Filipi 4
4
1Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi dan dirindui, yang menjadi kebahagiaanku dan mahkotaku, berdirilah dengan teguh dalam Tuhan, wahai sekalian yang kusayangi!
Nasihat-nasihat terakhir
2Aku merayu kepada Euodia dan Sintikhe supaya bersatu hati dalam Tuhan. 3Dan aku meminta kepadamu juga, teman sejati, bantulah perempuan-perempuan ini yang telah berusaha bersamaku untuk Injil, juga dengan Klemen serta teman sekerjaku yang lain, yang nama-nama mereka ada dalam Kitab Hidup.
4Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah!
5Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Tuhan ada berhampiran. 6Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. 7Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus.
8Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi — jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji — tumpukan fikiran kepadanya. 9Segala yang kamu pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diriku — lakukanlah. Maka Allah yang sumber segala damai sejahtera akan bersertamu.
Bersyukur kerana pemberian jemaah
10Tetapi aku amat bersukacita dalam Tuhan kerana akhirnya sekarang prihatinmu terhadapku telah semarak semula. Sebenarnya dahulu pun kamu sudah mengambil berat terhadapku, tetapi tidak ada kesempatan bagimu. 11Aku tidak bercakap disebabkan kekurangan, kerana dalam keadaan apa pun aku telah belajar berasa cukup. 12Aku tahu bagaimana hidup miskin hina dan bagaimana hidup mewah mulia. Di mana-mana dan dalam apa sahaja, aku telah belajar berasa cukup, baik kenyang atau lapar, senang atau susah. 13Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan.
14Namun demikian kamu telah berbuat baik dengan mengambil bahagian dalam kesusahanku. 15Kamu orang Filipi juga tahu bahawa apabila Injil mula dikhabarkan, ketika aku baru keluar dari Makedonia, tiada jemaah yang memberikan layanan kepadaku dalam memberi dan menerima kecuali kamu. 16#Kis 17:1.#2Kor 11:9.Ketika aku di Tesalonika pun kamu telah mengirimkan bantuan untuk menampung kekuranganku. 17Bukanlah aku hendakkan pemberian itu, tetapi aku hendakkan kebaikan itu menambahkan jumlah perbuatan baik dalam kira-kiramu. 18#Kel 29:18.Sebenarnya aku ada segalanya, bahkan berlebihan; sudah cukuplah bagiku, setelah menerima kirimanmu dari tangan Epafroditus, bau yang harum dan persembahan yang diterima serta diredai Allah. 19Allahku akan membekalkan segala keperluanmu daripada kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus. 20Segala kemuliaan bagi Bapa kita Allah selama-lamanya. Amin.
Salam akhir
21Sampaikan salamku kepada setiap orang yang salih dalam Kristus Yesus. Saudara-saudara yang bersamaku mengirim salam kepadamu. 22Semua orang salih di sini mengirim salam kepadamu, terutamanya isi istana Kaisar.
23Semoga kasih kurnia Tuhan Yesus Kristus menyertai rohmu. Amin.
Currently Selected:
Filipi 4: AVB
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited
FILIPI 4
4
Petunjuk-Petunjuk
1Oleh itu, saudara-saudaraku, demikianlah hendaknya kamu berdiri teguh dalam hidup yang bersatu dengan Tuhan. Aku sangat mengasihi dan sangat merindukan kamu! Kamu sungguh menggembirakan aku dan menyebabkan aku berasa bangga!
2Euodia dan Sintikhe, aku memohon supaya kamu berdua sehati sebagai saudara seiman yang mentaati Tuhan. 3Rakanku yang setia, aku ingin kamu menolong kedua-dua orang wanita itu. Mereka sudah bekerja keras bersama-sama aku untuk mengkhabarkan Berita Baik, sama seperti Klemen dan semua orang lain yang bekerja bersama dengan aku. Nama mereka tertulis di dalam kitab Allah yang mengandungi nama orang yang memiliki hidup sejati.
4Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuhan. Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah!
5Hendaklah kamu bertolak ansur. Tuhan akan datang segera. 6Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. 7Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.
8Akhirnya, saudara-saudaraku, hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat. 9Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari dan terima daripadaku, baik kata-kata mahupun perbuatanku. Allah yang mengurniai kita kesejahteraan akan menyertai kamu.
Ucapan Terima Kasih
10Dalam hidupku yang bersatu dengan Tuhan, aku bersukacita kerana setelah sedemikian lama, sekali lagi kamu berpeluang mengambil berat terhadap diriku. Aku tidak bermaksud bahawa kamu sudah melupakan aku, tetapi kamu tidak berpeluang untuk menunjukkan bahawa kamu mengambil berat terhadap diriku. 11Aku berkata seperti itu bukan kerana aku berkekurangan; aku sudah belajar berpuas hati walaupun aku hanya memiliki sedikit. 12Aku sudah mengalami hidup serba kekurangan dan juga lebih daripada kecukupan. Aku mengetahui rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan. Aku berpuas hati baik ketika kenyang ataupun lapar, baik ketika hidup mewah ataupun berkekurangan. 13Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan.
14Tetapi kamu sudah menolong aku dalam kesusahanku; perbuatan kamu itu baik. 15#2 Kor 11.9 Kamu yang tinggal di Filipi benar-benar tahu bahawa ketika aku meninggalkan Makedonia, pada waktu aku mula mengkhabarkan Berita Baik di situ, kamulah satu-satunya jemaah yang menolong aku. Hanya kamu yang mengalami untung rugi bersama-sama aku. 16#Kis 17.1 Semasa aku di Tesalonika dan memerlukan bantuan, lebih daripada sekali kamu mengirim bantuan kepadaku. 17Aku tidak ingin menerima pemberian sahaja, tetapi aku ingin melihat keuntungan dimasukkan ke dalam akaun kamu. 18#Kel 29.18 Aku mengaku sudah menerima segala yang kamu berikan, yang lebih daripada cukup itu! Aku sudah menerima semua pemberian kamu yang dibawa oleh Epafroditus, dan sekarang aku mempunyai segala yang aku perlukan. Pemberian kamu seperti persembahan yang harum dan Allah berkenan menerima korban itu. 19Allahku dengan kekayaan-Nya yang berlimpah-limpah, akan memenuhi segala keperluan kamu melalui Kristus Yesus. 20Terpujilah Allah dan Bapa kita selama-lamanya! Amin.
Salam Terakhir
21Sampaikan salamku kepada semua umat Allah yang menjadi milik Kristus Yesus. Terimalah salam daripada saudara-saudara seiman yang bersama-sama aku. 22Semua umat Allah di sini mengirim salam kepada kamu, terutama mereka yang dari istana Kaisar.
23Semoga Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu semua.
Currently Selected:
:
Highlight
Copy
Compare
Share
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version with Deuterocanonicals © The Bible Society of Malaysia, 1996.