Info Pelan

Sabat - Hidup Berdasarkan Ritma AllahSampel

Sabbath - Living According to God's Rhythm

HARI 6 DARIPADA 8

HARI SABAT DAN SUKACITA         


RENUNGAN


"Apa yang harus dilakukan pada hari Ahad? 50 idea untuk mengatasi kebosanan!" 



Senaskhah majalah cuba menarik perhatian anda dengan tajuk besarnya. Hari rehat padat dengan kegiatan senggang yang menyeronokkan atau perjalanan yang penuh aksi. Matlamat utama ialah mengalami sesuatu yang menyeronokkan. Walau bagaimanapun, sukacita tidak tercapai. Pengalaman yang menyenangkan dan menggembirakan boleh diulang, tetapi, sebaik sahaja ia berlalu, emosi yang terhasil daripadanya akan hilang juga. Apa yang tertinggal ialah keinginan akan lebih banyak lagi pengalaman yang menyeronokkan itu. Dunia kita sangat memerlukan kegembiraan yang ditemui melalui pengalaman tersebut. Namun, bagaimanakah keinginan akan sukacita dan kegembiraan ini dipenuhi dan bukan sia-sia seperti mengejar angin? Apakah yang berlaku kepada emosi itu apabila penderitaan dan kesedihan menggelapkan pengalaman yang menakjubkan itu? Jawapan kepada soalan ini adalah mudah dan mencabar pada masa yang sama. 



Jika sukacita hanya terikat kepada pengalaman yang indah dan menggembirakan daripada Allah, itu bukanlah sukacita yang sebenar. Sukacita yang diberikan kepada kita oleh Allah melalui hari Sabat adalah lebih mendalam dan tidak mungkin dirampas. Dia memberikan kita ruang dan masa untuk persahabatan dengan-Nya. Apabila kita rapat dengan Allah, sukacita yang sebenar menjadi nyata; bentuk sukacita ini melebihi sebarang keinginan yang dapat difikirkan untuk sukacita yang lain. Kita boleh dipenuhi sukacita yang mendalam dalam hadirat Allah, meskipun jiwa kita menangis. Sukacita ini melengkapkan kita dengan perspektif yang baru dan memberikan kita sokongan semasa waktu yang susah. Ia mengalir secara langsung daripada hati Allah ke dalam hati kita dan diungkapkan dalam kasih-Nya terhadap kita. 



Jika Allah sendiri bersukacita terhadap ciptaan-Nya pada hari yang ketujuh, betapa banyak lagi sebab kita untuk bersukacita, sementara kita bersekutu dengan-Nya dalam kerajaan-Nya? Apabila kita menyedari bahawa hidup kita berada dalam tangan Allah yang betul-betul berdaulat, dan bahawa segala sesuatu yang kita miliki serta perlukan ditemui dalam Dia, maka hati kita hanya boleh bersukacita. Inilah maksud sebenar hari Sabat. 



Disebabkan oleh sukacita yang diberikan-Nya kepada kita dan yang kita miliki dalam Dia, kita boleh menikmati kurnia Allah dengan lebih mendalam; kurnia seperti berjalan dan mengagumi ciptaan Allah, menikmati sarapan tengah hari dengan kawan, atau meraikannya dengan seluruh keluarga. Hari Ahad tidak perlu menjadi hari kezahidan. Kita boleh menikmati hari itu sebagai hari persekutuan dan perayaan. 



SOALAN RENUNGAN  



  • Bagaimanakah saya menyatakan sukacita saya terhadap Allah pada hari Ahad?    

  • Alkitab menyatakan: "Kesukaan yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu akan menguatkan kamu" (Nehemia 8:10). Adakah kekuatan dan kuasa saya didefinisikan oleh sukacita Tuhan atau oleh keadaan saya?   

  • Bolehkah saya menikmati kurnia Allah tanpa selalu menginginkan lebih banyak lagi?


TOPIK DOA  



  • Kita berdoa agar Allah menunjukkan semula bagaimana kita boleh menikmati hari Sabat bersama dengan Dia.   

  • Kita mendoakan sukacita syurgawi yang menghidupkan semula hidup kita walau apa pun keadaan kita.   

  • Kita berdoa agar hari Sabat disifatkan sebagai Roh Kudus yang menyalakan sukacita dalam diri kita.    

  • Kita berdoa agar gereja kita akan meraikan kuasa sukacita yang melimpah-ruah.    

  • Kita bertaubat kerana semua waktu kita menumpukan perhatian pada kurnia Allah dan terlupa akan Allah, sang pemberi.


DOA YANG DICADANGKAN 


Tuhan, kami bersyukur kerana hadirat-Mu ialah segala-galanya yang kami perlukan. Dalam-Mu kami menemukan sukacita yang melimpah-ruah. Kami memandang-Mu dan memuji-Mu, kerana Engkaulah Allah dan raja kami. Terima kasih kerana Engkau menunjukkan kepada kami bagaimana kami boleh memuliakan dan meraikan-Mu pada hari Sabat. Terima kasih kerana Engkau memelihara hidup kami dalam tangan-Mu dan kerana Engkaulah sumber kegembiraan kami. Amin.







Deborah Zimmermann, Pengarah 24-7 Prayer CH, Switzerland.


Hari 5Hari 7

Perihal Pelan

Sabbath - Living According to God's Rhythm

Evangelical Alliance Week of Prayer (WOP) merupakan inisiatif seluruh dunia tetapi diamalkan sebahagian besarnya di Eropah, dengan bahan yang disediakan oleh European Evangelical Alliance. WOP 2022 bertemakan "Sabat". Se...

More

Kami berterima kasih kepada European Evangelical Alliance kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: http://www.europeanea.org

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami