Titus 3:1-11
Titus 3:1-11 AVB
Nasihati jemaahmu supaya taat akan pemerintah dan penguasa, serta sentiasa bersedia melakukan kebaikan. Larang mereka mengumpat atau bertengkar, dan dorong mereka bersikap ramah-tamah serta lemah lembut kepada semua orang. Dahulu kita juga bodoh, ingkar dan sesat. Kita dikuasai pelbagai nafsu dan keinginan. Kita hidup dengki-mendengki dan benci-membenci. Tetapi Allah Penyelamat kita menunjukkan belas ihsan dan kasih-Nya kepada kita. Allah menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan benar yang kita lakukan, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Dia menyelamatkan kita melalui pentahiran kelahiran semula dan melalui pembaharuan yang dilakukan Roh Kudus. Allah melimpahkan Roh Kudus itu kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita. Maka dengan kasih kurnia-Nya kita sudah diperbenar untuk menjadi anak waris yang mendapat hidup kekal yang kita harapkan. Kata-kata ini benar. Berikanlah perhatian terhadap hal-hal tersebut, supaya orang yang beriman kepada Allah berusaha sepenuhnya untuk melakukan segala yang baik serta bermanfaat kepada semua orang. Sebaliknya, jauhilah perbahasan yang sia-sia, perbuatan menyusur galur nenek moyang, pertengkaran dan pertikaian tentang hukum Taurat. Segala ini tidak membawa faedah. Berikan amaran kepada sesiapa yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan jemaah. Nasihati dia sekurang-kurangnya dua kali; jika dia tidak berubah, jauhilah dia. Kamu tahu bahawa orang yang demikian itu sesat dan berdosa; dia menjatuhkan hukuman atas dirinya sendiri.