Bapa Mengasihi Anda Oleh Pete BriscoeSampel

The Father Loves You by Pete Briscoe

HARI 5 DARIPADA 16

Hari 5

Peruntukan Anda yang Sempurna

Jika Allah memiliki segala sesuatu dan mengetahui segala sesuatu, jika Dia mengasihi kita dan sempurna serta kudus dalam setiap pekerjaan-Nya, maka sewajarnya segala sesuatu yang diberikan oleh-Nya dan segala sesuatu yang dipelihara-Nya boleh diakui sebagai kurnia yang baik daripada-Nya, walaupun kita tidak dapat memandangnya sedemikian. —T. A. Hillard 

Ada kalanya, kita menempatkan jangkaan yang tidak munasabah terhadap Allah. Kita menjangkakan sesuatu yang tidak pernah dijanjikan oleh Dia dan berasa hampa jika jangkaan tersebut tidak dipenuhi serta-merta. Namun, Allah tidak memberikan semua perkara yang kita inginkan. Dia memberikan kita apa yang kita perlukan.

Musa sedar bahawa ia dan orang Israel amat memerlukan hadirat Allah. Ini bukanlah keinginan semata-mata; Musa sedar bahawa ini ialah suatu keperluan. 

Kata Musa kepada-Nya… “Dari manakah orang akan tahu bahawa Engkau berkenan kepadaku, iaitu aku dan umat-Mu ini? Bukankah kerana kehadiran-Mu menyertai kami maka kami, iaitu aku dan umat-Mu ini, dibezakan daripada semua bangsa yang ada di muka bumi?” Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Akan Kulaksanakan hal yang kamu katakan ini….” (Keluaran 33:16-17)

Allah tahu permintaan Musa mencerminkan keperluan sebenar bagi misi mereka—hadirat-Nya. Jadi, Allah berkata bahawa Dia akan laksanakannya, dan Dia memenuhi keperluan mereka kerana Dia ialah pemberi yang sempurna. Yang berikut ialah sebabnya:

  • Segala sesuatu kepunyaan Allah. (Mazmur 50:10-12)
  • Allah baik. (Kisah Rasul-rasul 14:16-17)
  • Allah tahu keperluan kita. (Matius 6:31-32)

Oleh itu, kita bukan sahaja meminta apa yang kita harap akan disediakan oleh Dia, tetapi kita yakin bahawa Dia memenuhi semua keperluan kita sekarang ini!

Dapatkah anda membezakan antara keinginan anda dan apa yang Bapa yang penyayang tahu anda perlukan? Percayakah anda bahawa Allah memberikan anda segala sesuatu yang anda betul-betul perlukan sekarang ini, sebagaimana Dia akan memelihara anda pada masa depan

Allah, terima kasih kerana Engkau SEDANG menyediakan segala sesuatu yang saya perlukan hari ini. Saya berdoa agar Engkau membezakan antara apa yang saya inginkan dan apa yang betul-betul saya perlukan dengan jelas. Terima kasih kerana Engkau berjanji untuk memenuhi keperluan masa depan saya, seperti yang Engkau laksanakan semalam, dan hari sebelum itu. Amin.

Perihal Pelan

The Father Loves You by Pete Briscoe

Kita diajar sejak kecil lagi bahawa Allah ialah Bapa kita dan kita ialah anak-Nya. Namun, menghubungkan Allah dengan Bapa tidaklah selalu mudah—terutamanya jika bapa duniawi kita bergelut untuk menunjukkan kasih yang diinginkan. Dalam kajian 16 hari ini, Pete Briscoe mengalihkan perhatian kita kepada Allah yang memenuhi semua keinginan kita akan kasih—menengaskan bagaimana Alkitab menyatakan Dia sebagai Bapa kita yang baik dan sempurna.

More

Kami bersyukur kepada Pete Briscoe kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: http://petebriscoe.org/