EZRA 3:1, 4-6, 9-11
EZRA 3:1 BM
Pada bulan ketujuh, umat Israel telah menetap di kota masing-masing. Kemudian mereka semua berkumpul di Yerusalem.
EZRA 3:4-6 BM
Mereka juga merayakan Perayaan Pondok Daun menurut peraturan yang ditetapkan; tiap-tiap hari mereka mempersembahkan korban yang ditetapkan untuk hari itu. Selain itu, dengan teratur mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN serta korban yang dipersembahkan pada Perayaan Bulan Baru, dan pada semua perayaan lain yang diadakan untuk menyembah TUHAN. Mereka juga mempersembahkan persembahan sukarela kepada TUHAN. Walaupun rakyat belum memulakan pembinaan semula Rumah TUHAN, mereka telah mulai membakar korban untuk TUHAN pada hari pertama bulan ketujuh.
EZRA 3:9-11 BM
Yesua, orang Lewi itu, bersama dengan anak-anak serta sanak saudaranya, dan juga Kadmiel serta anak-anaknya (puak Hodawya) turut mengawasi pekerjaan pembinaan Rumah TUHAN. Mereka dibantu oleh orang Lewi daripada puak Henadad. Apabila pekerja-pekerja pembinaan mula meletakkan asas Rumah TUHAN, para imam yang berpakaian jubah dan membawa trompet mengambil tempat masing-masing. Orang Lewi daripada puak Asaf juga berdiri di sana sambil membawa ceracap. Mereka memuji-muji TUHAN menurut peraturan yang ditetapkan sejak zaman Raja Daud. Mereka menyanyikan puji-pujian bagi TUHAN, dan mengulang-ulangi bahagian nyanyian yang terakhir, yang berbunyi demikian: “TUHAN itu baik, dan kasih-Nya kepada Israel kekal abadi.” Rakyat ikut bersorak dan memuji TUHAN kerana asas Rumah TUHAN telah diletakkan.





