YouVersion Logo
Search Icon

1 SAMUEL 25:1-12

1 SAMUEL 25:1-12 BM

Kemudian Samuel meninggal. Semua orang Israel berkumpul dan meratapinya. Mereka menguburkan jenazah Samuel di rumahnya di Rama. Selepas itu Daud pergi ke padang gurun Paran. Di kota Maon ada seorang lelaki bernama Nabal, daripada puak Kaleb. Dia mempunyai tanah dekat kota Karmel. Dia sangat kaya dan mempunyai tiga ribu ekor domba dan seribu ekor kambing. Abigail isterinya, cerdas dan cantik, tetapi Nabal bertabiat kasar dan berkelakuan buruk. Pada suatu masa Nabal sedang menggunting bulu dombanya di Karmel. Pada masa itu, Daud yang berada di padang gurun, mendengar hal itu. Kemudian Daud menyuruh sepuluh orang pemuda pergi ke Karmel. Daud menyuruh mereka menemui Nabal dan menyampaikan salam Daud kepadanya. Daud menyuruh mereka berkata demikian, “Daud mengirimkan salamnya kepada tuan dan keluarga tuan serta segala milik tuan. Daud mendengar bahawa tuan sedang menggunting bulu domba tuan. Ketahuilah bahawa para gembala tuan yang berada di kawasan kami tidak pernah kami ganggu, dan mereka belum pernah kehilangan apa pun selama berada di Karmel. Cubalah tanyakan hal itu kepada mereka. Tentu mereka akan mengesahkan hal itu. Oleh sebab itu, Daud berharap agar kami, anak buahnya diterima dengan baik di rumah tuan, kerana kami datang pada hari besar ini. Berikanlah apa saja menurut kerelaan tuan kepada hamba-hamba tuan ini dan juga kepada Daud, sahabat baik tuan.” Setelah anak buah Daud tiba di Karmel, mereka menyampaikan pesan Daud itu kepada Nabal, lalu mereka menunggu di situ. Tetapi Nabal menjawab, “Daud? Siapakah dia? Siapakah anak Isai itu? Belum pernah aku mendengar tentang dia! Akhir-akhir ini, ada banyak hamba yang lari daripada majikan mereka di negeri ini! Mana boleh aku mengambil roti dan air minumku, serta daging yang sudah kusediakan bagi para penggunting bulu dombaku, lalu memberikan semuanya kepada orang yang entah dari mana!” Oleh itu anak buah Daud kembali kepada Daud dan memberitahukan kata-kata Nabal itu kepadanya.

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy