Nehemia 8:5-6, 8-12
Nehemia 8:5-6 AVB
Ezra membuka kitab itu di hadapan mata seluruh rakyat, kerana dia berdiri lebih tinggi daripada semua orang. Apabila dia membuka kitab itu, seluruh rakyat bangkit berdiri. Kemudian Ezra memuji TUHAN, Allah Yang Maha Besar, dan seluruh rakyat menjawab, “Amin, amin!” sambil menadahkan tangan. Mereka pun menundukkan kepala dan sujud menyembah TUHAN.
Nehemia 8:8-12 AVB
Mereka membacakan kitab itu iaitu hukum Allah dengan jelas, sambil memberitahukan maknanya sehingga pembacaan itu difahami oleh para hadirin. Kemudian Nehemia, pembesar itu, dan Imam Ezra, ahli Kitab Suci Taurat itu, juga bani Lewi yang mengajar umat itu berkata kepada seluruh rakyat, “Hari ini suci bagi TUHAN, Allahmu. Jangan berdukacita atau menangis!” Seluruh rakyat memang menangis ketika mendengar perkataan hukum Taurat itu. Kata Nehemia kepada mereka, “Pergilah, makanlah yang sedap-sedap, minumlah yang manis-manis, dan kirimlah makanan kepada orang yang tidak menyiapkan apa-apa, kerana hari ini suci bagi Tuhan kita. Janganlah kamu berduka, sebab sukacita daripada TUHAN ialah kekuatan kamu.” Lalu bani Lewi turut meminta seluruh rakyat tenang dengan berkata, “Bertenanglah. Hari ini hari suci. Jangan berduka.” Lalu seluruh rakyat pergi untuk makan, minum, saling mengirim makanan, dan mengadakan pesta besar, kerana mereka sudah memahami kata-kata yang disampaikan kepada mereka.





