Wahyu 5:7-14
Wahyu 5:7-14 AVB
Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah dari tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta. Ketika Dia mengambil gulungan kitab itu, empat makhluk dan dua puluh empat orang tua-tua sujud kepada Anak Domba itu. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah batil emas berisi setanggi, iaitu segala doa orang salih. Mereka menyanyikan lagu baru: “Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan membuka materainya kerana Engkau telah dibunuh, dan dengan darah kematian-Mu Engkau telah menebus untuk Allah manusia daripada segala suku, bahasa, kaum, dan bangsa. Engkau telah menjadikan mereka suatu kerajaan dan imam-imam Allah untuk menyembah Allah kita dan memerintah di bumi.” Aku melihat lagi. Aku mendengar suara ribuan dan jutaan malaikat. Mereka berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua. Mereka menyanyi dengan suara yang lantang: “Anak Domba yang telah disembelih layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, kehormatan, kemuliaan dan puji-pujian.” Aku mendengar semua makhluk — di syurga, di bumi, di bawah bumi, di dalam laut, dan semua yang ada di dalamnya, menyanyi: “Segala puji, kemuliaan dan kuasa kepada Dia yang duduk di atas takhta dan kepada Anak Domba untuk selama-lamanya.” Keempat-empat makhluk itu menyahut, “Amin!” Para tua-tua itu pun sujud menyembah Allah dan Anak Domba itu.