Roma 9:22-29
Roma 9:22-29 AVB
Bagaimana jika Allah, untuk menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya, setelah begitu bersabar terhadap orang yang dimurkai-Nya, membuat persediaan untuk membinasakan? Bagaimana jika Dia berbuat demikian untuk memperlihatkan betapa besar kemuliaan-Nya kepada orang yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya, yang telah disediakan-Nya terlebih dahulu untuk kemuliaan, justeru kita, yang telah dipanggil-Nya, bukan hanya daripada kalangan orang Yahudi tetapi juga daripada kalangan bangsa asing? Sebagaimana telah disampaikan-Nya melalui Hosea: “Aku akan memanggil mereka ‘umat-Ku’ sedangkan mereka bukan umat-Ku; dan Aku akan memanggil dia ‘orang yang Kukasihi’ sedangkan dia bukan orang yang Kukasihi. Dan, akan terjadi bahawa di mana telah dikatakan kepada mereka, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ di situlah mereka akan dipanggil anak-anak Allah yang hidup.” Yesaya juga telah berseru tentang umat Israel: “Walaupun bilangan anak Israel seperti pasir di tepi laut, hanya segelintir baki akan diselamatkan. Kerana Tuhan akan menjalankan hukuman-Nya di atas bumi dengan segera dan muktamad.” Samalah seperti kata Yesaya sebelum itu: “Sekiranya Tuhan alam semesta tidak membiarkan keturunan kita hidup, kita tentu telah menjadi seperti Sodom, tentu kita seperti Gomora.”





