Info Pelan

Sabat - Hidup Berdasarkan Ritma AllahSampel

Sabbath - Living According to God's Rhythm

HARI 2 DARIPADA 8

HARI SABAT DAN PERUNTUKAN ALLAH     


RENUNGAN


Sejak suku pertama tahun 2020, orang di dunia ini mengingati semua situasi susah yang disebabkan oleh pandemik. Waktu ini mengingatkan kita, orang Kristian, tentang waktu umat Allah, orang Israel, hidup di tanah gersang, apabila mereka ingin kembali kepada perhambaan di Mesir kerana mereka berasa lapar: “…Lebih baik sekiranya kami mati dibunuh oleh TUHAN di Mesir. Di sana sekurang-kurangnya kami dapat duduk, serta makan daging, dan seberapa banyak makanan yang kami inginkan…” (Keluaran 16: 3). Allah telah mencipta hari Sabat sebagai tindakan penciptaan terakhir-Nya, sebagai simbol kasih kurnia-Nya dan peruntukan-Nya terhadap umat-Nya. 



Dalam Keluaran 20:8, Allah mengingatkan kita untuk meraikan hari Sabat, hari rehat untuk semua orang, sehari yang menghilangkan setiap ketidaksamaan dalam setiap lingkungan kehidupan, terutamanya bagi golongan daripada kelas bawahan masyarakat. Allah menyatakan kasih-Nya terhadap kita dan melayan setiap ciptaan-Nya secara saksama. Kita semua harus menikmati rehat salih pada hari Sabat.



Di tanah gersang, Allah memberikan makanan kepada umat-Nya dengan sejenis makanan yang baru, yang diterjemahkan secara harfiah sebagai "Apakah ini?" Itu merupakan makanan dengan tanda soal, dan diterjemahkan daripada bahasa Ibrani sebagai "Mann-hou," manna. Dengan makanan ini, Allah menyediakan hari Sabat dan Dia memungkinkan umat-Nya untuk dibekali makanan serta membebaskan mereka daripada masa silam mereka di Mesir.



Selepas Keluaran 16:4, umat menerima catuan manna setiap hari sebagai peruntukan yang mencukupi untuk hari itu. Tumpuan di sini ialah umat harus mematuhi arahan dan bergerak maju secara berdisiplin. Kita (umat di tanah gersang dan orang Kristian sekarang ini) menerima ketaatan dan disiplin setiap hari melalui Firman Allah. Ini memberikan kita kepastian akan kasih kurnia Allah dalam hidup kita. 



SOALAN RENUNGAN  



  • Adakah kita memiliki "seberapa banyak makanan yang diinginkan" yang kita harus gantikan dengan makanan baru dari atas?   

  • Bagaimanakah Allah telah membekalkan anda dengan "makanan baru" yang tidak disedari sebelum ini?   

  • Pergantungan harian terhadap Allah harus menjadi realiti bagi kita, orang Kristian, dan arahan serta disiplin tidak selalunya sebahagian daripada gaya hidup kita. Haruskah kita meneliti semula unsur tersebut? Bagaimana?


TOPIK DOA  



  • Kita berdoa untuk orang Kristian yang dianiayai di dunia ini. Semoga mereka menerima manna, peruntukan harian daripada Allah.  

  • Kita berdoa untuk iman orang Kristian dengan latar belakang penghijrahan, terutamanya orang muda yang mengalami ujian iman.   

  • Kita berdoa agar Allah membangkitkan orang seperti Musa (pemimpin) sekali lagi dalam komuniti Kristian kita.


DOA YANG DICADANGKAN 


Tuhan, Engkau menjaga umat-Mu di tanah gersang. Engkau memberikan mereka makanan, melindungi mereka, dan mendorong mereka. Terima kasih kerana kasih kurnia yang Engkau berikan kepada umat yang telah dibebaskan-Mu daripada perhambaan di Mesir.



Terima kasih kerana kami juga. Engkau telah membebaskan kami daripada ikatan dosa, dan Engkau memasukkan kami dalam kerajaan-Mu. Engkau memupuk kami dengan firman-Mu. Engkau melindungi kami dan menggalakkan kami setiap hari.  



Kami menolak untuk kembali ke "Mesir" masa silam kami dan kami berbalik kepada-Mu, Yesus. Tolonglah kami untuk berehat dalam hadirat-Mu, di mana Engkau memberikan kami kekuatan dan keberanian yang kami perlukan untuk melaksanakan kehendak-Mu. Amin.







Joseph Kabongo, Bekas pengerusi African Churches in Switzerland, Switzerland.


Hari 1Hari 3

Perihal Pelan

Sabbath - Living According to God's Rhythm

Evangelical Alliance Week of Prayer (WOP) merupakan inisiatif seluruh dunia tetapi diamalkan sebahagian besarnya di Eropah, dengan bahan yang disediakan oleh European Evangelical Alliance. WOP 2022 bertemakan "Sabat". Se...

More

Kami berterima kasih kepada European Evangelical Alliance kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: http://www.europeanea.org

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami