YouVersion Logo
Search Icon

Ulangan 5:6-21

Ulangan 5:6-21 AVB

‘Akulah TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku. Jangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, Allah yang cemburu. Aku membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat daripada kalangan yang membenci Aku. Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku. Jangan gunakan nama TUHAN, Allahmu, dengan sembarangan, kerana TUHAN akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan. Peliharalah hari Sabat dan jagalah kesuciannya, seperti yang diperintahkan TUHAN, Allahmu, kepadamu. Enam hari lamanya kamu harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi TUHAN, Allahmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, lembumu, keldaimu, mahupun haiwanmu, juga pendatang yang ada di kotamu. Dengan demikian hambamu baik lelaki mahupun perempuan dapat beristirahat, sama seperti kamu. Ingatlah bahawa kamu pun pernah menjadi hamba di Tanah Mesir, tetapi TUHAN, Allahmu, telah membawa kamu keluar dari sana dengan tangan yang perkasa dan lengan yang terhulur. Itulah sebabnya TUHAN, Allahmu, memerintahkan kamu untuk memelihara hari Sabat. Hormatilah ibu bapamu, seperti yang telah diperintahkan TUHAN, Allahmu, kepadamu, supaya lanjut umurmu dan baik keadaanmu di tanah yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu. Jangan membunuh. Jangan berzina. Jangan mencuri. Jangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu. Jangan ingini isteri sesamamu. Jangan dambakan rumah sesamamu, demikian pula ladangnya, hambanya baik lelaki mahupun perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu.’

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy