul-Rasul Palsu
1Benarkanlah aku bersikap agak bodoh sedikit. Boleh, bukan? 2Aku mengambil berat tentang kamu, seperti Allah pun mengambil berat tentang kamu. Kamu seperti anak dara yang suci yang sudah aku janjikan untuk dikahwinkan dengan seorang sahaja, iaitu Kristus. 3#Kej 3.1—5.13 Aku khuatir fikiran kamu akan dirosakkan sehingga kamu tidak lagi setia kepada Kristus. Hal itu berlaku kepada Hawa yang ditipu oleh kelicikan ular. 4Aku lihat betapa relanya kamu menyambut sesiapa sahaja yang datang kepada kamu dan mengkhabarkan berita tentang Yesus yang lain, bukan Yesus yang kami perkenalkan itu. Kamu juga menyambut roh dan berita baik yang sama sekali berlainan dengan Roh Allah dan Berita Baik yang kamu terima daripada kami.
5Aku tahu bahawa aku tidak lebih rendah daripada orang yang kamu anggap sebagai “rasul” yang istimewa itu! 6Mungkin aku kurang pandai berkata-kata, tetapi pengetahuanku tentang Berita Baik itu dalam. Hal itu sudah kami buktikan kepada kamu pada setiap masa dan dalam segala hal.
7Semasa aku mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada kamu, aku tidak meminta bayaran apa-apa pun. Aku merendahkan diri supaya kamu ditinggikan. Adakah hal itu suatu kesalahan? 8Pada masa aku melakukan pelayanan di kalangan kamu, aku dibiayai oleh jemaah lain. Boleh dikatakan aku ini seperti merompak jemaah itu supaya dapat menolong kamu. 9#Flp 4.15-18 Pada masa itu aku tidak pernah menyusahkan kamu meskipun aku memerlukan bantuan wang. Segala keperluanku disediakan oleh saudara-saudara yang datang dari Makedonia. Baik dahulu mahupun pada masa yang akan datang, aku tidak akan membebani kamu! 10Demi ajaran Kristus yang benar#ajaran Kristus yang benar; Harfiah: kebenaran Kristus. dan yang ada padaku, aku berjanji bahawa tidak seorang pun di seluruh negeri Akhaya dapat menghapuskan kebanggaanku. 11Adakah aku berkata demikian kerana aku tidak mengasihi kamu? Allah tahu bahawa aku mengasihi kamu!
12Apa yang aku lakukan sekarang akan aku lakukan terus-menerus supaya “rasul-rasul” yang lain itu tidak mempunyai alasan untuk berbangga dan berkata bahawa mereka bekerja seperti kami. 13Mereka rasul palsu. Mereka berdusta tentang kerja mereka dan mereka menyamar seperti rasul Kristus. 14Hal itu tidak menghairankan! Iblis pun dapat menyamar seperti malaikat yang gilang-gemilang. 15Oleh itu, tidaklah menghairankan jika hamba-hamba Iblis menyamar seperti hamba yang melakukan kehendak Allah.#menyamar seperti hamba yang melakukan kehendak Allah; Harfiah: menyamar sebagai pelayan-pelayan kebenaran. Akhirnya mereka akan menerima balasan yang setimpal dengan semua perbuatan mereka.
Penderitaan Paulus sebagai Rasul
16Biarlah aku ulangi hal ini sekali lagi: Janganlah sesiapa pun menganggap aku bodoh. Tetapi jika kamu tetap menganggap aku ini bodoh, benarkanlah aku yang bodoh ini berbangga sedikit. 17Aku tidak mengikut perintah Tuhan apabila aku berbangga seperti ini; aku bersikap seperti orang bodoh. 18Tetapi kerana banyak orang berbangga dengan tujuan duniawi, aku pun mahu berbangga. 19Kamu menganggap diri kamu bijak. Oleh itu, kamu bersabar terhadap orang bodoh! 20Kamu membiarkan mereka memperhamba kamu atau merugikan kamu atau memerangkap kamu atau menghina kamu ataupun menampar kamu. 21Aku malu mengaku bahawa kami tidak berani berbuat demikian.
Jika orang berani membanggakan sesuatu, aku pun berani. (Aku ini bercakap seperti orang bodoh.) 22Adakah mereka orang Ibrani? Aku pun orang Ibrani. Adakah mereka orang Israel? Aku pun orang Israel. Adakah mereka keturunan Abraham? Aku pun keturunan Abraham. 23#Kis 16.23 Adakah mereka hamba Kristus? Mungkin kedengarannya aku ini gila, tetapi aku ini hamba yang lebih baik daripada mereka. Aku bekerja lebih keras, aku lebih sering dipenjarakan, aku lebih sering disesah dan aku kerap kali menghadapi maut. 24#Ul 25.3 Lima kali aku disesah orang Yahudi dengan pukulan cambuk tiga puluh sembilan kali. 25#Kis 16.22, 14.19 Tiga kali aku disesah orang Roma, dan pernah direjam satu kali. Tiga kali aku mengalami nahas kapal karam dan satu kali aku terapung-apung di laut selama dua puluh empat jam. 26#Kis 9.23, 14.5 Aku sering berpergian dan dalam perjalanan, aku pernah menghadapi bahaya banjir dan perompak, bahaya daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi, bahaya di dalam bandar mahupun di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura menjadi pengikut Kristus. 27Aku bekerja mati-matian, kerap kali tidak makan, tidak minum dan tidak tidur, lapar, kesejukan kerana kurang pakaian dan tidak mempunyai tempat tinggal. 28Di samping kesusahan yang lain, setiap hari aku mengkhuatirkan keadaan jemaah di semua tempat. 29Apabila seseorang lemah, aku berasa lemah juga. Apabila seseorang berdosa, aku juga bersedih hati.
30Jika aku mesti berbangga, aku akan berbangga dengan hal-hal yang menunjukkan kelemahanku. 31Allah, Bapa Tuhan Yesus tahu bahawa aku tidak berdusta. Terpujilah nama-Nya selama-lamanya. 32Ketika aku di Damsyik, gabenor yang dilantik oleh Raja Aretas memerintahkan askar-askarnya menjaga pintu kota untuk menangkap aku. 33#Kis 9.23-25 Tetapi dengan sebuah keranjang aku dihulurkan ke bawah melalui suatu lubang pada tembok kota. Demikianlah aku menyelamatkan diri daripadanya.
Currently Selected:
:
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version with Deuterocanonicals © The Bible Society of Malaysia, 1996.