1 Tesalonika 4
4
Nasihat supaya hidup suci
1Akhirnya, saudara-saudaraku, dengan nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menyeru kamu sebagaimana yang kamu pelajari daripada kami supaya kamu menegakkan cara hidup yang diredai Allah. Sebagaimana yang telah kamu lakukan sedemikian, lakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh. 2Kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepadamu melalui Tuhan Yesus. 3Allah menghendakimu hidup suci dan menjauhkan diri daripada perbuatan cabul. 4Hendaklah kamu masing-masing tahu bagaimana mengawal tubuh badan sendiri dan hidup dalam kesucian dan kehormatan, 5serta tidak menurut hawa nafsu seperti yang dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah. 6Janganlah sesiapa berbuat salah kepada saudaranya atau memperdayanya dalam hal ini. Kami telah menyatakan ini kepadamu dahulu dan memberikan amaran keras bahawa Tuhan akan menimpakan pembalasan kepada orang yang melakukan kesalahan demikian. 7Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul tetapi agar hidup dalam kesucian. 8Oleh yang demikian, sesiapa yang menolak ajaran ini bukanlah sekadar menolak manusia tetapi menolak Allah yang mengurniai kita Roh Kudus-Nya.
9Kami tidak perlu menuliskan tentang kasih persaudaraan kerana Allah telah mengajarmu supaya kasih-mengasihi satu sama lain. 10Kamu telah pun mengamalkannya terhadap saudara-saudara seiman di serata Makedonia. Namun demikian, saudara-saudaraku, kami menyerumu supaya lebih kasih-mengasihi lagi. 11Berusahalah untuk hidup tenang, usah campuri hal orang dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana yang kami katakan kepadamu dahulu. 12Dengan demikian kamu akan dihormati oleh mereka yang bukan pengikut Kristus dan kamu tidak akan kekurangan apa-apa.
Kedatangan Yesus Kristus
13Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kebenaran tentang orang yang telah mati, agar kamu tidak bersedih seperti orang yang tidak mempunyai harapan. 14Kita percaya bahawa Yesus telah mati dan hidup semula. Kita juga percaya bahawa mereka yang beriman kepada Yesus dan kemudiannya mati akan dihidupkan semula oleh Allah untuk hidup bersama-Nya.
15 # 1Kor 15:51,52. # Sir 48:11. Inilah ajaran Tuhan yang kami sampaikan kepadamu bahawa pada hari kedatangan Tuhan yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah mati. 16Pada waktu itu, Tuhan akan turun dari syurga dengan satu seruan yang kuat, dengan suara malaikat agung, dan dengan sangkakala Allah. Mereka yang telah mati dalam Kristus akan dibangkitkan terlebih dahulu. 17Kemudian kita yang masih hidup ketika itu akan diangkat bersama mereka ke awan untuk bertemu dengan Tuhan di angkasa. Lantas kita akan bersama Tuhan selama-lamanya. 18Oleh itu, hendaklah kamu menyenangkan hati sesama sendiri dengan kata-kata ini.
Currently Selected:
1 Tesalonika 4: AVB
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited
1 TESALONIKA 4
4
Hidup yang Menyenangkan Hati Allah
1Akhirnya, saudara-saudaraku, kami telah memberikan teladan kepada kamu tentang cara hidup yang menyenangkan hati Allah. Aku tahu bahawa memang demikianlah cara kamu hidup. Tetapi sekarang demi nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menggesa kamu supaya berbuat lebih daripada hal itu. 2Aku berkata demikian kerana kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepada kamu dengan kuasa Tuhan Yesus. 3Inilah kehendak Allah bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul. 4Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinya#hidup bersama-sama isterinya; atau menguasai tubuhnya. dengan cara yang menyenangkan hati Allah dan manusia, 5serta tidak mengikut hawa nafsu, seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. 6Dalam hal seperti ini, janganlah seorang pun berbuat salah terhadap saudaranya, ataupun memperdayakan dia. Kami telah memberitahu kamu hal ini dahulu dan telah memberikan amaran yang keras kepada kamu bahawa Tuhan akan menghukum orang yang melakukan kesalahan seperti itu. 7Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul, tetapi supaya kita hidup dengan cara yang menyenangkan hati Allah. 8Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Allah yang mengurniai kamu Roh-Nya yang suci.
9Tidak perlu kami menulis tentang bagaimana kamu harus mengasihi saudara-saudara seiman. Kamu sendiri telah diajar oleh Allah bagaimana kamu harus saling mengasihi. 10Kamu sudah menunjukkan hal ini kepada semua saudara seiman di seluruh Makedonia. Oleh itu, saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya lebih saling mengasihi. 11Berusahalah hidup dengan tenang; janganlah campuri hal orang lain dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana kami katakan kepada kamu dahulu. 12Dengan cara ini kamu akan dihormati oleh mereka yang tidak percaya kepada Kristus. Kamu pun tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun bagi keperluan kamu.
Kedatangan Tuhan Yesus
13Saudara-saudaraku, kami ingin kamu mengetahui yang sebenarnya tentang mereka yang sudah meninggal dunia, supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang yang tidak mempunyai harapan. 14Kita percaya bahawa Yesus sudah mati dan hidup semula. Demikian juga kita percaya bahawa mereka yang percaya kepada Yesus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan semula oleh Allah supaya hidup bersama-sama Yesus.
15Yang kami beritahukan kepada kamu ini ajaran Tuhan: Pada hari Tuhan datang kelak, kita yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah meninggal dunia. 16Pada masa itu malaikat agung akan berseru dengan suara yang kuat dan trompet Allah dibunyikan, lalu Tuhan sendiri akan turun dari syurga. Mereka yang percaya kepada Kristus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan terlebih dahulu. 17#1 Kor 15.51-52 Kemudian kita yang masih hidup pada waktu itu akan diangkat bersama-sama mereka ke awan untuk berjumpa dengan Tuhan di angkasa. Lalu kita akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya. 18Oleh itu, hendaklah kamu saling membesarkan hati dengan kata-kata ini.
Currently Selected:
:
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version with Deuterocanonicals © The Bible Society of Malaysia, 1996.