Nehemia 3:6-12
Nehemia 3:6-12 AVB
Pintu Gerbang Lama diperbaik oleh Yoyada anak Paseah dan Mesulam anak Besoja. Mereka meletakkan galang-galangnya dan memasang segala pintunya berserta pengancing dan palangnya. Di sebelah mereka Melaca, orang Gibeon, dan Yadon, orang Meronot, menjalankan kerja pembaikan bersama-sama orang Gibeon dan Mizpa yang berada di bawah bidang kuasa pembesar daerah seberang Sungai Efrat. Di sebelah mereka Uziel anak Harhaya, salah seorang tukang emas, menjalankan kerja pembaikan, dan di sebelahnya lagi Hananya, salah seorang tukang campur rempah-rempah, juga menjalankan kerja pembaikan. Mereka memperkukuh Yerusalem sampai ke Tembok Lebar. Di sebelah Hananya, Refaya anak Hur iaitu seorang pemimpin bagi separuh daripada daerah Yerusalem, menjalankan kerja pembaikan, dan di sebelahnya Yedaya anak Harumaf menjalankan kerja pembaikan berhadapan dengan rumahnya. Di sebelahnya pula, Hatus anak Hasabneya menjalankan kerja pembaikan. Malkia anak Harim dan Hasub anak Pahat-Moab memperbaik bahagian yang lain serta Menara Ketuhar, manakala di sebelah mereka, Salum anak Halohes, pemimpin separuh daripada daerah Yerusalem, menjalankan kerja pembaikan bersama-sama anak-anak perempuannya.





