YouVersion Logo
Search Icon

MARKUS 8:1-13

MARKUS 8:1-13 BM

Tidak lama kemudian, ada lagi orang ramai datang berkumpul. Apabila mereka kehabisan makanan, Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku, dan sekarang mereka kehabisan makanan. Jika Aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan, kerana ada antara mereka yang datang dari jauh.” Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di tempat terpencil ini, di manakah orang boleh mendapat cukup makanan untuk semua orang ini?” Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka. Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Lalu Dia mengambil tujuh ketul roti itu dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Pengikut-Nya pun berbuat demikian. Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Yesus mengucap syukur kepada Allah bagi ikan itu, lalu menyuruh pengikut-Nya membahagi-bahagikan ikan itu juga. Semua orang makan sehingga kenyang - ada kira-kira empat ribu orang di situ. Selepas itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Kemudian Yesus menyuruh orang ramai pulang. Sesudah itu Dia segera menaiki perahu bersama-sama para pengikut-Nya, lalu pergi ke daerah Dalmanuta. Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan Dia. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Yesus mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Tanda semacam itu tidak akan diberikan kepada mereka!” Yesus meninggalkan mereka, lalu kembali ke perahu dan mula menyeberangi tasik.

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy